Polisi

Skim MySalam, Siapa Yang Untung Sebenarnya?

Baru-baru ini kecoh dengan kes seorang pemandu lori, berumur 48 tahun yang menghidap kanser kolon tahap 4 tetapi permohonannya untuk tuntut pampasan dibawah skim MySalam ditolak. Seperti dinyatakan dalam laman web mySalam, mereka yang tergolong dalam B40 dan penerima BSH yang menghidap salah satu penyakit kritikal daripada 36 penyakit layak mendapat pampasan sebanyak RM8,000.

Walaubagaimanapun, menurut kenyataan media Menteri Kewangan, didapati permohonan pesakit tersebut ditolak kerana gagal melampirkan laporan perubatan daripada hospital kerajaan. Maka, timbullah semula pelbagai persoalan tentang skim mySalam yang dilihat tidak telus dimata orang awam.

Syarikat-syarikat insuran asing telah menguasai 81.7% dari industri insuran Malaysia pada tahun 2016. Dan pada tahun 2017, syarikat-syarikat asing ini dikenakan syarat untuk melepaskan sekurang-kurangnya 30% kepentingan saham dalam operasi tempatan mereka kepada syarikat tempatan. Ini bagi mengurangkan dominasi mereka dalam industri tempatan.

Untuk makluman, kira-kira sebanyak RM16.7 bilion keuntungan daripada syarikat-syarikat asing insuran telah dibawa pulang ke negara masing-masing dalam bentuk dividen kepada pemegang-pemegang saham mereka.

Disebalik penempatan mereka yang lama dalam Malaysia, sumbangan syarikat ini terhadap Malaysia tidaklah seperti yang diharapkan. Contohnya, peningkatan yang minimum dalam penembusan pasaran insuran, terutamanya takaful masih lagi rendah sekitar 14% sahaja. Tambahan, kurangnya produk untuk golongan berpendapatan rendah.

Oleh itu, langkah pengurangan pegangan saham syarikat insuran asing ini diharap dapat memberi keuntungan dua hala. Tetapi, kebanyakan syarikat asing tidak bersedia untuk berbuat demikian walaupun telah diberi peringatan untuk melaksanakan syarat tersebut sebelum 30 Jun 2018. Pelbagai cadangan dan pelan dibentang oleh syarikat-syarikat ini sebagai alternatif. Antaranya menubuhkan tabung amanah kesihatan, malangnya ditolak oleh BNM.

Lain pula halnya dalam Skim mySalam. Great Eastern Holding diberikan pengecualian apabila syarikat ini diberi mandat untuk menjadi pemodal bagi skim ini iaitu sebanyak RM2 Bilion. Justeru itu, kerajaan tidak perlu mengeluarkan modal bagi penubuhan skim ini yang mensasarkan golongan B40. Maklumlah hutang kerajaan tinggi, ini peluang yang baik demi manfaat rakyat tanpa mengeluarkan bajet tambahan.

Cuma menjadi tanda tanya, antara pemilikan saham 30% atau pemberian RM2 bilion secara one off, yang mana lebih menguntungkan rakyat?

Pengiraan RM2 bilion adalah berdasarkan keuntungan bersih Great Eastern Malaysia sebanyak RM792 juta pada akhir tahun kewangan Disember 2017. Mengikut nilai diskaun semasa untuk keuntungan yang dilepaskan selama 10 tahun, nilainya menjadi kira-kira RM2 bilion.

Jika 30% ekuiti dipegang oleh syarikat tempatan, RM238 juta keuntungan akan menjadi milik syarikat tempatan seterusnya memberi manfaat kepada kerajaan. Namun, syarat ini dikecualikan untuk GEH.

Justifikasi kerajaan untuk tidak memilih pelepasan 30% pegangan saham kepada syarikat tempatan adalah kerana proses melepaskan pelaburan oleh syarikat-syarikat asing ini mengalami kelewatan dan kesulitan akibat daripada penilaian dan pertimbangan kecairan dalam pasaran. Tambahan, jika kaedah ini dipilih, ia hanya memberi manfaat kepada penduduk yang sedia mewah.

Selain itu, kerajaan perlu membayar sebanyak RM400 juta premium insuran setiap tahun (RM112 untuk 3.8 juta sijil) kepada Great Eastern daripada duit RM2 bilion tadi. Sedangkan menurut data yang diperoleh oleh Dr Jeyakumar, hanya RM1 Juta pampasan sahaja dibayar sehingga 22 Julai 2019. Beliau menganggarkan hanya sekitar RM3 juta pampasan dibayar dalam setahun.

Menurut Menteri Kewangan pula, duit yang tidak dituntut akan disalurkan kepada Tabung Amanah mySalam. Ini seolah-olah sama dengan pelan alternatif yang dicadangkan sebelum ini tetapi ditolak oleh BNM. Dalam hal pengurusan tabung amanah, kita yakin BNM lebih arif dalam hal ini dan pasti akan ada tindakan lanjut untuk menerangkan operasi tabung amanah ini secara ‘transparent’.

Persoalan lain, data golongan B40 yang di peroleh Great Eastern ini, bukankah ia akan memberi kelebihan untuk mereka membuat R&D produk insuran atau takaful mereka? Sedangkan kita ada syarikat takaful tempatan sendiri yang boleh menjadi simbiosis pada negara ini. Seterusnya, bagaimana pula proses pemilihan yang melayakkan Great Eastern mendapat mandat untuk menjadi peneraju Skim mySalam ini ?

Niat murni kerajaan dalam membantu rakyat terutama golongan B40 amat dihargai, namun kelompongan yang ada menimbulkan 1001 tanda tanya. Secara tidak langsung, ini akan mewujudkan prasangka yang negatif. Negara kita masih mencari identiti untuk cipta satu social health insurance yang kebanyakan negara maju telah buat. Tapi, apa yang kita lihat sekarang ia seolah-olah lebih memberi keuntungan kepada syarikat perniagaan berbanding rakyat kita sendiri.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Lain

Close
Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker