Ad
BeritaEkonomi

Sektor Pengangkutan Sebagai Pemboleh Utama Pembangunan Sosio Ekonomi Malaysia

Pada 2017, subsektor pengangkutan dan penyimpanan menyumbang sejumlah 3.6 peratus kepada Keluaran Kasar Dalam Negara dengan nilai sebanyak RM48.8 bilion

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Kecekapan sistem pengangkutan Malaysia merupakan pemboleh yang kritikal dalam pembangunan sosio ekonomi, ia berhubung rapat dengan transformasi yang pesat dari kawasan pertanian luar bandar kepada sebuah negara perindustrian yang moden.

Dalam Dasar Pengangkutan Kebangsaan (NTP) 2019-2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di sini hari ini, Kementerian Pengangkutan menjelaskan Malaysia sentiasa mengembang dan menaiktaraf rangkaian jalan dan sistem kereta apinya.

Bagi menyokong aktiviti perniagaan dan perdagangan, pelabuhan bertaraf dunia dan lapangan terbang seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pelabuhan Klang telah dibina.

Ad

Sejak merdeka pada 1957, Malaysia telah membina jalan raya sepanjang lebih 200,000 km, lebih 2,900 km rel kereta api dan 18 pelabuhan serta 22 lapangan terbang yang hari ini membentuk tulang belakang pertumbuhan Malaysia sebagai peneraju utama pasaran Asia Tenggara dan global.

“Pada 2017, subsektor pengangkutan dan penyimpanan menyumbang sejumlah 3.6 peratus kepada Keluaran Kasar Dalam Negara dengan nilai sebanyak RM48.8 bilion, dan 6.6 peratus kepada nilai tambahan dalam sektor perkhidmatan.

“Subsektor ini meningkat pada kadar purata 5.6 peratus setahun di antara 2005 dan 2017, dan dijangka bertambah kepada 8.9 peratus atau lebih pada masa hadapan,” kata kementerian itu.

Pelan tindakan ini menggariskan bahawa peningkatan populasi Malaysia yang naik daripada 28.3 juta pada 2010 kepada 31.7 juta (2016) dan dianggarkan akan mencapai 41.5 juta menjelang 2040, menjadi antara faktor utama yang menyebabkan strategi pengangkutan semasa perlu ditinjau semula untuk memastikan pengangkutan boleh diakses dan mampan.

Dengan meningkatnya taraf hidup serta mobiliti, dianggarkan menjelang 2030, rakyat Malaysia akan membuat sebanyak 131 juta perjalanan secara harian, satu kenaikan yang ketara berbanding hanya 40 juta yang direkodkan pada 2010.

“Pertumbuhan pesat dalam mobiliti sejak beberapa tahun ini akan terus memuncak dan jika tidak ditinjau semula, ia akan menjejaskan ekonomi secara ketara khususnya dalam produktiviti serta pencemaran,” katanya lagi.

Melihat kepada pertumbuhan yang pesat dalam sektor pengangkutan untuk tempoh 10 hingga 20 tahun lepas, termasuk kedudukan Malaysia sebagai hab pengangkutan Asia Tenggara, wujud keperluan bagi pelan hala tuju pengangkutan nasional yang lebih terangkum.

Ia amat wajar untuk menyediakan hala tuju yang strategik dan bertindak sebagai titik rujukan bagi kementerian serta agensi dalam membangunkan sistem pengangkutan yang cekap, bersepadu dan lestari.

Pelan hala tuju ini juga boleh menyatukan dan memperkemaskan inisiatif serta usaha ke arah kesamaan objektif dan matlamat, menyumbang kepada penggunaan sumber yang cekap, disamping menangani halangan yang menjejaskan pertumbuhan sektor pengangkutan termasuk mampu merangsang pertumbuhan dan mewujudkan jejak serantau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Back to top button