Polisi

Putrajaya Lancar Kempen Hartanah Kepada China & Hong Kong

Putrajaya bakal menganjurkan satu lagi Kempen Pemilikan Rumah (HOC) tetapi fokus kempen kali ini ditujukan pembeli-pembeli di China dan Hong Kong. Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, hanya rumah-rumah bernilai tinggi sahaja yang akan dipasarkan kepada pembeli di dua pasaran berkenaan. Tambahnya, dengan bilangan unit-unit rumah yang masih belum terjual, nilai unit-unit ini boleh mencecah RM100 juta.

Zuraida berkata, “Jadi, saya fikir kita harus menganjurkan satu kempen HOC sama ada di China atau Hong Kong di mana kita boleh menarik pembeli-pembeli ini untuk datang melabur dan membeli kediaman di sini.” Tambahnya lagi, jika dibandingkan harga kediaman di Malaysia dengan harga rumah di Hong Kong, ianya jauh lebih murah di sini. Beliau memberi contoh sebuah rumah flat berkeluasan 250 kaki persegi yang boleh mencecah sehingga RM3 juta. Zuraida berseloroh dengan menyifatkan rumah sebegitu tidak boleh dibeli oleh sesiapa termasuk menteri.

Memandangkan ia masih di peringkat cadangan, beliau akan membawa perkara tersebut ke pengetahuan Kabinet untuk dibincangkan. Zuraida juga mahu membabitkan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Mohammadin Ketapi untuk menjayakan kempen HOC itu. Ketika ini, pemaju-pemaju swasta mengetuai usaha promosi untuk menarik pembeli dari Hong Kong dan China untuk membeli hartanah yang ditawarkan mereka.

Bagaimanapun, cadangan kempen HOC sudah mula menimbulkan keresahan beberapa pihak. Salah satu daripadanya ialah Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang memberi amaran jika kempen tersebut dilaksanakan, ia boleh mengakibatkan harga rumah melambung naik dan tidak dapat dibeli oleh rakyat biasa berikutan pertambahan permintaan di pasaran terutama membabitkan warga asing. Apabila perkara ini berlaku, lebih banyak rumah bernilai tinggi menjadi keutamaan yang dilihat lebih menguntungkan pemaju berbanding penduduk yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Dan tidak mustahil dalam kempen ini juga, beberapa pemaju tertentu yang dilihat akan meraih laba dari kempen HOC ini berbanding pemain-pemain industri yang lain. Sudah tentu ia akan mewujudkan persepsi pemain industri merasakan diri mereka dianaktirikan dalam soal merancakkan lagi sektor perumahan dan hartanah. Dan bagi para pembeli pula, kempen sebegini dilihat menonjolkan keterdesakan kerajaan dalam mengisi kantung kewangan dan menafikan impian pembeli tempatan yang mahukan rumah yang mampu dimiliki, bukannya mampu untuk dilihat. Apa yang dimahukan pembeli ialah penurunan harga rumah agar dapat dimiliki, bukannya melambung naik hingga di luar jangkauan pembelian mereka.

Sumber
Ng, Nicole dan Augustin, Robin. (2019). Minister wants to take Home Ownership Campaign to China, HK. Free Malaysia Today
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker