Kewangan

Zakat Dalam Konteks Keusahawanan Sosial

Zakat merupakan satu ibadah yang telah disyariatkan sejak zaman kedatangan Islam. Ibadah zakat telah melalui proses evolusi bermula dari zaman Rasulullah s.a.w hinggalah zaman Islam masa kini dengan pendapat ijtihad ulama muktabar bagi membersihkan jiwa dan harta individu. Dalam soal keusahawanan sosial Islam, zakat dilihat sebagai salah satu konsep yang perlu dilaksanakan oleh golongan usahawan sosial berjaya dalam mengalirkan sumber kekayaan dan keuntungan agar dapat dinikmati oleh semua orang.

Keusahawanan sosial dari sudut pandang syarak

Mengapa zakat dilihat sebagai instrumen terbaik kepada keusahawanan sosial? Kita perlu lihat dahulu aktiviti keusahawanan sosial. Aktiviti keusahawanan ini bermatlamatkan visi dan misi sosial dengan sumber rujukan utama keusahawanan ini sudah tentu al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Keusahawanan sosial Islam menitikberatkan setiap perkara yang dilaksanakan dalam memenuhi matlamat dan objektif sosial selari dengan tuntutan syarak. Keperluan keusahawan sosial Islam tidak terhad bukan saja di dunia bahkan di akhirat semata-mata untuk mendapatkan keredhaan dan keberkatan Allah s.w.t.

Keusahawanan sosial Islam bermatlamatkan Maqasid Syariah (objektif syariat Islam) iaitu aktiviti keusahawanan sosial yang seiring dengan tuntutan Islam dengan mengambil kira aspek agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Islam menganjurkan kepada golongan usahawan agar berusaha menjaga batas-batas dalam aktiviti keusahawanan seiring dengan matlamat asal dan mengambil inspirasi daripada ciri-ciri usahawan yang diamalkan baginda iaitu sentiasa memastikan aktiviti keusahawanan sosial selari dengan kehendak syariah dan mengelakkan dari segala unsur kemungkaran.

Aktiviti ini disokong oleh beberapa dalil. Pertama, firman Allah s.w.t dalam ayat 261, Surah al-Baqarah, “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” Menurut Ibnu Kathir dalam kitabnya Tafsir Ibnu Kathir, perumpamaan yang dinyatakan dalam ayat berkenaan ialah merujuk penggandaan pahala yang diterima hamba-Nya yang berinfak di jalan-Nya ialah dari sepuluh hingga 700 kali ganda. Said bin Jubair pula menambah penggandaan pahala ini diterima apabila perbuatan infak itu dibuat dalam konteks mentaati perintah Allah.

Ini ditambah dengan satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, “Setiap  amal  perbuatan  anak  Adam  akan  dilipatgandakan,  satu  kebaikan dilipatgandakan sepuluh sampai tujuh ratus kali lipat atau bahkan lebih, sesuai kehendak Allah. Allah berfirman: ‘Kecuali puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku Setiap  amal  perbuatan  anak  Adam  akan  dilipatgandakan,  satu  kebaikan dilipatgandakan sepuluh sampai 700 kali lipat atau bahkan lebih, sesuai akan  memberikan pahala  atasnya.  Ia meninggalkan makanan dan minuman kerana-Ku.’ Dan  orang  yang  berpuasa  mempunyai  dua  kebahagiaan, kebahagiaan ketika berbuka dan kebahagiaan ketika bertemu dengan Rabbnya. Dan bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau minyak  kasturi. Puasa itu perisai, puasa itu perisau.” (Riwayat Muslim).

Rasulullah  s.a.w.  juga  telah  menunjukkan  kaedah  proaktif  dalm  bentuk keusahawanan juga boleh  membantu  seseorang untuk  meningkatkan tahap  ekonomi melalui satu hadis yang diriwayatkan oleh Anas  bin  Malik  ra.  Pada satu ketika, seorang pemuda Ansar datang kepada Rasulullah s.a.w. dan meminta agar diberi sedikit makanan.  Namun, baginda tidak terus memberi makanan sebaliknya baginda bertanya apakah dia mempunyai sedikit harta boleh dijual. Pemuda itu menjawab dia memiliki sehelai pakaian yang kasar dan  bekas yang digunakan untuk minum air. Nabi s.a.w kemudiannya meminta pemuda itu pulang mengambil barang yang dinyatakan. Sekembalinya dia, baginda memanggil para sahabat dan bertanya siapa yang berminat membeli dua barang yang dimiliki pemuda itu. Seorang sahabat tampil dan membeli dengan harga dua dirham. Duit itu kemudiannya diserahkan kepada pemuda tersebut di mana ia dibahagi kepada dua. Satu dirham digunakan untuk membeli makanan dan satu dirham lagi untuk membeli kapak.

