Ad
Umum

Tindakan MyCC Denda Grab RM86 Juta Tidak Munasabah

Keputusan Suruhajaya Persaingan Malaysia (MyCC) mahu mengenakan denda RM86 juta terhadap Grabcar Sdn Bhd atas alasan melanggar undang-undang antimonopoli susulan penggabungan dengan Uber disifatkanm sebagai satu “tindakan amat mengejutkan” dan “tidak munasabah”.

Bekas Ketua Bahagian Polisi dan Perancangan, Kumpulan Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Wan Agyl berkata, ini kerana di bawah Akta Persaingan, MyCC tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengenakan apa-apa tindakan terhadap penggabungan itu melainkan pindaan telah dibuat sebelum penggabungan.

Ujar beliau, sifat cadangan penalti mengikut perundangan tidak boleh bersandarkan isu penggabungan dan akan melemahkan pendakwaan.

Ad

“Saya tidak menyatakan Grabcar tidak patut di denda, tetapi alasan denda ini agak tidak konsisten dan jumlah yang dicadangkan seperti tidak munasabah.

“Denda seperti ini sepatutnya bersifat pengajaran dan bukan seolah-olah menunjukkan kerajaan ingin mendapatkan untung daripada syarikat-syarikat besar seperti Grabcar. Kerajaan perlu bersikap adil di dalam mengenakan penalti kepada Grabcar dengan objektif mendidik dan mengajar mereka,” kata beliau kepada FMT.

Awal hari ini, MyCC mencadangkan GrabCar didenda RM86.8 juta kerana melanggar undang-undang antimonopoli susulan penggabungan syarikat e-hailing itu dengan Uber.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MyCC Iskandar Ismail mengumumkan keputusan itu berdasarkan aduan terhadap Grab sejak ia mengambil alih perkhidmatan Uber di Malaysia tahun lalu.

Susulan penggabungan itu, Grab menjadi pemain utama dalam industri e-hailing tempatan.

Iskandar berkata suruhanjaya itu memberikan tempoh sebulan kepada Grab untuk membela diri.

“Grab menjadi sangat dominan dalam industri ini. Syarikat itu juga mempunyai klausa terhad yang menghalang pemandu mereka mempromosikan syarikat e-hailing lain di dalam kereta mereka.

“Perlu diingatkan, pemandu hanya memandu untuk Grab menggunakan kereta mereka sendiri dan mereka bukan pekerja Grab,” katanya.

Alasan kurang tepat

Mengulas lanjut, Wan Agyl yang juga ketua penerangan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan berkata beliau tidak menuduh, tetapi tertanya-tanya apakah alasan sebenar denda dikenakan kerana dalam soal penggabungan, MyCC tiada kuasa.

Katanya, berdasarkan kenyataan media CEO MyCC turut menyatakan berpandukan aduan terhadap Grabcar sejak mengambil alih Uber.

“Oleh yang demikian, berdasarkan kenyataan akhbar CEO MyCC yang kerap mengulangi penggabungan sebagai salah satu sebab adalah kurang tepat,” katanya.

Antara asas-asas digunakan adalah kerana Grabcar dikatakan tidak membenarkan pemandu-pemandu mereka membuat sebarang penyebaran iklan dan promosi untuk persaing-persaing mereka.

“Sama ada itu benar atau tidak, ia terpulang kepada Grabcar untuk membuat pembelaan.

“Sekiranya ini benar sekalipun, saya berpendapat, sekiranya mereka beroperasi di atas platform Grab, sudah pasti ia merupakan satu tindakan wajar oleh Grab untuk tidak membenarkan pemandu mereka untuk mempromosikan persaing mereka.

“Bayangkan kereta yang sama mempunyai pelbagai poster dari pelbagai syarikat aplikasi perkhidmatan e-hailing. Silap haribulan Grab juga yang disaman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Jadi MyCC perlu lebih jelas di dalam alasan cadangan denda ini,” katanya.

Mengenai nilai RM86 juta yang dicadangkan itu, katanya, jika tidak dijelaskan secara terperinci ia akan mengakibatkan persepsi yang negatif terhadap potensi-potensi pelaburan yang hendak melabur ke negara ini.

“Itu belum lagi kesan terhadap kedudukan kewangan Grabcar. Mungkin nilai RM87 juta ini dilihat kecil berbanding nilai pasaran Grabcar, tetapi ia tetap akan dilihat sebagai kos dan proses ‘cost recovery’ pasti akan dibuat dan berkemungkinan memberi kesan terus terhadap kadar tambang ataupun komisen pemandu,” katanya.

Sambil menasihatkan kes ini perlu ditangani dengan penuh hemat, Wan Agyl berkata, di kala Grabcar berhadapan dengan keperluan memenuhi keperluan perundangan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan, cadangan penalti RM86 juta “dilihat bukanlah satu situasi yang baik.”

“Kita kehilangan Grabcar kepada Singapura semasa mereka mula-mula beroperasi sebagai MyTeksi walaupun perniagaan ini dibina oleh anak tempatan.

“Jangan pula kita menakut-nakutkan pemain-pemain industri baru pula dengan cadangan sebegini.

“Saya tahu ini merupakan bidang kuasa MyCC tetapi, asas cadangan penalti perlu dijelaskan dengan terperinci kerana ia melibatkan aduan semata-mata bukanlah berkaitan secara lansung dengan penggabungan yang bukan di dalam bidang kuasa MyCC buat masa ini,” kata beliau.

Sumber: Free Malaysia Today

M2C

Menyajikan artikel dan ulasan terkini isu-isu kewangan, perbankan, perniagaan, polisi dan teknologi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Back to top button