Kerjaya

Tips Mendapatkan Kenaikan Gaji

“Aduh, gaji tak cukup pula bulan ini.”

“Gaji aku tak setimpal dengan titik peluh aku.”

“Kenapa gaji dia lebih daripada aku? Bukankah aku bekerja lebih keras berbanding dia?”

Kita semua sudah mendengar dialog-dialog sebegini di tempat kerja. Tidak sah dalam sebulan, pasti akan ada rungutan berkenaan gaji masing-masing dan keinginan mahu mendapatkan kenaikan gaji. Tetapi untuk mendapatkan kenaikan sebegitu bukan sesuatu yang mudah kerana majikan mahukan justifikasi di sebalik tuntutan itu. Justeru, terdapat beberapa cara untuk membantu anda mendapatkan kenaikan gaji yang dimahukan.

1. Sebelum buat sebarang tuntutan kenaikan gaji, kaji dulu gred gaji untuk pekerjaan kita dan lihat jumlah sebenar gaji yang ditawarkan untuk pekerjaan kita. Ini boleh dilakukan dengan melayari laman sesawang perbandingan gaji, laman sesawang pencarian pekerjaan atau pergi terus ke bahagian sumber manusia. Semua maklumat yang diperoleh boleh digunakan sebagai bukti hasil kesungguhan anda dalam syarikat seharusnya diberi ganjaran kewangan yang bersifat setimpal. Jangan terkejut jika sesetengah majikan kurang arif dalam soal ini terutama jika membabitkan syarikat-syarikat besar. Menurut penulis It’s Not Bloody Rocket Science, Dulcie Shepherd Swanston, ciri-ciri yang menjustifikasikan kenaikan gaji seharusnya juga ciri-ciri sama yang menjadikan anda seorang pekerja yang baik.

2. Jangan minta kenaikan gaji secara rambang. Menurut pengasas laman sosial profesional The Dot, Pip Jamieson, gaji seharusnya dilihat sebagai satu bentuk kontrak komersial dan ia seharusnya dirunding secara profesional, bukan atas dasar belas kasihan. Sentimen itu turut dikongsi pengarah pemasaran laman pencarian pekerjaan Monster untuk wilayah UK, Ireland dan Benelux, Lou Goodman. Walaupun beliau berpandangan syarikat mengetahui isu peribadi yang melanda pekerja boleh saja mempengaruhi mereka untuk memberi kenaikan gaji, pada akhirnya prestasi pekerja yang akan menentukan sama ada kenaikan gaji itu perlu atau tidak.

3. Pilih masa sesuai untuk memohon kenaikan gaji. Tanya bila belanjawan syarikat terbaru akan dibentangkan bagi mengelakkan permohonan yang bersifat mustahil untuk ditunaikan. Jika sudah mendapat kenaikan gaji dari tahun sebelumnya atau masih hijau dalam dunia pekerjaan, anda perlu memberi alasan kukuh mengapa anda berhak mendapat kenaikan gaji. Menurut jurulatih pembangunan keperibadian di Specific Learning and Coaching, Charlotte Green, kenaikan gaji hanya boleh diperoleh melalui kesetiaan dan masa dengan kerja keras sahaja yang boleh menjamin ganjaran kewangan.

4. Minta kenaikan gaji berdasarkan gred gaji anda. Jangan mengada-ada minta kenaikan gaji sampai ke tahap luar gred gaji anda.

5. Bila membuat permohonan kenaikan gaji, tunjukkan kepada majikan anda yakin dengan permintaan anda. Jangan tunjukkan rasa gementar bila membincangkan soal ini. Ini menunjukkan bahawa anda tidak selesa membuat permohonan kenaikan gaji.

6. Bila minta kenaikan gaji, minta nilai tepat. Ini berdasarkan satu kajian dari Sekolah Perniagaan Columbia pada tahun 2013 bahawa meminta gaji yang bersifat spesifik dan tepat jauh lebih baik berbanding meminta nilai yang dibundarkan. Ini kerana individu yang berunding menggunakan taktik ini dilihat lebih tahu tentang nilai sebenar sesebuah barang atau urusan. Oh ya, jangan minta nilai yang bersifat kabur. Taktik ini boleh memakan diri kerana majikan pasti tertanya mengapa anda menanyakan nilai sebegitu rupa dan menganggap anda tidak serius mendapatkan kenaikan gaji.

7. Cuba bercakap tentang masa depan. Adakalanya, syarikat tidak boleh menawarkan kenaikan gaji yang dimahukan. Tetapi mereka boleh menggantikannya dengan perkara lain seperti waktu kerja yang fleksibel, cuti dan apa saja kelebihan yang ditawarkan dalam pekerjaan. Pada mereka, anda merupakan aset yang seharusnya disokong bagi membolehkan anda menunjukkan prestasi cemerlang dalam syarikat.

8. Jangan menyerah kalah jika permohonan kenaikan gaji ditolak. Sebaliknya, minta maklum balas apa yang diperlukan untuk mendapatkan kenaikan gaji itu. Maklum balas sebegini amat membantu dan boleh menjadi asas perbincangan pada masa yang lain. Namun, jika anda merasakan nilai yang ditawarkan tidak setimpal dengan usaha keras anda, anda boleh saja mengugut untuk meninggalkan syarikat. Taktik ini dianggap radikal tetapi jika itu dapat menyakinkan majikan bahawa usaha anda harus diberi ganjaran lebih baik, maka itu sebenarnya menjadikan syarikat lebih baik kerana berusaha mengekalkan aset yang dimiliki.

Sumber
Robertson, Jamie. (2019). The dos and don'ts of getting a pay rise. BBC.
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Lain

Close
Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker