Ad
Umum

Punca Kejatuhan Pakatan Harapan

Semua sedia maklum minggu ini, barulah negara dan rakyat Malaysia dapat menghela nafas lega. Yalah, siapa sangka kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang dan digantikan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tetapi minggu sebelumnya, ia merupakan drama politik yang mencemaskan kalah House of Cards. Daripada penarikan diri PPBM dan 10 ahli parlimen PKR pimpinan Datuk Seri Azmin Ali hinggalah perletakan jawatan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan pemilihan calon PM yang mendapat sokongan ahli parlimen. Senang cerita, drama politik ini layak mendapat anugerah Oskar.

Namun, keretakan yang wujud dalam kalangan parti-parti komponen PH sudah lama wujud sebelum berlakunya Langkah Sheraton pada 23 Februari lalu. Sebabnya mungkin berbeza tetapi semua berkongsi tema sama: perselisihan dan perbezaan pendekatan parti-parti komponen.

Ad

Tol oh tol

Misalnya, semasa kerajaan menerusi Khazanah mempertimbang usaha penjualan pegangan mereka dalam operator lebuh raya, PLUS Malaysia Bhd. Ramai yang membuat bidaan dari Maju Group hinggalah jalinan kerjasama Tan Sri Halim Saad-Datuk Wong Gian Kui. Tetapi pada akhirnya, kerajaan memutuskan menstruktur semula perjanjian konsesi dan menyambungnya sehingga tahun 2058.

Tidak ramai tahu, pada satu ketika, pegangan saham majoriti ini bakal dimiliki oleh Maju menerusi tokoh utamanya, Tan Sri Abu Sahid Mohamed. Maju sangat yakin perjanjian tersebut diteruskan sehingga sudah mendapatkan bank-bank untuk membantu membiayai usaha pembelian. Tetapi ia berakhir dengan kegagalan dan Tan Sri Abu Sahid menyalahkan Khazanah sebagai bodoh.

Related Articles

Di sebalik pertikaman lidah antara Maju dengan Khazanah, keputusan ini sebenarnya telah ditolak oleh Kementerian Kewangan yang diketuai Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Alasannya ialah PLUS seharusnya kekal di tangan kerajaan dan Maju dianggap kroni kepada Tun Dr Mahathir sendiri.

Kegagalan usaha Maju ini bukan sekadar mencetuskan rasa kurang senang beliau terhadap rakan parti komponen. Malah, ia dianggap satu usaha menjejaskan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Cubaan pihak media mendapatkan komen dari pihak-pihak yang terlibat tentang teori ini menemui jalan buntu dengan semua enggan memberi komen.

‘Pecat aku, pecahlah pakatan’

Bukan satu rahsia ketidakpuasan hati Tun Dr Mahathir terhadap ahli kabinetnya sejak dari 2018 lagi. Pada awalnya, dipertahankan juga atas alasan mereka ini masih hijau dan belum mengetahui selok-belok pemerintahan negara.

Tetapi sejak itu, apa saja polisi atau keputusan yang dibuat merupakan satu bencana bukan saja kepada PH tetapi negara. Namakan saja isu, semua akan terpacul dalam kepala setiap rakyat Malaysia.

Situasi ekonomi merudum, ya. Hubungan antara kaum amat renggang, ya. Polisi-polisi bersifat pusingan U, ya. Gagal menjaga status hubungan luar, ya. Penjualan aset kerajaan yang berlebihan, ya. Pendek kata, isu sebegini membuatkan ramai tidak berpuas hati kecuali kelompok buih Bangsar yang hanya tahu hak-hak liberal dan menjaga kepentingan orang elit.

Justeru, tidak hairanlah wujud ura-ura tentang rombakan kabinet bermula dari akhir tahun 2018 lagi. Bagaimanapun, khabar-khabar ini dinafikan oleh Tun Dr Mahathir yang menyifatkan anggota kabinetnya masih mendapat kepercayaan mereka.

Tapi dalam hati, siapa yang tak berangin. Tidak seperti era pentadbirannya yang pertama, Tun Dr Mahathir harus menguruskan kepentingan empat parti komponen PH yang berlainan ideologi iaitu PPBM, DAP, PKR dan Amanah/PAN. Salah percaturan, ia boleh mengakibatkan mana-mana anggota parti komponen menarik diri dan sekaligus meruntuhkan kerajaan PH.

Justeru, apa saja rombakan yang dirancang terhad kepada anggota partinya sendiri. Satu-satunya perubahan dalam kabinet ialah bila beliau memangku jawatan Menteri Pendidikan menggantikan Dr Maszlee Malik yang meletakkan jawatan (ada mengatakan beliau sebenarnya dipecat) pada Januari lepas.

Perbezaan ideologi ini nyata menyusahkan dalam membuat keputusan penting termasuk cuba mengubah nasib syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti FGV dan Malaysia Airlines Berhad (MAB). 

Bukan itu saja, wujud ura-ura hubungan kakitangan awam dengan menteri-menteri PH tidak berapa baik. Bukan sekali dua mereka dilabel tidak setia dan menyusahkan dari segi kewangan. Kenyataan sebegini menjejaskan saki-baki ihsan yang wujud antara kakitangan awam dengan penggubal-penggubal polisi PH.

Sesetengah menteri juga dikatakan bertindak lebih sudu daripada kuah dan menganggap diri mereka lebih pandai berbanding kakitangan-kakitangan awam yang lebih berpengalaman dan arif dengan peraturan semasa. Alasannya, ego dan terlalu idealistik.

Kelemahan-kelemahan sebegini yang membuatkan tokoh berusia 94 tahun itu merasa muak dengan pencapaian anak-anak buahnya. Ini juga mendorongnya memberi markah 5/10 dari segi kualiti pencapaian tidak lama dahulu.

Kelemahan sesetengah menteri PH bukan sekadar mengundang kecaman orang ramai. Malah, ia menimbulkan kebimbangan bahawa kerajaan yang dipimpin ini ialah kerajaan sepenggal. Bukan sekali teguran dinyatakan untuk menambahbaik prestasi perkhidmatan tetapi ia ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Peralihan kuasa

Selepas dibebaskan dari penjara pada pertengahan tahun 2018, matlamat utama penyokong-penyokong PH yang pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah mahukan Tun Dr Mahathir memenuhi janji yang dimeterai sebagai sebahagian daripada usaha mengalahkan Barisan Nasional (BN) sebelum PRU Ke-14.

Pada awalnya, Tun Dr Mahathir bersedia berbuat demikian berikutan bilangan ahli parlimennya yang sedikit pasca-PRU Ke-14. Tetapi selepas perlahan-lahan menambah kekuatan ahli parlimennya hasil daripada tindakan sesetengah ahli-ahli parlimen UMNO yang berpaling tadah, perlahan-lahan ia diubah.

Datuk Seri Anwar dilihat cuba berdiplomasi dan mengikut saja alasan yang diberikan Tun Dr Mahathir: saya akan serahkan jawatan lepas saya selesaikan semua masalah yang ditinggalkan BN. Tetapi selepas kempunan tidak menjadi PM pada tahun 1998, Presiden PKR itu dilihat tidak sabar dan tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Ini yang membawa kepada episod pengosongan kerusi Port Dickson dan kemenangannya dalam PRK Port Dickson 2018. Dan sejak itu, tekanan cuba diberi bagi memastikan Tun Dr Mahathir memenuhi janji sama ada melalui kenyataannya sendiri atau menerusi proksi-proksi seperti Otai Reformasi.

Bila Datuk Seri Anwar menjadi Presiden PKR selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan parti sebelumnya, laluan terbuka luas untuknya menjadi PM. Tetapi persaingannya dengan timbalannya ketika itu, Datuk Seri Azmin Ali menyediakan batu asas kepada Langkah Sheraton.

Datuk Seri Azmin yang dianggap pro-Tun Dr Mahathir dilihat cuba mengekang kemaraannya sebagai PM, satu fakta yang sentiasa menggusarkannya. Ini ditambah dengan keengganannya mempertahankan timbalannya itu apabila dilanda satu skandal pada pertengahan tahun lepas menyaksikan hubungan kedua-duanya ibarat retak menanti belah.

Kemuncaknya ialah perhimpunan parti yang dijalankan di Melaka pada akhir tahun lepas. Pelbagai insiden yang menyelubungi parti membabitkan dua puak pemimpin pada ketika itu mengakibatkan keretakan yang sedia wujud semakin melebar.

Situasi tersebut tidak dibantu dengan tekanan yang diberi Datuk Seri Anwar terhadap Tun Dr Mahathir lebih-lebih lagi selepas kekalahan berturut-turut PRK membabitkan PH dari Cameron Highland hingga terbaru, Kimanis.

Tekanan sebegini akhirnya membawa kepada mesyuarat PH yang berlangsung pada 21 Februari lepas. Dalam mesyuarat itu, Tun Dr Mahathir menegaskan beliau akan berundur selepas APEC 2020 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada November 2020.

Kelihatan semua parti komponen bakal patuh kepada tarikh yang ditetapkan itu. Tetapi bagi PPBM dan Datuk Seri Azmin, satu-satunya langkah mengatasi Datuk Seri Anwar ialah membentuk kerajaan baru tanpa Presiden PKR itu.

Justeru, itu yang membawa kepada Langkah Sheraton yang seharusnya membawa kepada pembentukan kerajaan baru dengan Tun Dr Mahathir sebagai PM. Ahli-ahli parlimen belah kerajaan dan pembangkang hadir tetapi tokoh berusia 94 tahun itu tidak menghadiri mesyuarat di Hotel Sheraton itu.

Sehari selepas itu, seperti dijangka, PPBM keluar dari PH disusuli pemecatan Datuk Seri Azmin dan sekutu rapatnya Zuraida Kamaruddin dari PKR. Semua nampak lancar, kan? Kejutan, Tun Dr Mahathir bukan saja berundur sebagai PM tetapi juga sebagai Pengerusi PPBM.

Alasannya bila menemui rakan-rakan politik lain: tidak bersetuju dengan langkah yang dibuat Tan Sri Muhyiddin dan bekas Timbalan Presiden PKR itu. Malah, beliau turut menolak sebarang usaha membawa kembali BN terutama UMNO ke dalam kerajaan, satu idea yang disambut baik oleh kedua-dua tokoh itu.

Selepas meletak jawatan, beliau dilantik semula sebagai PM Interim sekaligus membuka jalan kepada pembentukan kerajaan perpaduan.

Namun, idea kerajaan perpaduan yang dicadangkan bukan saja tidak realistik malah mencetuskan kebimbangan pemerintahan diktator secara de facto oleh beliau. Dan pelannya semakin rumit apabila PN mencadangkan nama Tan Sri Muhyiddin manakala PH berpaling kepada Datuk Seri Anwar kepada pihak istana.

Kebijaksanaan DYMM Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengendalikan krisis politik yang dicetuskan oleh Tun Dr Mahathir pada minggu berkenaan akhirnya menyaksikan Tan Sri Muhyiddin muncul sebagai PM yang kelapan.

Cubaan menggagalkan usaha perlantikan PM baru itu dengan mencalonkan semula Tun Dr Mahathir sebagai calon PH tidak berhasil. Dan kini, Tun Dr Mahathir bersama saki-baki penyokongnya kini bersama PKR, DAP dan Amanah/PAN sebagai pembangkang. Terima kasih kepada taktiknya untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar, beberapa negeri yang diperintah PH juga tumbang.

Kini, Johor diperintah oleh PN dengan Melaka, Perak dan Kedah bakal menyusul di bawah pemerintahan pakatan baru ini. Ahli-ahli parlimen atau Adun yang dikatakan menyokong PH sebelum ini juga dijangka akan mengubah pendirian mereka.

Justeru, apa yang sepatutnya dilihat sebagai usaha mengukuhkan kekuasaannya tetapi kesudahannya beliau kehilangan kerajaan. Bak kata pepatah, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Sudahnya, kedua-duanya melahu…

Dan hari ini, sebarang usaha untuk mengadakan undi tidak percaya terhadap PN dan Tan Sri Muhyiddin untuk sesi Parlimen akan datang akan menjadi lebih sukar. Ini kerana dalam satu ucapan yang dibuat semalam, Tun Dr Mahathir menyalahkan Datuk Seri Anwar dan PH sebagai punca kejatuhan mereka.

Ini mengundang persoalan, masihkah ada rasa percaya antara dua bekas sekutu ini? Dan persoalan paling penting, apakah kedua-duanya dapat menjamin sebarang perselisihan mereka tidak akan membawa kepada kejatuhan kerajaan jika sekali lagi diberi peluang? Jika diberi jawapan ya sekalipun, perasaan skeptik akan terus menyelubungi sesiapa saja yang mendengarnya.

SUMBER

Shukry, Anisah et. (2020). How a $7 Billion Dispute Helped Topple Mahathir’s ‘New Malaysia’. Bloomberg. https://www.bloomberg.com/news/articles/2020-03-02/how-a-7-billion-dispute-helped-topple-mahathir-s-new-malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Back to top button