Berita

RRJ Capital Melamar PLUS Malaysia Dengan Nilai RM3 bilion

RRJ Capital, sebuah syarikat ekuiti swasta (private equity) yang beroperasi di Singapura dan China adalah dimiliki bersama oleh Richard dan Charles Ong. Mereka ini merupakan adik beradik dan juga rakyat Malaysia.

Dalam surat lamarannya (baca : kertas cadangan) yang bertarikh 25 September 2019 kepada PLUS dan Khazanah, pengerusi RRJ Capital, Richard Ong menyatakan hasratnya untuk membeli PLUS Malaysia pada nilai RM3 bilion (US 716 milion dolar) . Jika pembeliannya itu berjaya, kadar harga tol tersebut dapat dikurangkan sebanyak 20% di seluruh Malaysia.

Bercakap pasal kadar harga tol, elok juga kita singkap sekejap sejarah kenaikan harga tol ni dan sejarah penubuhannya.

Sejarah Penubuhan PLUS

Lebuhraya Utara Selatan PLUS adalah merupakan projek mega terbesar dan terawal Malaysia ketika itu yang bermula dari Bukit Kayu Hitam di utara dan berakhir di Johor Bharu di selatan. Projek ini merangkumi kira-kira lebih 900 km. Fasa pertama projek ini adalah Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban yang dibuka pada tahun 1977.

Pada awalnya projek ini merupakan projek kerajaan Malaysia dibawah seliaan Jabatan Kerja Raya. Bagi menyelaraskan proses pembinaan, operasi dan penyelenggaran serta pembiayaan projek tersebut, maka Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dibentuk pada 24 Oktober 1980. LLM telah diberi tanggungjawab untuk meneruskan projek ini dimasa hadapan.

Fasa seterusnya ialah bahagian Bukit Kayu Hitam ke Jitra yang bermula pada 1 Mac 1981. Namun pada tahun 1983, dibawah Dasar Penswastaan Perdana Menteri ketika yang juga PM sekarang iaitu Tun Mahathir telah menswastakan projek ini. Secara tidak langsung, ini merupakan projek penswastaan yang terbesar di Malaysia.

Oleh sebab itu, pihak LLM telah menghadiahkan projek tersebut kepada United Engineers (Malaysia) Berhad (UEM) dengan nilaian sebanyak RM3.4 bilion ( UMNO’S Corporate Investments (1990) , Profesor Edmund Teren­ce Gomez) .

Ketika penyerahan projek tersebut, hampir separuh panjangnya telah disiapkan oleh LLM yang menelan belanja sebanyak RM3 bilion (Gomez 1990 : 127).

Pada tahun 1988, UEM telah menubuhkan sebuah syarikat khas bagi mengendalikan projek ini. Maka terlahirlah Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan seterusnya projek ini siap sepenuhnya pada pertengahan 1994.

Memetik daripada Pakar Ekonomi, Profesor Jomo Kwame Sunda­ram dalam bukunya Dasar-Dasar Ekonomi Mahathir edisi ketiga (1987),

pen­swas­taan pada masa kini lebih buruk kesan­nya kerana dilaksanakan dalam keadaan kemelesetan ekonomi yang paling teruk semenjak merdeka.

Projek Lebuh raya Utara-Selatan bernilai RM8 bilion walaupun diswastakan akan melibatkan pembiayaan awam akibat dari pinjaman sebanyak RM1.5 bilion yang diberi oleh kerajaan kepada kontraktor utama United Engineers. Keputusan tersebut telah diambil tanpa persetujuan atau rundingan umum. Setakat ini kerajaan masih belum mengumumkan kadar bunga yang dikenakan ke atas pinjaman dan siapakah penjaminnya

(Jomo 1987: 70-71)

Perjanjian Asal Konsesi PLUS-UEM

Mengikut perjanjian asal pada tahun 1987, konsesi ini sepatutnya tamat pada tahun 2018. Namun pada tahun 1999 dibawah Tun Mahathir juga, konsesi PLUS dirunding untuk kali pertama dan tempoh konsesi ini dipanjangkan 12 tahun dari tahun 2018 kepada tahun 2030.

Tambahan daripada intipati perjanjian tersebut, PLUS dibenarkan untuk menaikkan kadar tol sebanyak 10% setiap 3 tahun. Kali terakhir tol lebuhraya PLUS dinaikkan ialah pada tahun 2005. Selepas itu, tol lebuhraya PLUS tidak pernah naik sehingga hari ini.

Disebabkan kerajaan Najib Razak ketika itu tidak membenarkan kenaikan kadar tol sejak tahun 2005, kerajaan perlu membayar jumlah hutang pampasan sebanyak RM6.5 bilion seperti tertakluk dalam perjanjian tambahan tahun 1999 yang dibuat oleh Tun Mahathir.

Oleh itu, kerajaan terpaksa runding semula konsesi ini pada tahun 2011 dimana hutang pampasan RM6.5 bilion tidak perlu dibayar lagi.

Ketika itulah, Khazanah (51%) dan KWSP (49%) membeli PLUS dengan sepenuhnya.

Selain itu, hasil rundingan semula itu juga berjaya menurunkan kadar kenaikan tol daripada 10% kepada 5% setiap 3 tahun tetapi tempoh konsesi tol dilanjutkan 8 tahun lagi menjadi kepada tahun 2038.

Kadar kenaikan tol baru ini hanya 1.7% setahun dan dari setiap Ringgit tol yang dikutip, 51 sen akan beralih kepada kerajaan melalui Khazanah Nasional dan 49 sen kepada KWSP, bukan lagi memberi keuntungan kepada syarikat swasta semata.

Dari sini kita boleh lihat bagaimana pengaliran hasil keuntungan projek kerajaan daripada dua era pemerintahan yang berbeza. Dan kini, sudah nampak bibit hasil projek mega ini untuk diswastakan semula.

Dengan kos pembinaan lebih RM8 bilion ini yang keuntungannya disalur kepada rakyat semula, ada hati nak lamar hanya RM3 bilion untuk penurunan kadar tol 20% dan yang untung syarikat tersebut.

Anda rasa berbaloikah?

sejarah-lebuhraya-plus
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker