Ad
Umum

Ulasan Ura-Ura Penggabungan UEM Sunrise-Eco World

Beberapa hari lepas, timbul satu khabar angin berkenaan penggabungan dua entiti pembangunan hartanah iaitu UEM Sunrise dan Eco World Development Group Berhad. Penggabungan ini dijangka dapat dimuktamadkan pada akhir tahun ini menerusi pertukaran saham untuk membentuk entiti hartanah terbesar di Malaysia. Bagaimanapun, khabar yang mula-mula timbul di The Malaysian Insight ini dinafikan oleh UEM Sunrise dalam satu kenyataan bertarikh 22 November lepas.

Walaupun ia masih lagi bersifat khabar angin, wujud ura-ura pemegang saham majoriti UEM Sunrise, Khazanah Nasional Berhad dan beberapa pegawai kerajaan menolak sekeras-kerasnya perjanjian itu. Antara individu yang dikatakan mengetuai usaha perjanjian ini ialah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, seorang tokoh perniagaan yang berpengaruh di Malaysia dan dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Menurut satu sumber yang tidak didedahkan, Tan Sri Syed Mokhtar juga mempunyai hubungan rapat dengan pemegang-pemegang saham Eco World.

Maklumat berkenaan penggabungan UEM Sunrise-Eco World masih lagi kabur tetapi menurut satu sumber, pengasas syarikat Tan Sri Liew Kee Sin dan rakan-rakan kongsinya bertegas mahukan kawalan dari segi pengurusan apabila penggabungan tersebut selesai. Ketika ini, bank-bank dan pemain-pemain industri hartanah sedang memerhati rapat apa yang berlaku tatkala sektor hartanah kini berada di tahap membimbangkan.

Ad

Sektor hartanah mula berkembang selepas krisis kewangan 1998 dan berbekalkan kredit mudah, pemain-pemain hartanah mendapat keuntungan besar. Ini juga menyebabkan spekulasi kenaikan harga hartanah meningkat ke paras tertinggi. Pasaran hartanah hanya mula sejuk apabila Bank Negara Malaysia (BNM) mengetatkan undang-undang pinjaman institusi kewangan untuk sektor berkenaan. Sementara pembetulan semula harga hartanah sudah dijangka, tekanan dari projek-projek yang tak terkawal selama bertahun-tahun menyebabkan prospek sektor berkenaan bukan saja suram tetapi turut memberi kesan kepada sektor pembinaan dan perbankan.

Berdasarkan maklumat yang dibekalkan Pusat Maklumat Hartanah Kebangsaan (NAPIC), lebihan hartanah yang tidak terjual kini berjumlah 51,265 unit terdiri daripada rumah-rumah yang sudah siap dibina tetapi tidak terjual, apartmen, unit rumah kedai dan lot perindustrian dengan nilai RM35.76 bilion. Peningkatan ini mewakili peningkatan sebanyak 213% dari segi nilai dari tahun 2014 hingga 2018.

Satu lagi data membimbangkan ialah data hutang isi rumah. Hutang isi rumah ialah penanda aras tahap kesihatan ekonomi dan kestabilan kewangan sesebuah negara. Pada tahun 2015, hutang isi rumah mencecah paras tertinggi iaitu 88.95% sebelum kemudiannya menurun sedikit kepada 83%. Hutang berkaitan perumahan ialah penyumbang terbesar kepada hutang isi rumah di mana ia amat sensitif semasa kemelesetan ekonomi. Bila itu berlaku, ia boleh membawa kepada pengangguran dan peningkatan kos pinjaman.

Ramai pihak pasti memasang mata terhadap perkembangan membabitkan Eco World dan semua ini ada kaitan dengan pengasasnya, Tan Sri Kee Sin. Dikenali sebagai pakar pemasaran dengan keperibadian yang baik, beliau merupakan pengasas SP Setia pada awal tahun 1990-an dan menjadikan syarikat tersebut sebagai antara entiti hartanah penyenaraian awam paling menguntungkan sebelum diambil alih oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada tahun 2014.

Selepas meninggalkan SP Setia, Tan Sri Kee Sin menyertai Eco World dengan syarikat itu pada asalnya merupakan sebuah syarikat Johor bernama Focal Aims. Selepas diambil alih oleh beliau dan rakan-rakan kongsinya termasuk ahli perniagaan Abdul Rashid Manaf dan entiti-entiti yang ada kaitan dengan Tan Sri Syed Mokhtar, syarikat itu dinamakan semula sebagai Eco World. Sejak itu, syarikat itu mula mengembangkan operasinya secara agresif di Malaysia dan di luar negara termasuk pasaran hartanah di London dan Australia menerusi Eco World International (syarikat mempunyai pegangan sebanyak 27%).

Bagaimanapun, wujud khabar angin semasa Eco World ditubuhkan, wujud unsur pertembungan kepentingan membabitkan Tan Sri Kee Sin dengan SP Setia sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pemain industri hartanah. Antara isu konflik kepentingan yang ditimbulkan ialah isu jawatan pengerusi projek Battersea dan cubaan menembusi pasaran hartanah Britain menerusi Eco World Investment. Ini ditambah hubungan buruknya dengan PNB semasa masih bersama SP Setia sehingga menyebabkan beliau meletak jawatan pada tahun 2014. Tetapi pengembangan agresif yang dijalankan Eco World mengakibatkan syarikat itu menanggung hutang sebanyak RM3.7 bilion. Eco World turut berhadapan isu penurunan jualan hartanah bukan saja di Malaysia tetapi di luar negara.

Sebelum itu, timbul ura-ura Eco World cuba melakukan perkara sama dengan anak syarikat Sime Darby, Sime Darby Property pada Februari lepas. Ini termasuklah khabar angin orang kanan Tan Sri Kee Sin, Datuk Voon Tin Yow akan dilantik sebagai CEO Sime Darby Property dengan gaji sebanyak RM260,000 pada Ogos tahun ini. Walaupun ia kemudiannya berakhir apabila lantikan tersebut dikatakan ditolak oleh Tun Dr Mahathir selepas mendapat desakan ramai pihak ketika itu, ia sudah menunjukkan cubaan Eco World untuk meringankan beban hutang dan mengakses bank tanah yang dimiliki oleh pesaing-pesaingnya menerusi penggabungan. Cubaan Eco World untuk bergabung dengan Sime Darby Property turut berakhir dengan kegagalan apabila ditentang bos lama Tan Sri Kee Sin di SP Setia, PNB.

Source
Another Brick In The Wall. (2019). Sime Prop CEO: Is Hisham Hamdan the choice of Zeti's or Mahathir's?. Jin Hun, Chong. (2019). UEM Sunrise says again no EcoWorld merger proposal. The EdgeHisyam, Khairie. (2015). Why hasn’t anyone stopped Liew Kee Sin. KiniBizLopez, Leslie. (2019). Proposed Malaysian mega real estate merger raises questions. The Straits TimesAbdul Aziz, Mahanum. (2019). Perlantikan Voon Tin Yow hanya spekulasi: Sime Darby Property. Berita HarianSabahkini. (2019). Jual aset, lantik Dato' Voon Tin Yow CEO, Sime Darby kini milik DAP!Lee Cheng, Thean. (2015). The debate on Liew. The Star.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Back to top button