Polisi

Reviu Belanjawan 2019: Kedudukan Fiskal

Terdapat 5 elemen yang ingin diketengahkan dalam menilai kedudukan fiskal negara pada tahun 2019. Antara 5 elemen tersebut adalah perkembangan KDNK, defisit fiskal, hutang negara, kedudukan hutang negara, penjualan aset negara dan pengenalan duti eksais ke atas minuman bergula.

Perkembangan Ekonomi Negara (2 bintang)

Elemen pertama yang ingin dinilai adalah perkembangan ekonomi negara. Dalam Kajian Separuh Penggal RMK-11, perkembangan ekonomi negara dijangka berkembang pada 4.5% hingga 5.5% berbanding sasaran awal iaitu pada 5.0% hingga 6.0%. Dalam masa yang sama, kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir telah melancarkan pelan Wawasan Kesaksamaan Bersama 2030. Dalam pelan tersebut, kerajaan menyasarkan perkembangan KDNK pada harga malar sebanyak 4.7% setiap tahun sehingga tahun 2030.

Negara Malaysia telah merekodkan nilai KDNK pada harga malar sebanyak RM 1.23 billion pada tahun 2018. Manakala, nilai KDNK pada harga semasa adalah sebanyak RM 1.43 billion dalam tahun yang sama. Kerajaan mencatatkan perkembangan KDNK pada 4.7% berbanding tahun lepas. Nilai ini menepati sasaran dalam Kajian Separuh Penggal RMK-11.

 Namun, peralihan parti pemerintah telah banyak merubah pelbagai dasar yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu. Jika dibandingkan perkembangan KDNK untuk 5 suku terakhir kerajaan Barisan Nasional (BN) dan 5 suku terawal kerajaan Pakatan Harapan (PH). Terdapat perbezaan perkembangan ekonomi antara dua kerajaan ini. Kerajaan pimpinan Barisan Nasional mencatatkan perkembangan ekonomi sekitar 5.3% hingga 6.1%. Manakala, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan pula mencatatkan perkembangan ekonomi antara 4.4% hingga 4.9%. Pembatalan, penangguhan dan menurun taraf pelbagai projek infrastruktur telah menjejaskan perkembangan ekonomi negara.

Sektor pembinaan antara yang paling banyak menerima kesan buruk apabila projek-projek infrastruktur dibatalkan, ditangguhkan, diturun taraf membuat pelabur-pelabur menjadi tidak yakin pada sektor ini. Syarikat-syarikat pembinaan seperti MRCB, George Kent, Gamuda, MMC Corp dan IJM antara syarikat pembinaan yang banyak menerima tempias terutamanya dari aspek nilai saham.

Defisit Fiskal (1 Bintang)

Untuk rekod, defisit fiskal negara telah menurun sejak 2009 hingga 2017. Defisit fiskal negara mencatatkan rekod tertinggi pada tahun 2009 iaitu sebanyak 6.7% dan telah menurun sehingga 3.0% pada tahun 2017. Namun, defisit fiskal negara telah meningkat 3.7% pada tahun 2018. Manakala, jangkaan defisit fiskal pada tahun 2019 adalah sebanyak 3.4%.

Pada tahun 2018, kerajaan telah kehilangan sebanyak RM 23.6 billion dan punca utamanya adalah pemansuhan dan kadar sifar GST. Jangkaan pendapatan GST pada tahun 2018 adalah sebanyak RM 44 billion. Selain itu, Corporate Income Tax Act (CITA) telah menurun sebanyak RM 6 billion daripada anggaran awal RM 72.475 billion. Manakala, cukai eksais pula jatuh sebanyak RM 1.6 billion daripada anggaran RM 12.334 billion.

Secara kasarnya, kerajaan hilang sebanyak RM 39.2 billion dan pendapatan kerajaan meningkat RM 25.6 billion. Nilai bersih kerajaan hilang sebanyak RM 13.6 billion.

Kedudukan Hutang Negara (1 Bintang)

Kerajaan telah mengubah definasi hutang negara yang melibatkan hutang langsung kerajaan, jaminan kerajaan and PPP dan PFI. Sebelum PRU 14, hutang kerajaan adalah sebanyak RM 686 billion dan telah meningkat hingga RM 741 billion.

Terdapat dua elemen hutang yang diambil kira oleh kerajaan pimpinan terbaru iaitu jaminan kerajaan dan PPP. Nilai untuk kedua-dua elemen adalah sebanyak RM 164.90 billion untuk jaminan kerajaan dan RM 184.90 billion untuk PPP dan PFI. Jumlah keseluruhan hutang negara adalah sebanyak RM 1 090.80 billion.

Penjualan Aset Negara (3 Bintang)

Setakat ini, kerajaan telah menjual aset lebih kurang RM 30 billion. Kerajaan telah menjual Lebuhraya Tol Jakarta (RM 2.10 billion), Prince Court Medical Center (RM 1.02 billion), Desaru Investment (RM 0.289 billion), DRB Hicom (RM 0.175 billion), Projek Bandar Malaysia (RM 7.41 billion), Bangunan Konsulat di Hong Kong (RM 1.60 billion), Hotel Royale Chulan (RM 0.197 billion), CIMB Berhad (RM 2.364 billion), BDO Unibank (RM 0.415 billion), Axiata Digital (RM 0.579 billion), Boustead Plantations (RM 1.20 billion), Saham TNB (RM 1.05 billion), Telco M1 (RM 1.65 billion), Acibadem Sigort (RM 1.25 billion), Sapura Upstream (RM 3.70 billion), IHH Berhad (RM 8.42 billion).

Khazanah Nasional Berhad antara Government Linked Investment Company (GLIC) yang banyak menjual aset negara. Khazanah merupakan sebuah syarikat dana kedaulatan negara atau dalam Bahasa Inggeris ialah Sovereign Wealth Fund. Khazanah akan memberi dividen kepada kerajaan daripada keuntungan pelaburan yang dibuat setiap tahun.

Cukai Soda Perubahan dalam Sistem Percukaian di Malaysia (2 Bintang)

Pada 1 Julai 2019, Kerajaan telah melaksanakan cukai soda ke atas minuman yang bergula. Alasan kerajaan untuk melaksanakan cukai ini adalah kerana kadar peratusan rakyat Malaysia yang memghidap penyakit diabetes meningkat daripada 15.2% kepada 17.5% dari tahun 2011 ke tahun 2015.

Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan Malaysia telah membentangkan Belanjawan 2019  pada November tahun lepas untuk mengenakan beberapa jenis cukai. Pada awalnya, duti eksais ke atas minuman bergula dikenakan pada 1 April 2019. Namun, Kerajaan telah melanjutkan sehingga 1 Julai 2019.

Kerajaan akan mengenakan duti eksais sebanyak RM 0.40 ke atas minuman bergula dengan menggunakan ‘threshold’ kandungan gula seperti berikut:

  1. Jus buah-buahan dan jus sayur-sayuran sama ada mengandungi gula tambahan atau tidak, atau mengandungi gula tambahan atau tidak, atau mengandungi bahan pemanis yang lain di bawah kepada tariff 20.09, dengan kandungan gula melebihi 12 gram setiap 100 mililiter.
  2. Air minuman berkarbonat yang mengandungi gula tambahan atau bahan pemanis yang lain atau berperisa, termasuk minuman lain tanpa alcohol di bawah kepala tariff 22.02, dengan kandungan gula melebihi 5 gram setiap 100 mililiter.

Pelaksanaan cukai ini antara salah satu cukai terbaru yang kerajaan akan laksanakan, terdapat beberapa lagi cukai baru yang akan dikenakan pada masa akan datang seperti cukai perkhidmatan digital sebanyak 6% pada 1 Januari 2020 untuk perkhidmatan seperti Steam, Netflix dan Spotify.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker