Isu Semasa

Sama Tetapi Tidak Serupa

Petang Jumaat lalu keluar berita kerajaan bercadang untuk membeli empat lebuhraya iaitu LDP, KESAS, SPRINT dan SMART. Harga yang ditawarkan adalah RM6.2 bilion.

Untuk RM6.2 bilion ni, harganya agak munasabah. Tidak terlalu mahal, dan tidaklah terlalu murah.

Jadi, adakah kerajaan akan mengeluarkan duit untuk membeli lebuhraya-lebuhraya ini?

Secara teknikalnya, tidak.

Sebab dengarnya kerajaan akan tubuhkan satu Special Purpose Vehicle (SPV) untuk tujuan ini.

Bahasa mudahnya, akan ada satu syarikat di bawah Kementerian Kewangan (MoF) yang akan meminjam RM6.2 bilion daripada pasaran kewangan dan bayar kepada pemegang saham lebuhraya-lebuhraya tersebut.

Pendapat saya, besar kemungkinan bon (hutang) ini akan berstatus government guaranteed. Alah, samalah darjatnya dengan bon 1MDB yang kecoh-kecoh dulu. Kalau syarikat tersebut tidak mampu membayar hutang, kerajaan yang akan menanggungnya.

SPV ini pula, macamana dia nak bayar semula hutang (bon) tadi kepada pelabur di pasaran?

Kalau ingat, tidak lama dulu kerajaan sudah memberikan petunjuk tentang tol ini.

Tol akan dihapuskan, tapi akan ada bayaran baru yang akan dikenakan, iaitu caj kesesakan (congestion charges).

Katanya caj kesesakan ini akan berkadaran dengan kadar tol yang ada sekarang. Cuma akan dikenakan semasa waktu puncak sahaja (iaitu 6 jam/sehari).

Manakala pukul 11 malam sehingga 5 pagi, tiada sebarang bayaran akan dikenakan. Percuma.

Yang selebihnya (tolak 6 jam waktu puncak, dengan masa yang percuma tadi), akan ada diskaun sehingga 30% daripada kadar sekarang.

Caj kesesakan ini lah yang akan tampung perbelanjaan operasi dan penyelenggaraan, dan tak lupa bayaran semula hutang tadi.

Walau apa pun, ini hanyalah tawaran sahaja. Dan tawaran kerajaan ini terbuka sehingga 12 Julai 2019 saja.

Dalam masa tiga minggu ni, pihak pemegang saham lebuhraya akan bagi keputusan sama ada setuju atau tidak dengan cadangan kerajaan ni (tertakluk kepada keputusan kabinet juga).

Kalau setuju, 1 Januari 2020 nanti kita dapatlah kadar tol yang baharu.

Menteri Kewangan juga sudah memberi petunjuk bahawa kalau formula ni berjaya, ada kemungkinan kerajaan akan cuba buat perkara yang sama juga bagi lebuhraya yang lain.

Yang bagusnya, kerajaan tidak perlu keluarkan duit untuk menanggung kos RM6.2 bilion ini. Hal ini kerana SPV tersebut yang akan berhutang untuk membayar kos tersebut.

Yang tidak berapa enaknya, kalau konsesi, ada tarikh luput. Selepas dari tarikh luput , syarikat konsesi tidak boleh kutip tol dah.

Tapi caj kesesakan ini, tidak ada tarikh luput. Boleh jadi sampai bila-bila kita akan tetap kena bayar.

Lagi satu, kalau kita gunakan cara pengiraan yang sama yang digunakan oleh Menteri Kewangan, keputusan ini akan meningkatkan lagi jumlah hutang negara.

Dan ini agak bercanggah dengan apa yang dirisaukan tentang masalah beban hutang negara (yang juga dilaungkan oleh Menteri Kewangan yang sama).

Nak kata secara keseluruhannya keputusan ini akan menguntungkan pengguna seperti kita, ia agak kurang tepat juga.

Sebab majoriti pengguna akan tetap gunakan lebuhraya ketika waktu puncak (pergi kerja + balik kerja).

Yang akan dapat manfaat penjimatan itu ada, tetapi hanya segelintir sahaja.

Ditulis oleh: Faiz Pire

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker