Ad
Komentar
Trending

Program Latihan Khidmat Negara

Idea penubuhan PLKN ini dikatakan muncul setelah berlakunya insiden pergaduhan besar di Kampung Medan

Artikel Asal diterbitkan pada 28 November 2020

Pendapat oleh: Norshafiq

Kerajaan Malaysia semasa era pentadbiran Barisan Nasional telah menubuhkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada tahun 2003. Untuk pengetahuan semua, PLKN ialah cetusan idea Tun Dr Mahathir Mohamed ketika beliau masih menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Ke-4.

Ad

Idea penubuhan PLKN ini dikatakan muncul setelah berlakunya insiden pergaduhan besar di Kampung Medan, yang terletak di daerah Petaling Jaya, Selangor pada 8 Mac 2001. Pergaduhan tersebut turut mencetuskan rusuhan kaum yang agak kronik, setelah 153 orang yang majoritinya terdiri daripada kaum Melayu dan kaum India bergaduh sehingga mengakibatkan 29 individu tercedera serta 6 kematian direkod menurut data Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Atas faktor itu, kerajaan mula merangka beberapa langkah proaktif bagi mengelakkan insiden buruk seperti itu daripada berulang kembali. Oleh hal yang demikian, PLKN dilihat sebagai salah satu cara yang berkesan dalam memupuk kembali semangat perpaduan serta patriotisme di kalangan masyarakat, khususnya golongan belia.

PLKN kemudiannya diperkenalkan secara rasmi oleh kerajaan pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada 16 Februari 2004 setelah Parlimen meluluskan penubuhan program ini melalui Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628).

Sebagai info, PLKN pernah ditangguhkan seketika pada tahun 2015, semasa zaman pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak setelah kerajaan melancarkan dasar rasionalisasi perbelanjaan pasca kejatuhan harga minyak global yang mempengaruhi prestasi ekonomi negara.

Menjelang tahun 2016, PLKN telah disambung semula dengan jenama serta modul latihan baharu yang dikenali sebagai PLKN 2.0. Tidak lama selepas itu, PLKN 2.0 dimansuhkan sepenuhnya pada bulan Ogos 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamed.

Seperti apa yang kita sedia maklum, kerajaan bertanggapan bahawa program ini mampu membentuk jati diri serta semangat patriotisme, di samping memulihara keharmonian kaum dengan adanya integrasi dalam kalangan demografi pelatih yang berbilang bangsa melalui latihan berbentuk ‘semi’ ketenteraan yang dilaksanakan selama tiga bulan.

Sifat optimistik pihak kerajaan telah mendapat tentangan hebat daripada ramai pemimpin politik, khususnya daripada blok pembangkang. Saban tahun PLKN dijadikan sebagai ‘talking point’ ketika perbahasan dan perdebatan di dalam dan di luar dewan rakyat, terutamanya isu berkaitan jumlah peruntukan tahunan yang amat besar.

Berdasarkan rekod, kerajaan telah pun membelanjakan wang yang dikutip daripada pembayar-pembayar cukai sebanyak RM8 Bilion sejak tahun 2004 hingga 2018, sepertimana yang diperkatakan oleh bekas Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Kota Raja, YB Mohamad Sabu.
Tambah beliau, 43% daripada jumlah keseluruhan peruntukan tersebut meliputi pembayaran sewa kesemua 79 buah pusat latihan PLKN yang ada di seluruh negara menurut data Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN).

Secara purata, kerajaan memperuntukkan tidak kurang daripada RM571 juta setahun sepanjang 14 tahun penubuhan PLKN. Angka ini merangkumi bayaran elaun bulanan pelatih, pembelian alatan (baju, uniform dan lain-lain), elaun makan harian, penyelenggaraan pusat latihan, modul & latihan, pengangkutan, sewa, gaji pegawai & jurulatih dan sebagainya.

Menurut bekas Ketua Pengarah JLKN, seramai 85 000 orang pelatih PLKN direkrut pada setiap tahun. Secara keseluruhannya, lebih daripada 1 juta belia di seluruh pelusuk negara telah menjalani Program Latihan Khidmat Negara sejak tahun 2004. Selain pelatih, kerajaan juga menggaji tidak kurang daripada 3500 orang jurulatih PLKN serta kakitangan JLKN.

Tidak dinafikan bahawasanya PLKN telah memberikan kebaikan dan impak positif kepada ramai pelatih yang terlibat. Namun begitu, ramai dari kalangan rakyat Malaysia berasa skeptikal terhadap tahap keberkesanan program ini secara keseluruhannya.

Hal ini dikatakan demikian kerana, adalah amat berbeza jika kita bandingkan PLKN dengan program Khidmat Negara (National Service) yang dijalankan oleh negara Singapura, Korea Selatan dan Korea Utara.

Singapura misalannya, mula melaksanakan program Khidmat Negara sejak tahun 1967 setelah Parlimen republik itu meluluskan Akta yang dikenali sebagai ‘The National Service Act’ pada 15 Mac 1967. Melalui akta ini, kesemua individu lelaki berumur 18 tahun dan ke atas yang terdiri daripada warganegara serta penduduk tetap Singapura diwajibkan menjalani latihan ketenteraan selama 2 tahun.

Begitu juga dengan Korea Selatan, yang mana negara ini melaksanakan program Khidmat Tentera (Military Service) yang diwajibkan kepada warganegara lelaki berumur 18 tahun dan ke atas (tidak melebihi 28 tahun). Tempoh servis aktif (active duty) adalah berbeza mengikut cabang ketenteraan yang disertai, iaitu Tentera Darat & Marin (21 Bulan), Tentera Laut (23 Bulan) dan Tentera Udara (24 Bulan).

Dalam pada itu, modul Khidmat Tentera Korea Utara ternyata lebih ‘advanced’ dan bersifat holistik. Kerajaan komunis pimpinan Kim Jong Un itu mewajibkan kesemua warganegaranya, tidak kira lelaki ataupun wanita yang berumur 18 tahun dan ke atas untuk mengikuti latihan ketenteraan wajib, selama 32 bulan (lelaki) dan 24 bulan (wanita).

Terbaharu, kerajaan Perikatan Nasional pimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan ingin melakukan perbincangan bagi ‘menghidupkan’ semula Program Latihan Khidmat Negara, menerusi kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Ismail Sabri selaku Menteri Pertahanan ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat pada 24 November 2020.

Adalah amat tidak relevan untuk kerajaan mengadakan PLKN dikala negara sedang bergulat teruk dalam menghadapi penularan Covid-19. Apakah logik kerajaan hendak menambah ‘beban’ baharu, seperti menyelia program yang pada hemat saya tidak menepati piawaian serta keperluan & kehendak semasa, sedangkan Sekolah dan Universiti yang merupakan nadi kepada pembangunan intelektual negara pun terpaksa ditutup?

Ternyata, sesetengah pemimpin politik kita harus dididik supaya menjadi lebih bijak.

M2C

Menyajikan artikel dan ulasan terkini isu-isu kewangan, perbankan, perniagaan, polisi dan teknologi.

Related Articles

Back to top button