Selepas memenuhi perintah baginda, lelaki Ansar itu kembali bertemu baginda bersama sebilah kapak. Kemudian Nabi s.a.w segera memasang kayu pada kapak itu sebagai  hulu  lantas bersabda,  “Ambil  kapak  ini, dan pergilah kamu mencari kayu, kemudian kamu jual kayu itu dan kamu datanglah lagi (menemuiku) selepas 15 hari.” Selepas 15 hari, pemuda Ansar itu kembali bertemu dengan baginda dengan membawa bersamanya 10 dirham hasil jualan kayunya. Wang tersebut telah digunakan untuk membeli pakaian dan  sebahagiannya untuk membeli  makanan  keluarganya. Selepas itu, Nabi s.a.w bersabda: “Cara begini adalah lebih utama bagi  kamu daripada  meminta-minta kerana meminta-minta itu akan meninggalkan tanda di muka kamu di akhirat nanti. ”  (Hadis Riwayat Abu Daud, Al Nasai dan Tirmidzi, hadis berstatus hasan). 

Kisah yang dinyatakan dalam hadis di atas menunjukkan usaha mengubah taraf hidup fakir dan miskin yang masih mampu bekerja boleh dilakukan dengan  usaha dan kudrat mereka sendiri. Peluang pekerjaan dan sokongan moral dan kewangan amat penting  disalurkan kepada golongan tersebut. Justeru, menjadi tanggungjawab pemerintah untuk memastikan golongan fakir dan miskin mendapat pembelaan melalui hak-hak mereka daripada agihan zakat.

Pelaksanaan aktiviti keusahawanan sosial Islam ini adalah sama dengan prinsip dan falsafah keusahawanan Islam yang mana segala  perkara yang dilaksanakan tidak terlibat dengan elemen-elemen yang diharamkan antaranya:

1) Tidak terlibat dengan unsur riba, ketidakyakinan (gharar), dan perjudian (maisir).

2) Tidak terlibat dengan aktiviti kecurian.

3) Tidak terlibat dengan aktiviti monopoli dan eksploitasi.

4) Tidak terlibat dengan  sumber-sumber haram seperti percampuran produk  dengan najis, anjing, dan babi.

5) Tidak mencampur adukkan sumber yang halal dan haram.

Keusahawanan sosial  Islam ini telah  menjadi salah satu  aktiviti yang menyumbang kepada pengukuhan ekonomi dan sosial masyarakat kerana tujuan aktiviti keusahawanan ini dilakukan adalah adalah seperti berikut:

1) Mengatasi masalah riba yang berleluasa dengan mewujudkan aktiviti keusahawanan sosial Islam.

2) Membasmi masalah ekonomi dan sosial melalui penglibatan usahawan sosial berjaya secara lansung.

3) Meningkatkan nilai kemasyarakatan dalam kehidupan.

4) Mengatasi gejala sosial masyarakat terutamanya membabitkan golongan belia.

5) Mengeratkan hubungan sillaturahim antara usahawan sosial  yang berjaya dengan masyarakat.

Konteks zakat dalam keusahawanan sosial

Pelaksanaan  konsep zakat  yang  dilakukan  oleh  usahawan sosial  berjaya bertujuan untuk menenangkan jiwa dan membersihkan harta dari sifat-sifat mazmumah seperti tamak dan terlalu mementingkan soal keduniaan. Ini bersesuaian dengan falsafah pendekatan ekonomi dalam Islam iaitu tazkiyyah atau penyucian jiwa. Zakat yang boleh dilaksanakan oleh usahawan sosial berjaya ialah:

1) Zakat pendapatan
2) Zakat perniagaan 
3) Zakat pertanian dan penternakan
4) Zakat emas dan perak
5) Zakat koperasi dan syarikat
6) Zakat Saham
7) Zakat KWSP, ASB, dan Tabung Haji
8) Zakat Pelaburan

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, terdapat beberapa keputusan perbincangan yang dikeluarkan oleh para ulama dan Majma Fiqh Islami dengan kajian-kajian ilmiah dan kertas-kertas kerja yang dikemukakan oleh ramai tokoh cendiawan Islam, kemudian semua kertas kerja  tersebut  diperhalusi melalui  muzakarah  serta  kesatuan pendapat  dalam  pelaksanaan konsep  zakat.  Hasil  perbincangan  ini  telah  membuahkan  natijah  yang  positif  setelah mengambil kira segala keperluan maqasid shariah dan maslahat ummah. Antara zakat yang dibincangkan adalah seperti berikut:

1) Zakat hutang
2) Zakat Wakaf yang tidak tertentu
3) Zakat bagi rumah atau tempat tinggal
4) Melantik seseorang dalam mengembangkan harta wakaf
5) Zakat saham dalam syarikat
6) Menyegerakan zakat sebelum cukup nisab
7) Mengeluarkan zakat tanaman dengan wang
8) Zakat perhiasan
9) Zakat Anugerah Tamat Perkhidmatan
10) Zakat kilang-kilang atau syarikat yang mengeluarkan hasil pertanian atau penternakan
11) Zakat Madu
12) Zakat Harta Awam
13) Zakat Mustaghallat

Objektif perlaksanaan konsep zakat ini seperti:

1) Melaksanakan pembayaran zakat sepertimana yang diperintahkan Allah s.w.t dalam al-Quran dan hadis
2) Membersihkan jiwa dan harta pengeluar zakat
3) Meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada-Nya
4) Menjadikan diri tidak tamak dalam mencari harta kekayaan di dunia.
5) Mengurangkan kadar kemiskinan
6) Mengalirkan kekayaan dan keuntungan kepada golongan yang memerlukan
7) Meningkatkan syiar Islam
8) Mewujudkan masyarakat yang seimbang dari sudut ekonomi, sosial, rohani, duniawi dan ukhrawi.

Isu dan cabaran perlaksanaan

Bagaimanapun, untuk menterjemahkan konsep ini menjadi satu realiti bukan sesuatu yang mudah. Terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi:

1) Isu Pelaksanaan 
Kebanyakan individu usahawan sosial berjaya dilihat kurang prihatin tentang konsep zakat terutama berkenaan aspek penyucian jiwa  dan harta kerana terlampau sibuk dengan urusan perniagaan dan keusahawanan. Ini menyebabkan dana zakat yang sepatutnya diterima oleh golongan asnaf tidak dapat dikutip dan dikembangkan sebaik mungkin agar dapat dimanfaatkan dalam banyak perkara. Isu perlaksanaan ini sering kali dikuatkuasakan dan dipantau oleh pusat zakat negeri dan majlis agama Islam negeri (MAIN) tetapi masih lagi wujud isu kurangnya kesedaran untuk melaksanakannya secara keseluruhan. 

2) Pengagihan dan Penerimaan
Isu pengagihan juga seringkali menjadi  tajuk perbualan orang  ramai sehingga mengakibatkan reputasi dan kredibiliti organisasi pusat  lembaga zakat negeri selalu dipertikaikan. Hal ini berlaku disebabkan pengagihan yang kurang cekap berikutan jumlah pemohon zakat  yang bertambah dari semasa ke semasa. Kecekapan pengagihan dana zakat ini perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa seiring dengan peredaran teknologi yang pantas agar segala kelompangan dan kelemahan dapat diatasi. Peroalan lain berkaitan dengan isu pengagihan ini ialah melibatkan saudara mara terdekat dengan pekerja zakat. Antara golongan yang termasuk dalam isu ini ialah:

1. Golongan fakir dan miskin
2. Golongan ibu tunggal
3. Golongan mualaf
4. Golongan pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara
5. Golongan orang  yang berhutang sehingga terpaksa meminjam daripada ceti haram.
6. Golongan orang kurang upaya (OKU) yang sentiasa tidak mendapat perhatian

3) Isu Pengurusan dan kekurangan tenaga mahir yang cekap dan proaktif Masalah pengurusan yang lemah dan  pekerja yang  kurang  mahir dan proaktif  menjadi isu mengapa sistem pelaksanaan zakat menjadi tidak begitu berkesan. Hal ini boleh diatasi dengan menghantar sebilangan pegawai dan staf sokongan untuk melanjutkan pengajian secara berperingkat di dalam atau luar negara secara separuh masa atau sepenuh masa dengan harapan dapat meningkatkan prestasi dan keupayaan pelaksanaan zakat di masa hadapan.

