Ekonomi

Sejarah Sistem Perbankan Islam Di Malaysia

Sudah menjadi lumrah bagi umat Islam untuk mencari yang terbaik dari segi kehalalan terutama membabitkan sistem perbankan. Ini kerana apabila mereka mengadakan pelbagai urusan kewangan dengan bank-bank konvensional, mereka sudah pasti akan terdedah dengan unsur riba, satu perkara yang memang diharamkan agama menerusi ayat 275, Surah al-Baqarah. Justeru, ini yang membawa kepada idea penubuhan sistem perbankan Islam dan bagaimana bank Islam pertama ditubuhkan di Malaysia.

Jual janji

Satu inisiatif muamalat awal yang digerakkan umat Islam terutama di Alam Melayu ialah jual janji atau bay’ al-wafa’. Jual janji merupakan satu cara bagi para petani di negeri-negeri Melayu utara (NNMU) meraih dana diperlukan untuk membiayai aktiviti pertanian mereka dan sudah berlaku sebelum era penjajahan lagi. Dari sudut bahasa, bay’ bererti jual beli sementara al-wafd’ bermaksud pelunasan atau penunaian hutang. Para ulama’ Dari segi takrifan istilah, ia bermaksud jual beli yang dilakukan oleh dua pihak di mana terdapat syarat bahawa barangan yang diakadkan itu boleh dibeli semula oleh penjual apabila tamat tempoh masa tertentu yang dipersetujui bersama. Antara tujuan pengamalan transaksi sebegini ialah untuk mendapatkan modal yang bebas daripada riba dalam usaha penanaman padi dan seumpamanya tanpa perlu menemui ceti atau mana-mana institusi kewangan yang mengamalkan riba.

Akad sebegini pada asalnya banyak diamalkan oleh penduduk di Asia Tengah seperti Bukhara dan Samarkand pada pertengahan abad kelima Hijrah untuk mengelakkan sebelum tiba ke Timur Tengah dan tersebar ke serata tempat termasuk rantau Nusantara. Akad sebegini boleh disamakan dengan pinjaman kredit tanpa faedah. Akad ini ialah penjualan tanah atau harta tetap milik penjual kepada pembeli dengan janji untuk membeli semula dalam tempoh masa tertentu contohnya dalam tempoh dua atau tiga tahun. Dalam tempoh itu, pembeli boleh menggunakan dan menduduki tanah tersebut. Jika tempoh yang dijanjikan tamat dan penjual gagal untuk membeli semula hartanya, ia akan berpindah milik kepada pembeli.

Justeru tidak hairanlah semasa era penjajahan, budaya jual janji ini turut menarik perhatian pengamal undang-undang koloni menerusi keputusan-keputusan penghakiman. Contohnya dalam kes Tengku Zahara v. Che Yusuf (1951 MLJ 1), Hakim Briggs memutuskan tujuan transaksi jual janji ialah untuk mendapatkan kemudahan kredit (hutang) dan memberikan kepada pemberi pinjam (pembeli tanah) bayaran ganti rugi yang sepadan tanpa terlibat dengan amalan bunga {faedah/interest/riba) yang diharamkan ke atas orang Islam. Sementara dalam kes Mohamed Isa v. Haji Ibrahim (1968 MLJ 186), Hakim Azmi, Ketua Hakim Malaya, telah membuat kenyataan yang sama dan amalan yang menjadi kebiasaan para petani Kedah itu pada dasarnya ialah transaksi jual janji di mana penjual mempunyai hak untuk membeli semula hartanya dan untuk membolehkan pembeli (peminjam wang) mengambil manfaat daripada transaksi yang sah menurut undang-undang syariah.

Bentuk akad yang menjadi budaya masyarakat setempat ini amat penting untuk dikembangkan dan menjadi asas dalam penawaran produk perbankan Islam terutamanya membabitkan produk pembiayaan modal. Golongan yang menjadi sasaran kepada produk ini ialah golonagn petani kecil yang mengusahakan penanaman padi, kelapa, kelapa sawit, sayur-sayuran dan seumpamanya jika sekiranya mereka sukar mendapatkan modal daripada sumber yang lain atau kemudahan pinjaman yang ada berasaskan riba.

Bank Islam pertama

Justeru, tidak hairanlah mengapa ramai ulama terutama dari latar belakang ekonomi dan perbankan berusaha menjadikan impian sistem perbankan Islam ini satu realiti. Ianya menjadi kenyataan menerusi penubuhan sebuah bank perdagangan Islam pertama di Dubai pada tahun 1975. Tahun tersebut turut menyaksikan Bank Pembangunan Islam diasaskan di Jeddah, Arab Saudi. Tetapi penghormatan sebagai bank Islam pertama dianugerahkan kepada Bank Simpanan Mit Ghamr yang ditubuhkan oleh pakar ekonomi Dr Ahmed El Najjar. Dari tahun 1975 sehingga akhir tahun 1983, terdapat lebih 50 buah bank yang beroperasi di seluruh dunia termasuk di negara-negara bukan Islam. Bank-bank yang ditubuhkan dalam tempoh berkenaan telah menunjukkan prestasi yang membanggakan dan mampu mendatangkan keuntungan. Selain itu, golongan bukan Islam terutama golongan peniaga juga telah mula berurusan dengan bank-bank Islam tersebut.

Institusi kewangan Islam yang pertama sekali diperkenalkan dalam sistem kewangan negara ialah Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) yang kini dikenali sebagai Lembaga Tabung Haji (LTH) pada tahun 1969. la merupakan sebuah institusi tabungan dalam sistem kewangan Malaysia yang ditubuhkan bagi membolehkan orang-orang Islam menyimpan wang secara beransur-ansur untuk memenuhi perbelanjaan menunaikan fardhu haji dan melibatkan diri dalam bidang penanaman modal dalam bidang perusahaan, perdagangan, perladangan dan hartanah melalui cara-cara yang halal di sisi Islam.

Ekoran kejayaan penubuhan bank-bank Islam di beberapa negara seperti Mesir, Iraq dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), wujud suara-suara yang mahukan bank sama turut diperkenalkan di Malaysia. Kongres Ekonomi Bumiputera yang diadakan pada tahun 1980 telah meluluskan usul supaya kerajaan membenarkan LTH menubuhkan sebuah bank Islam untuk mengumpul dan melaburkan wang umat Islam dalam bidang-bidang pelaburan yang bersifat halal lagi menguntungkan. Pada bulan Mac 1981, satu seminar yang bertajuk “Seminar Kebangsaan Konsep Pembangunan Dalam Islam” telah diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pada akhir seminar, satu resolusi diluluskan dnegan meminta kerajaan mengambil tindakan segera menggubal undang-undang bagi membolehkan penubuhan bank dan institusi kewangan yang beroperasi berasaskan prinsip-prinsip Islam.

Selepas mengambil kira pandangan semua pihak termasuk syor LTH, satu jawatankuasa ditubuhkan oleh kerajaan untuk menyelaras langkah-langkah ke arah penubuhan bank Islam di Malaysia. Justeru pada 30 Julai 1981, Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan (National Steering Committee) Bank Islam ditubuhkan dengan YM Raja Tan Sri Mohar Raja Badiozaman sebagai pengerusi jawatankuasa manakala LTH dilantik sebagai urusetia. Untuk membantu usaha penyediaan laporan, jawatankuasa ini telah merujuk kepada operasi Faisal Islamic Bank di Sudan dan Faisal Islamic Bank di Mesir sebagai panduan.

Tugas jawatankuasa pemandu ini ialah:

i) Mengkaji dan mengenalpasti pelbagai aspek kritikal perbankan Islam seperti asas penubuhan, operasi dan hubungan perniagaan dengan pelanggan dan lain-lain institusi kewangan.

ii) Menguji kesesuaian perbankan Islam dalam konteks Malaysia dari pelbagai sudut termasuk agama, bangsa, sosial dan pembangunan.

iii) Mengemukakan kepada kerajaan satu cadangan penubuhan Bank Islam Malaysia dalam laporan yang lengkap mengandungi aspek-aspek iaitu konsep asas perbankan Islam, rangka kerja perundangan, struktur syarikat, kawasan operasi dan struktur organisasi.

Selepas mengumpul semua fakta yang diperlukan selama setahun, satu laporan dibentangkan pada 5 Julai 1982 yang mengandungi maklumat seperti:

– Sebuah bank Islam yang menjalankan operasinya mengikut lunas-lunas hukum Syari’ah hendaklah ditubuhkan.

– Bank Islam tersebut hendaklah diperbadankan sebagai sebuah syarikat di bawah Akta Syarikat 1965.

– Oleh kerana Akta Bank 1973 tidak sesuai bagi operasi bank Islam, maka satu peruntukan undang-undang baru yang dikenali sebagai Akta Bank Islam 1983 hendaklah dicadangkan untuk melesen dan mengawasi bank Islam serta beberapa pindaan perlu dibuat terhadap akta-akta berkenaan yang sedia ada.

– Bank Negara Malaysia iaitu bank pusat perlu mentadbir Akta Bank Islam 1983.

– Bank Islam hendaklah menubuhkan Majlis Pengawasan (Penasihat) Syariah untuk menentukan bahawa ia menjalankan urusniaganya menurut lunas-lunas hukum syarak.

Laporan sama turut menyatakan tiga asas utama sistem perbankan Islam iaitu:

  • Pengharaman riba dan pelaksanaan sistem perkongsian untung dan rugi dalam semua aktiviti ekonomi yang melibatkan wang, kekayaan dan buruh. Konsep perkongsian untung dan rugi harus menggantikan mekanisme bunga dalam operasi perbankan Islam.
  • Pengurusan Bank Islam berasaskan kepada transaksi Islam (fiqh muamalat) supaya aktivitinya tidak berlawanan dengan prinsip syarak.
  • Menjauhi semua aktiviti yang berlawanan dengan kepentingan umat Islam. Aktiviti yang tidak selaras dengan kepentingan ummah dianggap sebagai penyalahgunaan kekayaan yang diamanahkan oleh Allah s.w.t.

Ekoran daripada laporan itu dan keperluan mewujudkan satu akta membabitkan bank Islam di Malaysia, pada Mac 1983, Parlimen meluluskan satu akta yang dipanggil Akta Bank Islam (ABI) 1983 yang berkuatkuasa pada April 1983 bagi membolehkan Bank Islam menjalankan operasinya berasaskan prinsip syarak. Pada masa sama, Parlimen turut meluluskan Akta Pelaburan Kerajaan 1983. Akta ini memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengeluarkan sijil pelaburan berasaskan kepada prinsip syarak membabitkan qard al hasan. Akta Bank Islam 1983 bertujuan memberi perlesenan dan mengawal operasi perniagaan perbankan Islam.

ABI 1983 yang digubal berdasarkan Akta Perbankan 1973 pada masa itu tetapi diubahsuai dan dipinda agar sejajar dengan prinsip dan amalan perbankan Islam. Pada asasnya, ia mengekalkan amalan biasa perbankan seperti yang terkandung dalam Akta Bank 1973 yang kini dipinda menjadi BAFIA 1989 dan memperuntukkan Bank Negara dengan kuasa pengawasan, penyeliaan dan perundangan terhadap bank Islam yang sama dengan bank-bank konvensional yang lain. Menurut seksyen 55 ABI 1983, seksyen ini memperuntukkan bahawa sebarang bank Islam yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 bukan saja perlu mematuhi ABI 1983 tetapi juga perlu mematuhi Akta Syarikat tersebut dan sekiranya terdapat percanggahan antara ABI dan Akta Syarikat, maka ABI akan mengatasi Akta Syarikat.

Berikut kandungan ringkas ABI 1983:

Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB)

Bank Islam yang pertama ditubuhkan di Malaysia ialah Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB). Ia telah diperbadankan sebagai sebuah syarikat berhad di bawah Akta Syarikat 1965 pada Mac 1983 dengan nama BIMB sementara pejabat berdaftarnya di Malaysia. Operasi perniagaannya bermula pada Julai 1983 dengan sebuah cawangan di Kuala Lumpur. Memorandum dan Tataurusan Persatuannya menggariskan cara dan objektif perniagaan bank ialah, “Semua urusan perniagaan yang dijalankan oleh syarikat mestilah mengikut prinsip, peraturan dan amalan Islam. Antara tujuan utama penubuhannya ialah untuk menjalankan urusan perbankan Islam di semua jabatan dan cawangannya. Bank Islam ditegah daripada menjalankan apa-apa sahaja aktiviti perniagaan yang tidak selaras dengan kehendak prinsip syarak.”

Misi BIMB ialah berusaha menjalankan operasinya sebagai sebuah bank perdagangan yang berasaskan prinsip syarak, untuk menyediakan produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan perbankan secara Islam kepada semua masyarakat dan masyarakat Islam khususnya di Malaysia dengan mencapai keteguhan dan keupayaan berkembang maju dan berdaya saing dari masa ke semasa. Operasi terpenting BIMB yang berasaskan prinsip syarak ialah melaksanakan muamalat urusan bank dan kewangan tanpa riba. Dalam erti kata lain, amalan mengenakan riba dalam semua urusan perbankan dan kewangan sebagaimana di institusi-institusi kewangan konvensional digantikan dengan sistem perkongsian untung dan rugi. Sistem perkongsian untung dan rugi ini dilihat menjamin keadilan sosial dalam pembahagian untung dan rugi kepada pendeposit, pelabur dan pemilik saham bank. Penubuhan BIMB bukan semata-mata untuk mengejar keuntungan tetapi juga untuk mencapai matlamat kebajikan sosial, moral dan masyarakat dari perspektif Islam.

Pada awal penubuhannya, BIMB mempunyai modal yang dibenarkan sebanyak RM500 juta. la kemudiannya dibahagikan kepada 499,999,999 saham biasa bernilai RM1.00 sesaham dan satu saham Keutamaan Hak Istimewa Boleh Tebus bemilai RM1.00. Modal berbayar permulaan BIMB ialah RM80.00 juta yang disumbangkan oleh badan-badan berikut iaitu:

Pada tahun 1991, modal berbayar bank telah diperbesarkan melalui penyusunan semula modal kepada RM133,405,001 dan kesemua saham bank telah disenaraikan di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) pada 17 Januari 1992. Seterusnya pada tahun 1997, bank melaksanakan penyusunan semula modal buat kali kedua yang melibatkan penambahan modal dibenarkan kepada RM2 billion yang terdiri dari 1,999,999,999 saham biasa berharga RM1.00 setiap satu dan Saham Keutamaan Hak Istimewa Boleh Tebus bernilai RM1.00 yang dipegang oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) Malaysia. Modal berbayar juga turut bertambah kepada RM500 juta melalui terbitan bon dan suntikan modal tambahan sebanyak RM313 juta oleh syarikat induk BIMB Holdings Berhad. BIMB Holdings Berhad yang diperbadankan pada 20 Mac 1997 ditubuhkan khusus sebagai sebahagian dari agenda penyusunan semula modal yang dinyatakan sebelumnya.

Sebelum penyusunan semula struktur modal pada 20 Mac 1997, BIMB mempunyai anak-anak syarikat seperti al-Ijarah, al-Wakalah, Syarikat Takaful, BIMB Islamic Trust Labuan, BIMB Unit Trust, BIRT dan BS (Holdings). Di bawah BS (Holdings) ialah BIMB Securities, dan di bawahnya ialah BIMSEC Nominees (Asing) dan BIMSEC Nominees (Tempatan). Selepas penyusunan semula struktur modal BIMB diselesaikan pada 20 Mac 1997, BIMB merupakan salah satu entiti yang terdapat di bawah BIMB Holdings Berhad. Selain BIMB (Bahagian Perbankan), di bawah BIMB Holdings Berhad terdapat Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB) (Bahagian Takaful), BIMB Securities (Holdings) Sdn. Bhd (Bahagian Pasaran Modal), Syarikat al-Ijarah Sdn. Bhd. (Bahagian Harta), BIMB Institute of Research Training Sdn. Bhd. (BIRT) (Lain-lain) dan Pembiayaan Perumahan Nasional Sdn. Bhd. (Lain-lain).

Di bawah BIMB pula terdapat anak syarikatnya iaitu Bank Islam (Labuan) Ltd. yang beroperasi di Labuan, al-Wakalah Nominees (Tempatan) Sdn. Bhd., BIMB Unit trust Management Berhad, BIMB International Islamic Unit Trust (Labuan) Sdn. Bhd dan BIMB Foreign Currency Clearing Agency Sdn. Bhd. Sementara di bawah Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB) terdapat anak syarikatnya iaitu Asian Re-Takaful International (Labuan) Ltd. yang beroperasi di Labuan. Di bawah BIRT terdapat BIRT Academic Services Sdn. Bhd. Sementara anak-anak syarikat BIMB Securities Sdn. Bhd. Pula ialah BIMSEC Asset Management Sdn. Bhd., BIMSEC Nominees (Asing) Sdn. Bhd. dan BIMSEC Nominees (Tempatan) Sdn. Bhd.

Skim Perbankan Islam (SPI)

Selepas kejayaan penubuhan BIMB, wujud pula keinginan untuk membawa sistem perbankan Islam ke sistem kewangan arus perdana di Malaysia. Skim Perbankan Islam (SPI) ini ialah satu skim yang dirangka untuk membenarkan institusi kewangan konvensional menawarkan khidmat perbankan Islam yang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat yang melibatkan beberapa fasa. Semua bank perdagangan, bank saudagar dan syarikat kewangan layak menyertai SPI. Fasa pertama yang dilancarkan pada Mac 1993 melibatkan tiga buah bank perdagangan terbesar negara ketika itu iaitu Malayan Banking Berhad, Bank Bumiputera Malaysia Berhad dan United Malayan Banking Corporation Berhad.

Ketiga-tiga bank ini diberi kebenaran untuk menawarkan kemudahan-kemudahan perbankan Islam kepada pelanggan selain perbankan konvensional. Antara kemudahan yang ditawarkan ialah akaun deposit pelanggan, pembiayaan pemilikan aset dan pembiayaan perdagangan yang berasaskan prinsip-prinsip syariah seperti wadi’ah, mudarabah, bay’ bithaman djil, ijdrah, kafdlah dan wakdlah. Perkhidmatan SPI tersebut telah mendapat respons yang menggalakkan daripada orang ramai. Melalui 281 cawangan ketiga-tiga bank berkenaan, dalam masa kurang daripada dua bulan, mereka berjaya menarik 4,146 pendeposit dan mengumpulkan sejumlah 30 juta deposit.

Fasa kedua perlaksanaan SPI yang dilancarkan pada 21 Ogos 199328 melibatkan 10 lagi institusi kewangan dan perbankan di Malaysia, seperti Perwira Habib Bank Berhad, Arab Malaysian Finance Berhad dan Mayban Finance Berhad. Pada ketika itu, keseluruhan cawangan institusi kewangan yang menawarkan SPI berjumlah 440 tidak termasuk 44 buah cawangan BIMB. Sehingga akhir Disember 1995, jumlah institusi kewangan yang menyertai SPI ialah sebanyak 42 buah dengan jumlah cawangan yang menawarkan kemudahan SPI sebanyak 1472 iaitu 1406 cawangan yang menawarkan SPI/SPTF dan 66 cawangan BIMB.

Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB)

Pada 1 Oktober 1999, bank Islam kedua ditubuhkan di Malaysia ialah Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB). Bank ini terhasil daripada penggabungan Bank Bumiputera Malaysia Berhad (BBMB) dan Bank of Commerce Malaysia Berhad yang akhirnya melahirkan

Bumiputera-Commerce Bank Berhad dan BMMB. Ia merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuhkan sektor perbankan Islam bagi memenuhi permintaan masyarakat yang semakin bertambah.

BMMB yang mempunyai kakitangan seramai seribu orang pada awal penubuhannya dan beroperasi di 40 buah cawangan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak serta beribu pejabat di Menara Bumiputera, Jalan Melaka, Kuala Lumpur. la telah memulakan operasinya dengan dana pemegang saham sebanyak RM30 juta dan pengambilalihan asset Skim Perbankan Islam Bank Bumiputera Malaysia Berhad, BBMB Kewangan dan Bank of Commerce (M) Berhad yang berjumlah RM3 billion. Dari sudut pemilikan saham pula, Commerce Asset-Holding Berhad (CAHB) memperuntukkan sahamnya sebanyak 30% dalam BMMB dengan selebihnya adalah milik penuh kerajaan Malaysia.

Bank Muamalat beroperasi berasaskan prinsip-prinsip syarak dengan dinasihati oleh penasihat-penasihat syariah yang berautoriti dan menekankan kepada konsep perniagaan secara borong iaitu menjadikan bentuk-bentuk perniagaan al-musharakah dan al-muddrabah sebagai aktiviti utama perniagaannya, bukannya secara runcit seperti yang diamalkan oleh institusi-institusi berkenaan dalam Skim Perbankan Islam di Malaysia.

Sumber
Tamkin Borhan, Joni. (2001). Sistem Perbankan Islam Di Malaysia: Sejarah Perkembangan, Prinsip Dan Amalannya. Universiti Malaya
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker