Ad
Berita

Program Food Bank UniMAP Beri Manfaat Pada 100 Keluarga Mahasiswa B40

dilaksanakan menggunakan dua kaedah

KANGAR, 3 Ogos (Bernama) — Program Food Bank Siswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang bermula sejak Khamis lepas memberi manfaat kepada 100 mahasiswa daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Naib Canselor UniMAP Prof Ir Dr R. Badlishah Ahmad berkata program itu menyasarkan pelajar peringkat pengajian diploma dan dilaksanakan menggunakan dua kaedah iaitu Food Pantry (bantuan makanan kering seperti biskut, air kotak dan mi segera) serta Food Kitchen (makanan dimasak tiga kali seminggu).

“Program Food Bank Siswa@UniMAP ini digerakkan oleh Unit Kebajikan, Zakat dan OKU Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP serta membabitkan semua pelajar universiti,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ad

Menurut Badlishah, UniMAP akan mempertingkatkan prasarana dan kemudahan di samping bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Yayasan Food Bank Malaysia.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Yayasan Food Bank Malaysia Ab Wahab Long dalam kenyataan yang sama berkata sehingga Julai tahun ini seramai 3,820 pelajar dari 11 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mendapat manfaat program itu.

Katanya program itu akan diperluaskan ke semua IPTA di seluruh negara sehingga mencapai sasaran yang ditetapkan KPDNHEP.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Back to top button