4) Rebat tunai
Usahawan  sosial  yang  bergerak  secara  individu  sahaja  yang boleh  mendapat  rebat  tunai daripada kerajaan sebanyak 2.5% ke atas pendapatan agregat sementara syarikat dan entiti korporat yang membayar zakat tidak mendapat rebat tunai disebabkan Akta Cukai Pendapatan 1967. Dalam pelaksanaan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), kerajaan boleh memberikan rebat cukai 10%. Perkara ini dianggap tidak wajar kerana membayar zakat merupakan satu keutamaan berbanding cukai kerana ia merupakan tuntutan ibadah berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah.

5) Kerenah birokrasi 
Isu birokrasi ini menyebabkan golongan usahawan sosial yang berjaya kurang mendekatkan diri kepada institusi zakat. Ini kerana  usahawan sosial yang berjaya lebih berminat melaksanakan zakat mereka dengan memberi zakat secara langsung kepada golongan asnaf yang mereka rasakan layak menerima zakat.

6) Persepsi individu dan masyarakat
Cabaran terhadap pandangan individu dan masyarakat kepada usahawan sosial berjaya yang membayar zakat  dengan mengatakan bahawa perlaksanannya itu bersifat menunjuk-nunjuk dengan jumlah zakat yang dikeluarkan agar namanya menjadi sebutan orang.

7) Pengurusan kewangan 
Cabaran  yang  dihadapi oleh setiap lembaga pusat zakat negeri ialah memastikan belanjawan kewangan, pengurusan aliran tunai  dan  perakaunan dengan baik kerana kutipan zakat meningkat pada bulan Ramadan dan pada bulan Disember saban tahun. Akan tetapi komitmen pusat zakat adalah setiap bulan dengan memastikan bajet pengurusan belanjawan, makanan golongan asnaf fakir dan miskin, bantuan dialysis dan sebagainya.

8) Perundangan 
Disebabkan aspek perundangan yang longgar membabitkan pembayaran zakat, ini mengakibatkan sebahagian usahawan sosial berjaya  tidak mengambil peduli tentang konsep zakat. Solusi kepada permasalahan ini ialah kerajaan mewujudkan satu undang-undang dalam melaksanakan zakat harta bagi setiap  muslim yang memenuhi syarat untuk membayar zakat kerana tuntutan zakat ini merupakan satu ibadah  yang difardukan-Nya.

9) Ilmu pengetahuan 
Masalah kekurangan ilmu pengetahuan dalam kalangan usahawan sosial berjaya juga menjadi cabaran dalam melaksanakan konsep  zakat kerana golongan yang mempunyai kesedaran dan tanggungjawab ini dapat merasai bahawasanya ibadat zakat itu bukan saja satu ibadat fardu tetapi juga sebagai alat untuk membantu golongan asnaf yang tidak berkemampuan keluar dari kepompong kemiskinan.

Perlaksanaan konsep zakat dalam keusahawanan sosial Islam ini perlu dipertingkatkan agar soal kemaslahatan ummah dapat dijaga selain memastikan objektif dan matlamat maqasid syariah dalam meningkatkan kehidupan masyarakat ke tahap yang lebih baik dan mempertingkat kesungguhan mereka beramal kepada-Nya terutama dari segi harta. Ini juga selari dengan objektif syariat zakat iaitu membangunan nilai hidup pemberi dan penerima. Ini sangat penting agar zakat tidak dijadikan institusi yang dipandang sebagai badan kebajikan oleh sesetengah pihak padahal ianya lebih daripada itu.

Sumber
Abu Bakar, Mahyudin, Abd Muin, Mohd Adib, Ahmad, Muhammad, Md Hussain, Muhammad Nasri dan Abdullah, Shuhairimi. (2015). PELAKSANAAN KONSEP ZAKAT DALAM KEUSAHAWANAN SOSIAL ISLAM: ISU DAN CABARAN. Seminar Zakat Peringkat Kebangsaan 2015
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker