Ad
Umum

Ulasan Belanjawan 2020 : E-Sports

Pada sesi pembentangan Belanjawan 2020 lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng memperuntukkan sejumlah RM20 juta untuk sukan elektronik atau eSports di mana ia diharap dapat membantu pasukan eSports negara meraih pingat emas dalam acara berkenaan dalam temasya Sukan SEA di Manila yang bakal berlangsung pada 30 November depan. Walaupun ramai menyambut baik penambahan peruntukan ini, sudah wujud suara-suara yang mahukan ketelusan dalam isu ini.

Bagi Pengerusi Persatuan Esports Kuala Lumpur Hisham Darus, beliau mengharapkan kerajaan menyatakan dengan jelas siapa penerima peruntukan itu. Menurut Hisham, semasa pembentangan itu, Guan Eng langsung tidak menyatakan siapa yang akan menerima peruntukan RM20 juta itu. Tambahnya lagi, apakah pengurusan dana itu akan diletakkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau di bawah pengurusan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), sebuah agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia seperti mana dalam Belanjawan 2019. Beliau menambah, “Kami mengalu-alukan peruntukan ini tetapi berharap RM10 juta atau separuh daripadanya dapat digunakan untuk atlet-atlet yang akan bertanding dalam Sukan SEA 2019 di Manila.”

Sementara Pengerusi Persatuan Esports Selangor Afzaruddin Baharuddin pula berharap peruntukan itu dapat digunakan untuk membangunkan peraturan eSports di Malaysia. Beliau berkata, “Ia sememangnya satu pengumuman yang baik. Kami cuma berharap ia dapat disalurkan juga ke persatuan negeri untuk membantu komuniti eSports menjadi lebih baik. Peruntukan seharusnya digunakan untuk membangunkan peraturan industri dari pertandingan hinggalah pusat eSports dan persatuan-persatuan. Ia seharusnya dilaburkan kepada peraturan terlebih dahulu sebelum pergi ke pertandingan-pertandingan antarabangsa.” Tambah Afzaruddin lagi, tiada peraturan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dan persatuan sukan dalam hal ini untuk mereka melaksana dan menguatkuasakan peraturan sukan eSports.

Ad

Manakala Majlis Belia Malaysia pula berpandangan menerusi peruntukan ini, ia merupakan satu peluang terbaik untuk mewujudkan ekosistem yang sihat dan optimum dalam eSports memandangkan majoriti penggiatnya ialah golongan muda. Menurut MBM, peruntukan sebegini bukan saja dapat membangunkan sukan tersebut tetapi juga dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam sukan itu.

Walaupun banyak pandangan yang melihat ini sebagai sesuatu yang positif, apakah ini diharap dapat mengelakkan berulangnya isu kelewatan penyaluran dana yang membelenggu penggiat eSports yang ingin bertanding mewakili negara di peringkat antarabangsa? Perkara ini bukan satu isu baru dan kerap dibangkitkan oleh penggiat-penggiat eSports. Terbaru, wakil Overwatch negara iaitu Team Malaysia terpaksa menarik diri dari menyertai Piala Dunia Overwatch 2019 yang akan berlangsung pada 1 dan 2 November ini di Anaheim, California. Overwatch ialah permainan permainan penembak orang pertama (FPS) berpasukan yang popular dan dibangunkan oleh syarikat permainan video terkenal, Blizzard.

Bila ditanya mengapa Team Malaysia menarik diri dari pertandingan tersebut, pengurus pasukan Kenn Leandre menyatakan sebab utama penarikan diri ialah ketiadaan dana di mana mereka memerlukan RM120,000 untuk pergi ke California. Walaupun cuba mendapatkan bantuan dari saluran lain termasuk syarikat-syarikat swasta, tetapi itu masih tidak mencukupi. Bila perkara ini diajukan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman mengumumkan peruntukan sebanyak RM60,000 kepada Team Malaysia. Kenn diberitahu peruntukan tersebut hanya akan tiba pada bulan hadapan tetapi terlalu lewat untuk membolehkan mereka menyertai kejohanan di Anaheim itu. Bagaimanapun, KBS bersetuju untuk membiayai mereka untuk pertandingan tahun hadapan dan untuk merancakkan lagi komuniti Overwatch di Malaysia.

Namun, pengumuman Overwatch Syed Saddiq turut mendedahkan satu rahsia berkenaan peruntukan RM10 juta eSports yang diumumkan pada Belanjawan 2019. Beliau mendedahkan peruntukan itu baru saja diterima pada September lepas dengan RM5 juta disalurkan kepada KBS dengan separuh lagi diserahkan kepada MDEC. Ini sekaligus mengundang persoalan apakah perkara sama akan berlaku kepada peruntukan ini lebih-lebih lagi menjelang Sukan SEA 2019 di Manila? Jika ia berlaku, maka sudah pasti komitmen kerajaan terhadap golongan belia terutama penggiat eSports akan dipersoal dan dianggap hanya berminat meraih undi mereka sahaja. Justeru, KBS harus memastikan isu ini tidak berulang pada masa akan datang. Jika tidak, ramai menganggap pengumuman sebegini ibarat menanam tebu di tepi bibir.

Bila diminta mengulas ke mana peruntukan RM20 juta itu seharusnya disalurkan, Kenn berpandangan ia seharusnya disalurkan kepada pembangunan akar umbi eSports dalam banyak aspek dari pencarian bakat hinggalah pertumbuhan komuniti dan pengurusan bakat. Dia juga berpandangan terdapat banyak lagi judul eSports di luar sana tetapi penggubal undang-undang hanya memfokuskan kepada judul-judul tertentu seperti FIFA dan DotA sahaja. Dan demi kelangsungan eSports untuk jangka masa pendek, Kenn mengharapkan kemunculan kelompok penggubal undang-undang yang berminat membangunkan sukan itu sendiri berbanding hanya mahu mempergunakan sukan itu agar lebih dikenali.

SUMBER :

  1. Shim, Rikco. (2019). Esports Received RM10 Mil In 2019, Yet Team M’sia Couldn’t Go Overseas Due To A Lack Of Funds. Vulcan Post. https://vulcanpost.com/678815/team-malaysia-funding-overwatch-world-cup-2019/
  2. Pei Ying, Teoh. (2019). 2020 Budget: ‘e-Sports allocation should be used on SEA Games athletes, ruling’ [NSTTV]. New Straits Times. https://www.nst.com.my/news/government-public-policy/2019/10/529048/2020-budget-e-sports-allocation-should-be-used-sea

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Back to top button