Ekonomi

Ulasan Laporan Audit 2018

Seperti tahun-tahun sebelumnya, Jabatan Audit Negara (JAN) mengaudit semua kementerian dan agensi-agensi kerajaan berkenaan prestasi mereka sepanjang tahun lepas. Bagi menteri, ketua pengarah dan ketua jabatan berkenaan, kelibat pengaudit JAN dianggap seperti hantu yang akan menjahanamkan kehidupan mereka kerana mereka akan mengaudit semua perkara yang berlaku membabitkan wang pembayar cukai (rakyat). Dan bagi rakyat pula, laporan audit akan memberi gambaran bagaimana mereka menguruskan wang rakyat sama ada dengan baik atau sebaliknya.

Untuk Laporan Audit 2018, beberapa perkara menarik ditimbulkan JAN dalam laporan mereka:

  • Kerugian yang ditanggung Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hingga 31 Disember 2018 berjumlah RM2.829 bilion.
  • JAN mengaudit pengurusan geran yang diberi untuk projek-projek dan program-program mendapati baki geran berjumlah RM83.67 juta untuk 67 projek pembangunan yang sudah siap dan program masih belum dipulangkan kepada Jabatan Perbendaharaan.
  • Daripada 47 syarikat kewangan yang dikendalikan oleh Ministry of Finance (Incorporated), hasil audit mendedahkan hanya empat syarikat yang mempunyai kedudukan kewangan yang baik iaitu Petronas, ProKhas Sdn Bhd, MyCreative Ventures dan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd.  33 lagi syarikat berada dalam keadaan stabil sementara 10 lagi dianggap tidak stabil.
  • Kelemahan dan ketidakberkesanan Kuala Lumpur Games 2017 (KL Games 2017) dari segi pembelian, penyediaan dan penangguhan dari segi aspek kontrak, kawalan penjualan tiket dan perbelanjaan yang tidak memenuhi peraturan kewangan.
  • Skim pembelian rumah mampu milik MyHome mempunyai pengurusan yang lemah yang mengakibatkan penangguhan penyiapan projek, bayaran insentif dibuat kepada pemaju-pemaju yang tidak bertanggungjawab dan insentif kepada pembeli yang masih tidak dipulangkan oleh pemaju.
  • Skim Subsidi dan Insentif Petani yang seharusnya membantu meningkatkan lagi kuantiti penghasilan beras negara mempunyai pengurusan yang lemah dengan subsidi dibayar kepada petani-petani yang telah meninggal dunia dan individu yang memegang kad pengenalan palsu.
  • Dua projek iaitu projek loji tenaga geotermal di Sabah dan Universiti Perdana di Seri Kembangan yang mendapat sokongan kewangan Dana Mudahcara dan membabitkan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) berjumlah RM248 juta gagal dilaksanakan. Hampir 90% atau RM191 juta daripada jumlah dana berkenaan telah dikeluarkan untuk universitiitu.
  • Pengurusan Program Integrasi Ternakan Lembu di Ladang Kelapa Sawit dilabel tidak berkesan oleh JAN dengan populasi ternakan lembu hanya berjumlah 41,443 ekor pada tahun 2018 berbanding jumlah sasaran 300,000 ekor pada tahun 2020.
  • Prestasi Projek Perumahan Generasi Baru Felda mengecewakan kerana hanya berjaya menyiapkan 1,498 buah rumah menjelang 30 April 2018 berbanding sasaran 20,000 buah rumah yang disasarkan untuk siap dalam tempoh lima tahun dari tahun 2013.
  • Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan masih berhutang RM107 juta berkenaan kempen digital dan pengiklanan pelancongan dari tahun 2016 hingga 2018.
  • Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) merekodkan defisit tunai sebanyak RM27.94 juta, peningkatan sebanyak 667.6% atau RM24.30 juta berbanding defisit RM3.64 juta yang direkodkan pada tahun 2017.
  • Penyaluran dana sebanyak RM10.63 juta kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk membekalkan mushaf al-Quran untuk kegunaan tahun 2019 dibuat tanpa kebenaran Pengawal Kewangan.
  • Tiada rekod tarikh keluar membabitkan 95% pelancong China dan India yang melawat Malaysia dari tahun 2016 hingga tahun lepas. Dari tahun 2016 hingga 2018, daripada 79,799 orang pelancong China yang direkodkan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs), 76,258 orang (95.6%) tidak mempunyai rekod tarikh keluar. Manakala daripada 41,243 orang pelancong India yang tiba antara 2017 hingga 2018, 39,806 (96.5%) tidak mempunyai rekod tarikh keluar. JAN turut mendapati data 1.26 juta pelancong China dan 295,634 pelancong India masih diproses secara manual di bawah MyIMMs.

Dalam satu kenyataan, Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid turut mendedahkan JAN telah menjalankan audit penyata kewangan ke atas 113 agensi kerajaan Persekutuan untuk tahun kewangan 2018. Daripada jumlah itu, 99 penyata kewangan dikeluarkan dengan nasihat tanpa amaran, enam dengan nasihat tanpa amaran tetapi dengan penekanan subjek (EOM) dan lapan lagi diberi nasihat dengan amaran. 35 penyata kewangan lagi masih lagi belum dapat diselesaikan dengan dua agensi kerajaan masih belum menyerahkan penyata kewangan kepada JAN.

12 audit prestasi telah dijalankan di peringkat kerajaan Persekutuan dan 21 lagi dijalankan di peringkat kerajaan negeri membabitkan pelbagai perkara seperti pengurusan aktiviti/program, penyelenggaraan dan pengurusan pendapatan. JAN turut menjalan audit ke atas tujuh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di peringkat kerajaan Persekutuan dan sembilan lagi GLC di peringkat kerajaan negeri.

Dengan meneliti laporan-laporan audit yang dikeluarkan JAN sebelum ini, ia menimbulkan persoalan apakah semua ini benar-benar diambil kira demi memantapkan kecekapan urus tadbir kerajaan? Atau itu terus dipandang sepi kerana dilihat tidak memberi impak kepada kementerian dan agensi berkenaan? Jika anggapan kedua itulah merupakan pilihan menteri, ketua pengarah dan ketua jabatan berkenaan, ini menunjukkan mereka bukan saja culas dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Tetapi ini juga menunjukkan bahawa isu urus tadbir kerajaan masih lagi tidak dipandang serius sehingga hari ini.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker