BeritaKorporat

Untung Bersih IOI Corp Merosot kepada RM631.7 juta Pada FY2019

Perolehan turun kepada RM7.38 bilion daripada RM7.41 bilion sebelumnya.

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) — Keuntungan bersih IOI Corporation Bhd merosot kepada RM631.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2019 (FY2019 ) daripada RM3.06 bilion dicatatkan bagi tempoh sama setahun lepas.

Perolehan turun kepada RM7.38 bilion daripada RM7.41 bilion sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata keuntungan lebih rendah pada suku keempat itu sebahagian besarnya disebabkan sumbangan lebih rendah daripada segmen perladangan, diimbangi oleh sumbangan lebih tinggi daripada segmen pembuatan berasaskan sumber.

Kumpulan itu berkata keuntungan segmen perladangan adalah 52 peratus lebih rendah tahun ke tahun pada RM1.01 bilion bagi tempoh suku disemak, disebabkan pelaksanaan harga minyak sawit dan isirung sawit lebih lemah, serta pengeluaran tandan buah segar (FFB) lebih rendah.

Segmen pembuatan berasaskan sumber pula mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM553.4 juta pada suku keempat tahun kewangan 2019 (FY19) daripada RM384 juta bagi tempoh sama pada FY18.

Berhubung prospeknya, IOI Corp menjangkakan pengeluaran FFB segmen perladangan akan meningkat sedikit pada FY2020 dengan pengeluaran lebih tinggi daripada pokok muda di Indonesia yang akan mengimbangi kerugian sementara daripada kadar penanaman semula lebih tinggi di ladangnya di Sabah.

“Ditambah dengan jangkaan kenaikan harga minyak sawit mentah, kami menjangkakan prestasi segmen perladangan akan meningkat pada tahun kewangan akan datang,” katanya.

Bagi segmen pembuatan berasaskan sumber, syarikat menjangkakan sub-segmen oleokimia akan terus mencatatkan prestasi baik pada FY2020 didorong oleh kos makanan ternakan yang agak rendah.

Syarikat bersekutu kepakaran lemak 30 peratus miliknya Bunge Loders Croklaan dijangka terus mengekalkan prestasinya pada FY2020 dengan jumlah lebih tinggi dalam kategori konfeksi dan nutrisi manusia, ditambah dengan sinergi dipacu daripada integrasi syarikat ke dalam perniagaan minyak makan Bunge.

Secara keseluruhannya, kumpulan itu menjangkakan prestasi pada FY2020 adalah memuaskan.

Tags
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker