Polisi

Ulasan Belanjawan 2020: Cukai Digital

Setiap kali menjelang pembentangan belanjawan tahunan, menjadi kebiasaan bagi kerajaan membentangkan bentuk program atau cukai baru bagi membantu mereka mengutip hasil pendapatan baru dan mengukuhkan kedudukan kewangan negara. Pada Belanjawan 2020, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengesahkan perlaksanaan cukai digital berkuatkuasa pada 1 Januari 2020 sebagai sebahagian daripada usaha menambah lebih banyak pendapatan dari sumber cukai.

Menurut Kementerian Kewangan, perlaksanaan cukai ini bertujuan untuk memperluas asas bayaran cukai negara. Dengan kadar cukai sebanyak 6%, kutipan yang diterima boleh menjadi berlipat kali ganda dengan syarat ia disertai oleh semua pemain industri digital termasuk syarikat-syarikat besar. Bagaimanapun menurut penganalisis Dr Veerinderjit Singh, ia bagaimanapun bergantung kepada kerjasama pemain sektor digital yang berdaftar dengan pihak berkuasa negara ini. Menurut data yang disediakan oleh Jabatan Statistik, negara boleh menerima kutipan cukai sebanyak RM2.4 bilion daripada jangkaan pendapatan e-dagang sebanyak RM398 bilion pada tahun 2015.

Pemain-pemain sektor digital sudah boleh mendaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sejak 1 Oktober lepas. Walaupun pendaftaran cukai ini bersifat sukarela, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah memberi amaran kegagalan mereka mendaftar dan membayar cukai boleh memberi kesan buruk kepada imej korporat syarikat-syarikat yang terlibat. Katanya semasa ditemubual selepas upacara perasmian Kem Kesedaran Cukai di Bangi, “Penyedia khidmat digital asing ialah pemain-pemain korporat bertanggungjawab di negara-negara lain dan mereka seharusnya menunaikan kewajipan membayar cukai di Malaysia.” Jika mereka mengikut segala garis panduan yang dinyatakan, ia membolehkan mereka menyediakan khidmat digital kepada pelanggan mereka selepas perlaksanaan cukai digital di Malaysia.

Antara negara yang telah mengenakan cukai digital ialah Singapura, Jepun, Australia, Korea Selatan, New Zealand, Rusia dan Norway. Tetapi Dr Veerinderjit memberi amaran kutipan cukai boleh berkurangan sekiranya syarikat-syarikat besar memilih untuk tidak membayar cukai memandangkan mereka tidak mempunyai sebarang kehadiran fizikal di negara ini. Tambahnya lagi, “Kerajaan perlu memujuk pemain-pemain teknologi untuk melakukan apa yang betul dari segi moral. Penguatkuasaan dari pihak kerajaan memainkan peranan penting dalam mengurangkan isu entiti-entiti mengelak membayar cukai.”

Umumnya, entiti-entiti gergasi digital seperti Facebook dan Google mengisytiharkan keuntungan di negara di mana mereka berpangkalan. Menurut Dr Veerinderjit, tindakan sebegini mengakibatkan negara-negara kehilangan potensi kutipan cukai. Bagi memastikan pemain-pemain digital berdaftar untuk cukai digital, beliau mengesyorkan perlunya kewujudan perhubungan antara pihak berkuasa kastam dengan pemain-pemain digital. Jika ada yang masih berdegil, rakan kongsi cukai dan pengurusan Crowe Malaysia, Poon Yew Hoe mencadangkan menghalang alamat IP sebagai jalan terakhir dan pembekal perkhidmatan tidak dapat membekalkan perkhidmatan mereka kepada pengguna. Ini menyebabkan pengguna tidak boleh mengakses perkhidmatan tetapi memaksa mereka untuk menukar pendirian mereka sekiranya hendak meneruskan perkhidmatan di Malaysia.

Bagi pemain-pemain digital, perlaksanaan cukai ini bukan saja sesuatu yang tidak dapat dielakkan tetapi sesuatu yang dialu-alukan. Ketua Pegawai Pemasaran dimsum, Lam Swee Kim, pengenalan cukai ini dilihat menyamakan persaingan antara pembekal perkhidmatan tempatan dengan pembekal perkhidmatan asing. Tambahnya lagi, menerusi beberapa siri diskusi yang diadakan sebelumnya, pembekal perkhidmatan digital asing sedar sekiranya mereka hendak meneruskan perniagaan dan menyediakan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia, maka mereka harus mengikut peraturan dan undang-undang tempatan.

Bagi sesetengah pemain seperti Lazada, mereka akan bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam soal ini. Sementara pemain-pemain digital asing seperti Netflix dan Spotify masih belum mengumumkan sama ada mereka akan menyerap kadar cukai sebanyak 6% atau membiarkan pengguna menanggung kadar cukai menerusi kenaikan harga pelan yang ditawarkan mereka.

Yang pasti bagi sesetengah pengguna, ada merasakan kadar cukai itu tidaklah membebankan. Tetapi bagi usahawan Eric Wong, perlaksanaan cukai ini dilihat akan membebankan belanjanya kerana sudah biasa menggunakan perkhidmatan seperti Netflix, Sportify dan iCloud. Selain terpaksa membelanjakan wang untuk bil internet, dia terpaksa berbelanja lebih untuk perkhidmatan digital yang dilanggannya. Eric terpaksa menimbang kemungkinan bertukar kepada pembekal perkhidmatan tempatan yang dilihat lebih murah tetapi dengan syarat kandungannya menyamai apa yang ditawarkan pemain-pemain digital asing.

Selain isu kos kenaikan harga yang perlu ditanggung pengguna, wujud kebimbangan bahawa akan ada ketirisan cukai terutama membabitkan pendapatan digital. Masalah ini sudah dibangkitkan oleh Menteri Kewangan Jerman Olaf Scholz pada April lepas. Scholz yang ditemubual oleh stesen televisyen CNBC menyifatkan pembayaran cukai yang dibuat oleh firma-firma digital sebagai tidak ke mana dan melihat keperluan persetujuan reformasi cukai agar seiring dengan era digital sebagai satu masalah global.

Bukan sekali dua beberapa negara cuba mencari solusi bersifat tuntas. Tahun ini menyaksikan Perancis merancang memperkenalkan levi 3% ke atas syarikat digital yang mempunyai pendapatan lebih 750 euro setahun dengan 25 juta euro datangnya dari Perancis. Sementara Britain pula mencadangkan pengenalan cukai perkhidmatan digital 2% ke atas firma-firma teknologi yang meraih pendapatan global sebanyak 500 juta paun.

Sumber
Yeoh, Angelin. (2019). Budget 2020: Subscribers unsure about Digital Service Tax. The StarGoh, Joyce. (2019). The State of the Nation: The digital tax conundrum. The EdgeSaieed, Zunaira. (2019). Digital tax can rake in RM2.4bil a year. The Star
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Lain

Close
Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker