Ekonomi

Tarif Perdagangan Brazil: Satu Pengajaran

Semasa Donald Trump mengisytiharkan perang dagangnya ke atas China, beliau menegaskan ia dibuat demi melindungi kepentingan ekonomi Amerika Syarikat. Tetapi melihat kepada impak perang dagang yang sedang berlaku ketika ini, nyatalah perang dagang ini hanya melemahkan ekonomi masing-masing dan meletakkan situasi ekonomi dunia dalam keadaan rapuh. Daripada berterusan mengugut mengenakan tarif ke atas negara-negara lain, mungkin Trump seharusnya belajar daripada pengalaman pahit Brazil.

Brazil merupakan negara kedua terbesar dari segi populasi di Amerika Latin dan ada potensi menjadi kuasa besar ekonomi seperti mana China, Jepun dan Korea Selatan. Tetapi terima kasih kepada langkah tarif yang diperkenalkan kerajaan-kerajaan sebelumnya, ia hanya melindungi pemain-pemain industri tertentu dan membebankan pengguna domestik Brazil.

Berdasarkan Indeks Kebebasan Ekonomi Heritage Foundation, Brazil masih lagi mengehadkan kebebasan ekonominya dalam banyak segi. Daripada 180 negara, Brazil berada di tempat ke-150 dan dalam kumpulan sama dengan Afghanistan, Iran dan Myanmar. Dari segi perdagangan antarabangsa pula, mereka mengenakan purata tarif 8.59%, jauh lebih tinggi berbanding purata tarif dunia sebanyak 2.59%.

Tarif yang paling tinggi dikenakan ke atas produk pertanian dan perindustrian dengan kadar 55% dan 35%. Tarif sebegini bukan saja menjejaskan pertumbuhan ekonomi tetapi juga memaksa pengeluar menaikkan harga produk mereka. Maka tidak hairanlah, terima kasih kepada tarif sebegini, pengguna domestik terpaksa membelanjakan tambahan $35.13 bilion pada tahun 2015.

Langkah keras Brazil dalam melindungi pasaran ini sebenarnya memberi kesan kepada pengeluar domestik dan asing. Ini kerana tindakan Rio de Janeiro sentiasa mengubah kadar tarif dari semasa ke semasa untuk melindungi industri-industri sekaligus mewujudkan satu persekitaran yang tidak menentu dan bermasalah.

Pertama, tarif mengakibatkan syarikat-syarikat asing lari atau terpaksa menghasilkan produk mereka di situ untuk mengelak halangan perdagangan sebegini. Kedua, kurangnya saingan dari pihak luar mengakibatkan pengeluar domestik tidak berminat memperkenalkan inovasi baru dan sekaligus tiada minat untuk membawa produk mereka ke luar negara. Dan ini juga mendorong pemain industri terlalu bergantung kepada tarif kerajaan untuk terus bersaing dalam bidang masing-masing.

Satu contoh industri ialah industri tenusu Brazil. Sejak 2001, pengguna domestik berhadapan dengan tarif 3.9% (produk tenusu New Zealand) dan 14.8% (produk tenusu Eropah). Melihat tiada keperluan untuk mengenakan tarif ke atas produk tenusu luar, Kementerian Ekonomi memutuskan untuk membatalkan tarif yang dikenakan ke atas produk tenusu yang dinyatakan. Tetapi selepas menerima tekanan daripada pemain industri tenusu tempatan, tarif terus dikenakan ke atas produk tenusu asing.

Jika Brazil masih nak mengenakan tarif seperti sebelumnya tanpa berhadapan tindakan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), kerajaan pimpinan Jair Bolsonaro perlu mencari jalan lain. Rio de Janeiro boleh mempertimbang menaikkan tarif dari 28% kepada 42.8% ke atas rakan-rakan dagang dari Amerika Selatan. Tetapi, sebarang usaha untuk menaikkan tarif ini sudah pasti akan mendapat tentangan dari negara-negara serantau. Namun, Brazil boleh mengenakan tarif ke atas produk-produk Kesatuan Eropah (EU) sebagai tindak balas terhadap duti EU yang dikenakan ke atas keluli Brazil. Langkah tindak balas ini dibenarkan di bawah peraturan WTO.

Walaupun Bolsonaro sudah mula mengorak langkah tepat, mengubah mentaliti bahawa tarif merupakan langkah terbaik untuk melindungi industri bukan sesuatu yang mudah. Tarif bukan jalan yang membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang rancak, mengurangkan pengangguran dan memberi faedah kepada pengguna. Dan ini sesuatu yang harus disedari Trump sebelum terlambat.

Sumber
J. Boudreaux, Donald dan Crevelari, Hane. (2019). Brazil's Trade War Is a Warning to America. National Interest
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Lain

Close
Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker