Isu Semasa

Tabung Haji: Persoalan Yang Semakin Bertambah

Perbincangan Analisis Al-Hijrah berkenaan Tabung Haji malam tadi bagi saya sebenarnya lebih banyak menimbulkan persoalan berbanding memberikan jawapan yang jelas. Antaranya:

1. Salah seorang panel mengakui bahawa sukuk yang digunakan bagi pembayaran pindahan aset aset SPV kepada Tabung Haji sebenarnya belum lagi diterbitkan. Ia sesuatu yang janggal memandangkan aset terlibat telahpun dipindahmilik kepada SPV tersebut dan nilai sukuk tersebut telahpun dimasukkan dalam balance sheet (kunci kira-kira) Tabung Haji tahun lepas.

2. Salah seorang panel mengatakan kenyataan sukuk yang dikeluarkan SPV tidak dijamin kerajaan adalah sebuah prasangka (jahat). Sedangkan perihal tiadanya jaminan kerajaan tersebut telah dinyatakan sendiri oleh CEO Tabung Haji DS Zukri Samat dalam sidang media pada 11 Dis 2018 dan dihadiri sendiri oleh panel berkenaan. Soalannya, adakah selepas ini apa-apa kenyataan media daripada CEO Tabung Haji sendiri boleh dianggap sebagai prasangka dan tidak boleh dipercayai?

3. Hibah asas yang diberi oleh TH kepada pendeposit sepanjang zaman DSN adalah antara 4.25% hingga 6.5% dianggap tinggi. Salah seorang panel menyebut bahawa selepas ini TH akan pulih dan akan memberikan hibah yang berpatutan namun tidak lagi tinggi. Soalannya, bagaimana hibah tahunan 2-3% akan dapat mengekalkan deposit penyimpan sedangkan ia lebih rendah daripada instrumen kewangan lain seperti ASB, Public Mutual etc

4. Salah seorang panel menyebut bahawa pertambahan deposit TH selepas pengumuman hibah tahun ini adalah kira-kira RM300juta dengan pendaftaran lebih 3600 akaun baru. Ia dianggap sebagai pertambahan kepercayaan kepada pengurusan baru Tabung Haji. Sedangkan pendaftaran akaun baru adalah normal kerana ia adalah syarat bagi memperoleh giliran haji. Pertambahan deposit yang berlaku sebenarnya juga tidak menghairankan memandangkan panggilan haji sudahpun dikeluarkan dan 32 ribu jemaah haji akan mencukupkan simpanan mereka sebanyak RM9980 bagi membolehkan proses haji mereka berjalan lancar

5. Lebih mengelirukan adalah apabila pengacara bertanya berkenaan pengeluaran TH selepas pengumuman hibah, panel tersebut tidak menjawab sebaliknya hanya memberitahu proses pengeluaran deposit telah dilakukan oleh kakitangan TH dengan profesional. Mustahil beliau tidak tahu amaun sebenar pengeluaran deposit sedangkan beliau boleh menghafal jumlah pertambahan deposit oleh penyimpan. Kenapa amaun tersebut tidak diberitahu?

6. Salah seorang panel mengatakan bahawa selama ini kewangan Tabung Haji langsung tidak dipantau oleh sesiapa. Soalannya, bukankah audit kewangan Tabung Haji dilakukan setiap tahun oleh Jabatan Audit Negara? Apakah kita nak mengatakan jabatan kerajaan tersebut tidak membuat kerja?

7. Salah seorang panel mengatakan bahawa kisah TH sebelum ini adalah titik hitam dalam sejarah institusi tersebut. Tetapi sepanjang forum semalam, satu-satunya hujah yang dibawa beliau bagi ‘undermine’ pengurusan lama adalah kerana mereka menukar standard peratusan impairment (rosot nilai aset) dalam masa yang singkat. Peliknya, tindakan tersebut tidak melanggar apa2 undang2 dan peraturan sebaliknya hanya didefinasikan sebagai tidak beretika. Tiada sebarang ulasan berkenaan jenayah atau penyelewengan. Jadi bagaimana pengurusan lama boleh dipersalahkan atas ‘kerugian’ TH selama ini?

8. Salah seorang panel menolak cadangan agar kerajaan ‘inject’ RM10 bilion ke dalam kewangan TH (proprietary fund) bagi memulih kedudukan kewangan institusi tersebut atas alasan ia tiada dalam Akta Tabung Haji. Soalannya, peruntukan yang mana? Sekiranya wujud sekalipun larangan tersebut secara jelas, apa masalahnya jika TH memohon untuk undang2 tersebut dipinda di parlimen seberapa segera memandangkan kaedah tersebut lebih baik daripada penjualan aset kepada SPV? Kena ingat Dr Daud sendiri menyebut bahawa undang2 berkaitan Danaharta diperbuat dalam masa 15 hari sahaja dahulu.

9. Salah seorang panel mengakui bahawa kejatuhan yang berlaku hari ini adalah kerana kejatuhan pasaran saham. Jadi selama ini kenapa dipersalahkan ‘kerugian’ tersebut kepada ‘jenayah’ pengurusan TH lama sedangkan kejatuhan nilai saham pada 7 bulan pertama PH memerintah sendiri adalah sekitar RM270 bilion?

10. Satu satunya jawapan yang saya dapat daripada forum semalam adalah kenapa kerajaan hari ini enggan menubuhkan RCI bagi menyiasat penyelewengan dalam Tabung Haji. TH bukan jatuh kerana penyelewengan. TH jatuh kerana pasaran saham jatuh. Itu sahaja.

Ditulis oleh: Abdul Rahim Hilmi

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker