GlobalTrivia

Solusi Hutang Perang Jerman

Hutang sebegini selalunya timbul apabila pemenang memaksa pihak yang kalah membayar sejumlah pampasan

Hutang Perang

Isu hutang perang bukanlah satu perkara asing dalam sejarah ketamadunan manusia. Hutang sebegini selalunya timbul apabila pemenang memaksa pihak yang kalah membayar sejumlah pampasan sebagai ganti rugi atas kerugian yang dialami pemenang semasa perang antara kedua-dua pihak. Tujuan hutang sebegini dibuat bagi memastikan pihak yang kalah fokus kepada pembayaran hutang dan mengalami kesukaran membina semula angkatan perang mereka.

Antara negara yang dicatatkan yang pernah dibebankan dengan hutang perang ialah negara kota Carthage. Carthage merupakan sebuah empayar maritim yang pernah menguasai Laut Mediterranean tetapi penguasaan mereka dicabar oleh Rom sehingga membawa kepada Perang Punic. Dalam dua siri pertama Perang Punic, Rom mengenakan pampasan 66 tan perak (Perang Punic Pertama) dan 300 tan perak (Perang Punic Kedua) yang perlu dibayar Carthage sebagai ganti rugi terhadap Rom.

Dalam era moden hari ini, Jerman merupakan negara terakhir yang dibebani hutang perang selepas menyelesaikan bayaran pinjaman terakhirnya pada tahun 2010. Jadi mengapa Jerman mengambil masa lama untuk menyelesaikan masalah ini?

Semasa Perang Dunia Pertama (WWI), Jerman tidak seharusnya kalah kerana mempunyai tentera yang kuat terutama tentera laut dan sektor perindustrian yang berkembang maju serta dibebani dengan hutang perang yang melampau. Tetapi itulah yang berlaku pada tahun 1919 menerusi Perjanjian Versailles.

Ganti Rugi

Sebagai ganti rugi terhadap pihak Bersekutu kerana melancarkan perang ke atas mereka, Berlin dipaksa membayar 100,000 tan emas. Syarat sebegini mengundang kritikan ramai pihak termasuk John Maynard Keynes yang melihat syarat tersebut tidak berhasil untuk mencapai tujuan seperti digariskan dalam perjanjian.

Bagi pihak Bersekutu terutama Perancis dan Britain, hutang tersebut dilihat akan memberi tekanan kewangan kepada Jerman dan tidak berupaya membina semula angkatan perangnya. Tetapi kerana Versailles juga, ia bertanggungjawab mencetuskan kebangkitan Nazisme dan Adolf Hitler seterusnya membawa kepada Perang Dunia Kedua (WWII).

Jerman pasca-WWI menyaksikan ketidakpuasan hati ramai orang terhadap Versailles terutama Artikel 231 Perjanjian Versailles yang menyalahkan Jerman sepenuhnya kerana mencetuskan WWI. Sejarawan merangkap pensyarah Sejarah Eropah di Universiti Newcastle Felix Schultz menyifatkan artikel berkenaan sebagai satu penghinaan dan satu motivasi kepada Jerman untuk tidak membayar dan tidak menerima perjanjian itu.

Tekanan kewangan yang terhasil dari perjanjian itu mengakibatkan situasi hiperinflasi yang dahsyat dan kadar pengangguran yang teruk sekaligus mendorong negara-negara yang menyertai perjanjian itu menimbang semula syarat perjanjian yang dianggap tidak munasabah.

Dua pelan kewangan yang diperkenalkan iaitu Rancangan Dawes 1924 dan Rancangan Young 1929 berjaya mengurangkan jumlah emas yang dibayar dan Jerman diberi kemudahan kewangan untuk membina semula ekonomi mereka. Tetapi kemelesetan ekonomi yang digelar Great Depression melanda dunia ketika itu dan banyak negara yang mengalami masalah hutang perang tidak dapat membayar.

Ini memaksa Presiden Herbert Hoover memperkenalkan moratorium pembayaran selama setahun. Pada tahun 1932, satu mesyuarat yang diadakan di Lausanne mengusulkan agar hutang perang Jerman dimansuhkan tetapi rancangan tersebut mendapat tentangan pihak Kongres. Dan itu sudah cukup mendorong Nazisme bangkit dan mengukuhkan persepsi pihak Bersekutu mahu mengenakan Jerman.

Selepas tamat WWII dan Jerman terpisah menjadi dua entiti iaitu Jerman Timur dan Jerman Barat, wujud diskusi siapa yang seharusnya dipertanggungjawabkan menanggung beban hutang perang Jerman. Satu perjanjian baru dimeterai pada tahun 1953 di London di mana semua bentuk bayaran ditangguhkan sehinggalah Jerman kembali bersatu. Selepas kejatuhan Tembok Berlin dan dua negara kembali disatukan pada tahun 1990-an, pemiutang-pemiutang memilih mengaktifkan syor Perjanjian Lausanne 1932 dan mengurangkan amaun hutang yang perlu dibayar kepada Jerman.

Negara-negara Terlibat

Tetapi bukan Jerman sahaja yang perlu membayar hutang perang. Terdapat beberapa negara yang turut terkena beban sama:

1. Selepas tewas dalam WWII, pihak Bersekutu menganggarkan Jepun kehilangan 42% daripada kekayaan negaranya. Justeru untuk membolehkan Jepun membina semula dan pada masa sama melunaskan ganti rugi kepada negara-negara terlibat, aset-aset negara itu dipindahkan kepada Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa untuk dijual dan hasil jualan diagihkan kepada agensi-agensi negara terlibat seperti dinyatakan dalam Perjanjian San Francisco 1951. Tokyo juga membayar pampasan berjumlah $6.67 juta kepada bekas tahanan-tahanan perang mereka.

2. Selepas memeterai perjanjian damai pasca-WWII, Itali diarah membayar pampasan $125 juta kepada Yugoslavia, $100 juta (Soviet Union), $25 juta (Ethiopia) dan $5 juta (Albania).

3. Finland diarah membayar jumlah penuh $300 juta kepada Soviet pada tahun 1952 sebagai ganti rugi semasa WWII.

4. Romania diarah membayar $300 juta kepada Soviet untuk tempoh lapan tahun dari 12 September 1944 dalam bentuk komoditi.

5. Bulgaria diarah membayar pampasan sebanyak $70 juta iaitu $45 juta kepada Greece dan bakinya kepada Yugoslavia. Bayaran ini dalam bentuk produk perindustrian, sektor perlombongan dan pertanian selama lapan tahun.

Sumber
Gibbs, Alexandra. (2015). CNBC. Who still owes what for the two World Wars?Lang, Olivia. (2010). BBC. Why has Germany taken so long to pay off its WWI debt?
Tags
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Lain

Close
Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker