Berita

Tiada Perkara Baru Dalam Dasar Pengangkutan Negara

Dasar Pengangkutan Negara (DPN) yang dilancarkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Khamis tidak mengandungi apa-apa yang baru, kata Pemuda Umno.

Pengarah strateginya Wan Agyl Wan Hassan berkata, walaupun kerajaan mengambil langkah tepat dengan memusatkan semua dasar di bawah Kementerian Pengakutan, namun lima teras dasar itu “merupakan teras asas yang diguna pakai oleh negara maju lain di seluruh dunia”.

Wan Agyl, yang merupakan bekas ketua bahagian dasar dan perancangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkata, pentadbiran kini tidak memahami keperluan mendesak untuk membangunkan sebuah sistem pengangkutan kelas dunia bagi membolehkan Malaysia mencapai status negara maju.

Katanya, ini terbukti melalui langkah menurun taraf SPAD dan menggantikannya dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada “mesyuarat pertama Kabinet Pakatan Harapan (PH)”.ADVERTISING

Pada Khamis, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendedahkan lima dasar teras dan 21 strategi DPN bagi memacu haluan startegik semua sektor pengangkutan, termasuk darat, udara dan maritim.

Dalam satu kenyataan, Wan Agyl menyifatkan rangka kerja baru itu tidak menarik maupun baru bagi memacu Malaysia ke arah status negara maju.

Katanya, teras pertama DPN, iaitu “memperkukuh tadbir urus ke arah persekitaran yang kondusif bagi sektor pengangkutan” telah ditonjolkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini di bawah Program Transformasi Kerajaan dan merupakan sesuatu “yang kami persetujui sembilan tahun lepas”.

“Malah teras dasar kelima, iaitu memperluas jejak global dan mempromosikan pengantarabangsaan perkhidmatan pengangkutan” bukanlah perkara baru.

“Kita sudah ada Prasarana, yang terlibat secara langsung dalam sektor pengangkutan awam di Timur Tengah,” katanya.

Wan Agyl mengetengahkan dua “kelemahan utama” dasar tersebut dengan berkata, ia gagal menetapkan garis masa strategi berkaitan dan mengenal pasti keutamaannya.

“Membuat kenyataan umum bahawa rancangan ini adalah untuk tempoh 2019 hingga 2030 tidak mencukupi.

“Kedua, DPN gagal mengenal pasti keutamaan pelaksanaan dasar. Dasar manakah yang perlu didahulukan pelaksanaannya? Bilakah dasar itu akan dilaksanakan?”

Wan Agyl juga mempersoalkan kekurangan perincian yang “sangat jelas”, dengan berkata, “ia seolah-olah menyuruh rakyat membayangkan sektor pengangkutan terbabit berdasarkan tafsiran sendiri”.

Beliau juga mempersoal kaitan antara DPN dengan Dasar Automotif Nasional (DAN).

“Di manakah kedudukan rancangan itu sekarang? Apakah DAN harus dibaca bersekali dengan DPN atau selepasnya? Kebimbangan saya ialah DPN dan DAN akan bercanggah antara satu sama lain,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan ketiadaan strategi khusus bagi Sabah dan Sarawak.

“Salah satu rancangan tindakan utama di bawah teras dasar pertama ialah memperkukuh peranan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) sebagai penyelaras pengangkutan awam di Sabah dan Sarawak.

“Apakah mereka benar-benar memahami industri pengangkutan awam di Sabah dan Sarawak? Apakah rancangannya? Menaik taraf LPKP kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat seperti di semenanjung?

“Selain LPKP, DPN tidak mempunyai rancangan lain untuk Sabah dan Sarawak. Tidak ada dasar infrastruktur selain Lebuhraya Pan Borneo, yang turut tidak disebut dalam dokumen itu,” katanya.

Sumber: FMT

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker