Polisi

Syarat Pemohon Dana Rumah Mampu Milik RM1 Bilion Dilonggarkan, Untuk Bantu Rakyat Atau Pemaju?

Pada 29 Januari 2019, Bank Negara Malaysia telah melancarkan Dana Rumah Mampu Milik BNM yang bernilai RM1 Bilion yang mensasarkan pembeli rumah yang berpendapatan rendah iaitu dengan pendapatan bulanan isi rumah maksimum RM 2,300.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, usaha BNM ini sedikit sebanyak dapat membantu rakyat kumpulan B40 untuk memilik rumah pertama.

Menurut hasil penyelidikan Kaji Selidik Kemudahan Asas dan Pendapatan Isi Rumah 2019 dari JSM, pendapatan isi rumah median untuk kumpulan B40 adlaah RM3,000. Jadi, ini bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk bantu golongan B40.

Namun pada 21 Ogos 2019, BNM telah mengumumkan penambahbaikan kelayakan yang akan berkuatkuasa pada 1 September 2019 seperti berikut :

  1. Pendapatan maksimum bulanan isi rumah dinaikkan sehingga RM4,360
  2. Harga maksimum hartanah dinaikkan daripada RM150,000 kepada RM300,000

Selain itu, tempoh pembiayaan juga dipanjangkan daripada 30 tahun kepada 40 tahun. Menurut jangkaan Menteri Kewangan, cara ini dapat mengurangkan bayaran bulanan sebanyak 20% berbanding cara biasa.

Syarat lain adalah peminjam mestilah pekerja bergaji atau bekerja sendiri dengan tidak mempunyai masalah rekod pembiayaan yang terjejas dalam tempoh 12 bulan yang terkini. Tambahan, kadar bagi pinjaman dana BNM ini adalah 3.5% setahun.

Berdasarkan catatan sidang akhbar oleh Astro Awani, Penolong Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata sebanyak 296 permohonan yang berjumlah RM31 juta telah diluluskan sehingga akhir Jun 2019.

Menurut ucapan Menteri Kewangan semasa pelancaran, beliau berkata senarai menunggu beli rumah mampu milik panjang tetapi tetap tidak dapat dijual kerana kesukaran untuk mendapat pinjaman. Tambahnnya lagi semasa sesi temubual, skim ini untuk bantu mereka yang permohonan pinjamannya gagal sebelum ini.

Menteri KPKT Zuraidah menambah ulasan, penentuan harga rumah mampu milik sesuatu kawasan berdasarkan purata (mean) pendapatan kawasan tersebut.

Adakah kaedah ini realistik atau tidak?

Berdasarkan petikan artikel Astro Awani, Pensyarah kanan dan Pengurus Pembangunan Perniagaan Fakulti Perniagaan Universiti Putra Malaysia Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ini akan membuatkan golongan berpendapatan rendah akan terus dibebani hutang.

Tambahan beliau, walaupun inisiatif ini dilihat sesuatu yang positif tapi ada kerisauan bahawa penyelesaian ini hanya untuk jangka pendek dan kemungkinan akan ada pihak tertentun yang mengambil kesempatan.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia merupakan isi rumahnya yang mempunyai hutang paling tinggi di Asia Tenggara. Iaitu melebih 80% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM1 trillion. Dan separuh daripadanya adalah pinjaman perumahan.

“Sepatutnya kerajaan menggalakkan alternatif pembiayaan rumah seperti sewa beli di bawah konsep Musharakah Mutanaqisah, supaya tidak berhutang dalam membeli rumah dan hanya menyewa seperti yang dilakukan oleh negara-negara maju di Eropah,” kata beliau kepada Bernama.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman pula berkata kebanyakan golongan B40 mampu untuk beli rumah bawah RM250,000. Bila syarat dilonggarkan, pemaju akan ambil kesempatan untuk banyakkan lagi rumah lebih mahal supaya pembeli tiada pilihan dan akhirnya dibebani hutang kerana diluar kemampuan.

Disinilah pertembungan berlaku sama ada kenyataan Menteri KPKT yang mengatakan penentuan harga rumah berdasarkan ‘mean’ pendapatan tempatan sesuatu kawasan itu realistik atau tidak.

Paling bahaya, kenyataan Menteri Kewangan yang mengatakan skim ini untuk membantu pemohon yang sebelum ini pinjaman mereka ditolak. Dan kebanyakan permohonan ditolak mestilah disebabkan diluar kemampuan pemohon sama ada dari segi gaji yang kecil dan tidak sepadan dengan komitmen ataupun tidak berdisiplin dalam membayar komitmen pinjaman yang lain.

Persoalannya, adakah penyelesaian ini menyelesaikan masalah rakyat atau masalah pemaju?

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker