Berita

RM5.01 Bilion Dana Asing Keluar Sejak Awal Tahun

KUALA LUMPUR: Dana asing menjual RM601.2 juta bersih saham tempatan minggu lalu, aliran keluar bersih dana asing mingguan yang terbesar dalam tempoh 11 minggu, menurut MIDF Research.

Dalam laporan aliran dananya, MIDF Research berkata, kadar jualan bersih asing di Bursa Malaysia pada minggu lalu meningkat dengan ketara dan FBM KLCI utama merosot 1.3 peratus pada minggu itu selepas ditutup pada 1,626.76 mata pada Jumaat, menjadikan minggu keempat yang mencatatkan penurunan.

Pada masa sama, ringgit susut 0.9 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), selepas ditutup pada RM4.158.

“Tenaga Nasional Bhd mencatatkan aliran masuk wang bersih tertinggi sebanyak RM12.59 juta pada minggu lalu. Harga sahamnya naik 1.76 peratus pada minggu itu, mengatasi bursa tempatan yang mencatatkan penurunan mingguan -1.29 peratus,” menurut MIDF Research.

Sementara itu, United Plantations Bhd menyaksikan aliran keluar wang bersih terbesar sebanyak RM6.76 juta minggu lalu dengan harga sahamnya susut 0.23 peratus pada minggu itu, mengatasi FBM KLCI yang merosot 1.29 peratus dalam tempoh berkenaan.

MIDF Research berkata Julai mencatatkan aliran keluar bersih asing sebanyak RM79.2 juta, menjadikan bulan aliran keluar bersih asing kelima pada tahun ini.

Setakat ini, aliran keluar bersih asing dari Malaysia sebanyak RM5.01 bilion.

Sebaliknya, enam pasaran Asia lain yang dipantau MIDF Research, iaitu Korea Selatan, Thailand, Indonesia, India, Taiwan dan Filipina menyaksikan aliran masuk bersih asing setakat ini pada tahun ini, dengan India yang terbesar.

-BERNAMA

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker