BeritaEkonomi

Tiada langkah pencukaian baharu dalam belanjawan 2020 – Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) — Tiada langkah pencukaian baharu dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan nanti, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Belanjawan 2020 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 11 Okt ini.

“Tidak mungkin ada sebarang langkah pencukaian baharu dilaksanakan (dalam Belanjawan 2020),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan (NTC) 2019, yang dianjurkan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Institut Cukai Berkanun Malaysia dengan tema ‘Kemakmuran Ekonomi dan Percukaian’ di sini.

Mengenai langkah China yang membenarkan mata wangnya, renminbi, susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan krisis perdagangan dengan AS, Lim berkata keadaan itu turut akan menjejaskan Malaysia.

“Pastinya, akan wujud beberapa kesan, kerana anda tidak boleh menafikan bahawa langkah yang diambil oleh satu daripada rakan dagang utama kita akan memberi kesan limpahan ke atas Malaysia, tidak kira sama ada AS atau China. China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia.

“Keadaan ini mendorong kita memperkenalkan langkah luar jangka dalam belanjawan kita nanti, yang mengambil kira kemelut perdagangan itu yang semakin memuncak atau bertambah buruk.

“Sudah tentu akan ada pakej luar jangka untuk cuba seberapa banyak yang boleh bagi melindungi Malaysia daripada sebarang kesan buruk pertikaian perdagangan terbabit,” katanya.

Beliau berkata Malaysia akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat walaupun ada pihak yang berpandangan bahawa pertikaian itu dapat diselesaikan menjelang akhir tahun ini,

“Kita perlu tunggu dan lihat (penyelesaian pertikaian perdagangan AS-China). Saya berpandangan sudah tentu kita memerlukan beberapa rancangan luar jangka,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan, Lim berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia menunjukkan pencapaian baik seiring sasaran, berdasarkan prestasi ekonomi semasa.

Bagaimanapun beliau yang juga setiausah agung DAP berkata, untuk negara berada di kedudukan semasa, ia memerlukan kestabilan politik.

“Sebenarnya keadaan politik Malaysia adalah stabil dan tidak harus berlaku apa-apa ketidaktentuan politik, kerana kita adalah kerajaan yang memenuhi janji dan ini pun telah diulangi berkali-kali oleh Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) bahawa beliau ialah seorang yang menepati janji.

“Begitu juga kerajaan Pakatan Harapan kita pun akan berusaha melaksanakan janji-janji yang kita telah umumkan,” katanya.

Lim mengulangi bahawa ekonomi Malaysia menunjukkan daya tahan walaupun berdepan cabaran luaran yang sukar berpunca daripada kemelut perdagangan AS-China malah Bank Dunia menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia merekodkan 4.6 peratus tahun ini.

Tags
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Lain

Close
Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker