Isu Semasa

Projek RM13 bilion di Sabah Yang Meragukan

Bukan satu rahsia negara-negara bersaing untuk menarik pelaburan-pelaburan asing masuk ke negara-negara mereka. Menerusi pelaburan-pelaburan ini, ia dapat membawa lebih banyak wang asing ke dalam sesebuah negara dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk warga tempatan. Tetapi ada ketikanya, sesetengah pelaburan yang dijanjikan itu bersifat indah khabar dari rupa seperti yang menimpa kerajaan Sabah beberapa bulan lepas.

Pada Mac 2019, media massa melaporkan syarikat Burel Industries Sdn Bhd telah dianugerahkan projek membina loji petrokimia bernilai RM13 bilion di Lahad Datu dengan kerjasama GLC milik kerajaan negeri iaitu Kluster Perindustrian Minyak Sawit (POIC) Sabah. Pelaburan ini jika dapat direalisasikan akan menjadi pelaburan terbesar yang diterima Sabah dalam sejarah. Bila loji tersebut siap, ia akan menghasilkan dua juta tan produk petrokimia setahun seperti didedahkan dalam laporan media semasa upacara pemeteraian perjanjian itu. Burel Industries diwakili oleh pengerusi Per Brandtzag sementara POIC pula diwakili oleh CEO Datuk Dr Pang Teck Wai. Hadir sama dalam upacara berkenaan ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal.

Sebelum perjanjian ini, pelaburan terbesar yang diterima Sabah ialah loji Urea (Samur) dan Ammonia Sabah di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang bernilai RM4.5 bilion oleh Petronas. Loji berkenaan menghasilkan 1.2 juta tan urea dan 740,000 tan cecair ammonia setiap tahun. Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang terletak di pantai barat Sabah berhampiran Wilayah Persekutuan Labuan dan Brunei.

Bila ditanya mengapa Lahad Datu menjadi pilihan Burel Industries, salah seorang pengarah mereka iaitu Guna Mahalingam mendedahkan Pelabuhan Lahad Datu mempunyai kedalaman semulajadi antara 20 hingga 23 meter. Selain Lahad Datu, Burel Industries turut meninjau lokasi-lokasi lain seperti Gebeng, Pahang, Johor Bahru, Johor dan Lumut, Perak. Lahad Datu dikatakan lebih hampir dengan Laut Sulu dan Laut Sulawesi berbanding Laut China Selatan di mana 30% laluan perdagangan minyak global melalui kawasan tersebut.

Bagaimanapun, pelabuhan itu terletak 730 kilometer daripada terminal kontena dan minyak Teluk Sepanggar di Kota Kinabalu dengan perjalanan memakan masa satu setengah hari. Sementara Pelabuhan Bintulu yang merupakan pelabuhan minyak dan gas tersibuk di Malaysia mempunyai jarak 1,300 kilometer dari Lahad Datu. Manakala Singapura yang merupakan hub perdagangan minyak dan petrokimia di rantau ini terletak 2,500 kilometer atau masa perjalanan selama enam hari tanpa mengambil kira waktu menunggu dan kesibukan trafik di Selat Singapura. Ini menimbulkan persoalan mengapa projek ini berlaku di luar laluan perdagangan biasa di Selat Melaka dan Laut China Selatan?

Selain isu jarak, wujud juga persoalan bekalan bahan mentah yang akan dibawa ke Lahad Datu. Menurut laporan media, Burel Industries berjaya mendapatkan akses bekalan bahan mentah untuk loji itu dari Arab Saudi. Tetapi syarikat itu tidak mendedahkan siapa pembekal mereka dan bagaimana aturan perjalanan untuk membawa bahan mentah ke Lahad Datu. Kebiasaannya, loji petrokimia dibina berhampiran laluan perdagangan utama atau hub perdagangan. Contohnya, Kompleks Bersepadu Pengerang yang dibina Petronas di Pengerang berada di lokasi strategik kerana berhampiran laluan perdagangan timur-barat dan berhampiran dengan Singapura.

Sementara loji petrokimia dan pelantar minyak lama Petronas seperti di Kerteh dan Bintulu dibina kerana hampir dengan sumber bekalan mentah iaitu minyak dan gas yang diambil dari luar pesisir pantai Terengganu dan Sarawak. Lahad Datu tidaklah berhampiran dengan laluan perdagangan timur-barat sepanjang Selat Melaka dan Laut China Selatan atau hub perdagangan minyak seperti Singapura. Tambahan pula, bahan-bahan mentah yang sepatutnya dibawa ke Lahad Datu tidak diambil dari lapangan minyak dan gas di luar pesisir pantai Sabah.

Jadi ini menimbulkan persoalan apakah Burel Industries sememangnya tidak tahu langsung tentang sektor minyak dan gas terutama petrokimia? Atau ini merupakan cubaan menipu kerajaan negeri dengan merompak sejumlah besar wang rakyat? Melihat kepada reputasi mereka ini, pilihan kedua dianggap satu kemungkinan yang tidak boleh ditolak. Berdasarkan semakan, Burel Industries merupakan sebuah syarikat yang tidak aktif didaftarkan pada tahun 2009 dan hanya menerbitkan saham sebanyak RM3.00.

Kesemua saham ini dimiliki oleh sebuah syarikat Singapura iaitu Ingrit Holdings Pte Ltd yang diperbadankan di Singapura pada tahun 2010. Dokumen-dokumen syarikat menyatakan aktiviti utama Ingrit Holdings ialah aktiviti perkhidmatan yang ada kaitan dengan pengeluaran minyak dan gas bersama pelbagai syarikat induk lain sebagai aktiviti sekunder. Tetapi pada tahun 2017, nama Ingrit Holdings dikeluarkan daripada daftar syarikat Singapura. Ini menjadikan Ingrit sebagai pemegang saham majoriti Burel Industries merupakan sebuah syarikat yang tidak wujud dan tidak sah. Dan jika meneliti laman sesawang mereka, ia hanya mempunyai laman sesawang bersifat umum yang jelas memperlihatkan ia sebagai sebuah firma palsu.

Dan lebih banyak persoalan pula timbul membabitkan syarikat sekutu Burel Industries, Strategic Swiss Partners (SSP) Solutions. Pengarah Burel, Guna Mahalingam merupakan pengasas syarikat berkenaan. SSP melalui Burel mengadakan perjanjian dengan syarikat konglomerat China, China National Machinery Import and Export Corporation (CMC) untuk membangunkan loji pengeluaran etilena dan polimer bersepadu di Gebeng, Pahang pada Februari tahun lepas. Untuk projek di Lahad Datu, SSP bertindak sebagai penasihat kewangan eksklusif projek berkenaan.

Berdasarkan keterangan laman sesawang mereka, SSP merupakan sebuah syarikat penyedia perkhidmatan untuk projek-projek dalam pelbagai industri termasuk tenaga, perbankan dan kewangan, perbankan dan kewangan Islam, hartanah, infrastruktur, perhotelan, penjagaan kesihatan dan kecerdasan buatan dan robotik. Dan beberapa individu berpengaruh di Malaysia bertindak sebagai penasihat mereka iaitu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim, pengasas Institut Strategi dan Kepimpinan Asia Tan Sri Michael Yeoh dan Pengerusi Kumpulan ACE Investment Banking Group Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Dalam sidang media yang sama Mac lepas, CMC akan bertindak sebagai rakan kongsi penugasan, pembinaan, perolehan dan kejuruteraan untuk loji petrokimia Lahad Datu. CMC juga dikatakan mempunyai pegangan untuk loji berkenaan. Sementara sebuah syarikat Arab Saudi bernama Kumpulan Rawda telah menandatangani perjanjian pemilikan saham sebanyak 30% dalam projek berkenaan. Syarikat itu bukanlah asing di Malaysia kerana pada September 2017, Tabung Haji menyambung lagi tempoh pajakan dua hotel milik Al-Rawda Investment for Real Estate Development and Project Management Ltd di Makkah dan Madinah untuk kegunaan jemaah Malaysia selama 20 tahun. Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada Rawda Group yang disebut pengarah Burel merupakan syarikat yang sama yang memajak dua hotel itu kepada Tabung Haji.

Dengan mengambil kira semua fakta yang dinyatakan di atas, persoalannya apakah pelaburan yang dibawa Burel benar-benar terjadi? Melihat kepada sikap kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang membisu apabila ditanya tentang status projek Lahad Datu itu, nyatalah mereka sebenarnya sudah ditipu. Dan tidak hairanlah mengapa keghairahan pihak Qatar ingin menanam modal dalam POIC seperti yang diumumkan oleh Menteri Pembangunan Keusahawanan, Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof pada Julai lepas juga terpadam sama sekali. Doha berkemungkinan sudah menyedari Burel sebenarnya sebuah entiti penipu yang berpotensi merompak wang pelaburan mereka di POIC.

Atas sebab itulah, apabila Datuk Seri Shafie mengumumkan pelaburan Blue Capital Management Co Ltd (Blue Capital) dari Tokyo dalam projek penggunaan tenaga biomas POIC iaitu Blossom Bio Energy Sdn Bhd baru-baru ini, jumlah pelaburan yang ditarik hanya berjumlah RM100 juta. Ianya sangat sedikit berbanding nilai pelaburan yang kononnya dibawa Burel. Selepas apa yang berlaku ke kerajaan negeri Sabah ini, mungkin ini seharusnya dijadikan pengajaran untuk semua pihak termasuk kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

Walaupun ditawarkan nilai pelaburan kewangan yang menggiurkan, itu tidak seharusnya menjadikan entiti-entiti berkenaan rambang mata. Sebaliknya, lebih banyak pemeriksaan perlu dijalankan demi memastikan wang pembayar cukai tidak dibazirkan dan menunjukkan kepada semua orang bahawa pihak kerajaan tidak mudah diperkudakan begitu saja. Jika terus dibiarkan, percayalah lebih ramai pihak akan cuba mengambil kesempatan untuk menipu termasuk melakukan rasuah dan salah guna kuasa demi memastikan agenda mereka tercapai. Dan yang rugi pada akhirnya bukan saja kerajaan tetapi rakyat.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker