Isu Semasa

Trend Korban Luar Negara, Semakin Kurang Jumlah Korban Di Negara Sendiri

Beberapa tahun kebelakang kita menyaksikan satu trend di mana umat Islam di negara ini semakin ramai yang memilih untuk melakukan korban di luar negara.

Jika 10 tahun lalu, korban sekitar 15 ke 20 ekor lembu di satu-satu masjid adalah perkara normal, tetapi sekarang agak sukar untuk kita melihat jumlah korban sebanyak itu, mungkin sekitar 3-4 ekor lembu sahaja di satu-satu masjid. Malah ada juga sesetengah surau kawasan orang miskin tidak mampu mengadakan program korban.

Perkongsian daripada Twitter

Tidak mustahil juga satu hari nanti, jumlah agihan daging korban di luar negara seperti Kemboja lebih tinggi berbanding agihan korban di kawasan orang miskin di Malaysia. Bak kata pepatah, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

Antara sebab mengapa orang ramai melakukan ibadah korban di luar negara adalah kerana harganya yang lebih murah dan rakyat di negara luar tersebut seperti Kemboja dan Vietnam lebih memerlukan.

Ibadah korban yang dilakukan di Malaysia menelan belanja sekitar RM580-RM900 bagi satu bahagian lembu berbanding RM250-RM350 sahaja jika dilakukan di luar negara.

Berdasarkan data tidak rasmi daripada laman sesawang duniakorban, nilai korban luar negara pada tahun 2016 mencecah sehingga RM10 juta! Menurut seorang pengamal industri korban, sebenarnya bekalan daging di Kemboja sudah berlebihan sehinggakan stok daging beku korban tahun lalu masih lagi belum habis sehingga ke hari ini.

Jika benar kita mahu melakukan ibadah korban di luar negara kerana ingin membantu mereka yang kurang berkemampuan, disarankan supaya kita mencari negara yang mana rakyatnya benar-benar dalam kebuluran seperti Syria dan Palestin.

Tapi disebabkan harga korban di Palestin dan Syria adalah lebih kurang sama sahaja dengan harga di Malaysia, ramai orang memilih untuk melakukan ibadah korban di Kemboja. Jadi tanya semula diri kita, benarkah kita melakukan ibadah korban diluar negara ini kerana ingin membantu mereka yang susah atau kerana harganya yang murah?

Perbetulkanlah semula niat kita, mengapa perlu berkira-kira apabila beribadah? Lihat semula disekeliling kita, berapa ramai lagi orang susah di sekeliling kita. Konsep sedekah dalam Islam juga menggalakkan kita untuk bersedekah kepada keluarga terlebih dahulu, kemudian kaum kerabat dan kemudiannya kepada orang lain disekeliling kita yang memerlukan (jiran tetangga, rakan sekerja).

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker