Ekonomi

Polemik Cukai Untung Luar Jangka

Sebulan lepas, ada seorang menteri meminta bank-bank melonggarkan syarat pinjaman dalam satu forum pelaburan di Kuala Lumpur baru-baru ini. Dan sedara ini tidak menolak kemungkinan memperkenalkan cukai keuntungan lebih purata (windfall tax) jika bank-bank tidak berbuat demikian. Terima kasih kepada kenyataan ‘bijak’ ini, ia mencetuskan keributan dalam kalangan bank-bank dan bursa saham sehingga memaksa menteri berkenaan menjelaskan kenyataan sebelumnya. Tapi sebelum kita meneruskan sindiran terhadap pak menteri ini, apa itu cukai keuntungan luar jangka?

Cukai keuntungan luar jangka sebenarnya sejenis levi yang dikenakan pihak kerajaan terhadap industri tertentu di mana keadaan ekonomi membenarkan pemain-pemain industri meraih keuntungan melebihi purata. Selalunya yang menjadi sasaran ialah syarikat-syarikat yang terlibat dengan komoditi berharga seperti minyak dan gas asli. Terma ‘windfall tax’ ini datang dari era kolonial atau lebih tepat era peneroka koloni Amerika. Ketika itu, mereka tidak dibenarkan oleh England menggunakan kayu balak lebih dari sekaki kecuali dengan kudrat dan iradat-Nya, pokok sebegitu tumbang akibat ribut di hartanah mereka. Jadi jika berlakunya ribut dan banyak pokok tumbang di kawasan hartanah, ganjaran kewangan yang terhasil daripada semua itu digelar keuntungan luar jangka.

Sesetengah pihak menganggap idea mengenakan cukai ke atas keuntungan melebihi purata ini baik kepada perkembangan sosial masyarakat. Ini kerana hasil percukaian boleh disalurkan semula kepada rakyat melalui projek-projek pembangunan dan kemudahan rakyat. Selain itu, ia juga menggalakkan syarikat menurunkan harga barang untuk kepentingan pengguna. Tetapi ada pula yang melihat idea sebegini sebagai mengarut. Mereka berpandangan jika cukai ini dilaksanakan, ia boleh mengurangkan motivasi firma-firma mencari keuntungan dan sekaligus keuntungan tidak boleh disalurkan untuk proses inovasi dan penambahbaikan operasi mereka. Tanpa pengenalan inovasi baru dan terkini, ia sudah pasti akan menjejaskan kemajuan masyarakat secara keseluruhannya.

Antara negara yang melaksanakan cukai ini ialah Britain dan China. Amerika Syarikat pula pernah melaksanakannya pada tahun 80-an sebelum terpaksa membatalkan cukai berkenaan pada tahun 1988. Bagaimanapun, sudah wujud tuntutan untuk mengembalikan semula cukai berkenaan tetapi dianggap mustahil di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump. Venezuela pula turut mengenakan cukai sama ke atas syarikat-syarikat pengeluar minyak sebagai satu bentuk sosialis abad ke-21 yang diutarakan oleh mendiang Hugo Chavez.

Sejarah perlaksanaan cukai keuntungan luar jangka di Amerika Syarikat

Jika ada yang masih beria-ia memperjuangkan idea cukai keuntungan luar jangka ini, lebih baik selusuri sejarah perlaksanaan cukai ini di negara Uncle Sam itu. Menurut akhbar The Washington Post, semasa idea ini diwar-warkan pada tahun 1979, editor akhbar tersebut melihat cukai itu bukan berkenaan mengenakan cukai terhadap keuntungan syarikat tetapi cukai ke atas setiap tong minyak yang dihasilkan. Perlu diingat pada tahun 70-an, kawalan harga dikenakan ke atas banyak barang termasuk minyak semasa era Richard Nixon. Walaupun pembekuan kenaikan harga barang berakhir pada tahun 1973, Kongres melanjutkan kawalan harga minyak sehingga tahun 1981 kerana bimbang kenaikan harga minyak pemanas yang boleh membebankan pengguna dan kenaikan harga petroleum dunia. Selain itu, pulangan kewangan cukai ini yang berjumlah $225 bilion dari 1980 hingga 1991 turut menyakinkan kerajaan ini cara terbaik mengisi kantung kewangan mereka lebih-lebih lagi bila asyik berdepan situasi defisit setiap tahun.

Dari awal lagi, ramai menolak kawalan harga minyak dan mahukan ia dihapuskan. Kebanyakan rancangan penghapusan terutama pengenalan cukai untung luar jangka sebagai tukaran kepada sokongan ahli politik atau satu niat untuk mengimbangi semula timbangan keadilan ekonomi. Pada tahun 1974, Gerald Ford menawarkan kompromi dan satu versi awal cukai ini dipersetujui oleh Jawatankuasa Kewangan Senat setahun selepas itu. Tetapi cukai ini hanya menjadi realiti semasa era Jimmy Carter dengan menarik balik kawalan harga minyak secara beransur-ansur selama 18 bulan bermula pada tahun 1979. Sebagai tukaran kepada penarikan kawalan harga minyak, cukai ini dikenakan ke atas syarikat minyak di mana hasil pendapatannya boleh disalurkan untuk pelbagai projek sosial dan pembangunan. Selepas bergelut berkenaan perlaksanaan cukai, Kongres akhirnya bersetuju meluluskan undang-undang berkenaan dan ia disahkan sebagai undang-undang pada April 1980.

Menerusi cukai ini, levi eksais dikenakan terhadap penghasilan minyak domestik iaitu mengenakan cukai perbezaan harga pasaran dengan harga asas minyak yang ditentukan. Harga asas pula berdasarkan harga minyak pada tahun 1979 dengan perubahan harga juga akan diubah setiap tahun yang dipengaruhi oleh inflasi dan cukai negeri. Semua penghasil minyak domestik dikenakan cukai tetapi ada sesetengah penghasil diberi pengecualian seperti pemilikan oleh pihak kerajaan negeri dan tempatan, pertubuhan sosial, puak orang asli dan pihak perseorangan.

Setiap tong minyak yang dicukai ini dibahagi kepada tiga peringkat yang diklasifikasikan mengikut beberapa faktor seperti usia telaga minyak, jenis minyak yang dihasilkan dan jumlah minyak yang dihasilkan secara harian. Setiap peringkat mempunyai kadar cukai berbeza dan harga asasnya yang tersendiri. Bebanan cukai juga berbeza mengikut jenis pengeluar di mana pengeluar bebas dikenakan cukai lebih rendah berbanding syarikat besar. Dengan mengambilkira semua cukai ini, cukai dikenakan boleh saja dari 15% hingga 70%. Cukai ini dianggap solusi sementara dan dimansuhkan secara beransur-ansur antara 1988 hingga 1991 bergantung kepada hasil pendapatan minyak.

“Beban! Beban! Beban!”

Di sebalik semua faedah yang dinyatakan, ia tidaklah baik seperti yang didakwa para penyokongnya. Cukai ini menjadi beban bukan saja kepada pentadbiran kerajaan tetapi juga pembayar cukai. Pemain-pemain industri minyak mengutip kos pematuhan antara $40-50 juta dengan Perkhidmatan Kutipan Cukai (IRS/versi AS untuk LHDN) pula dibebankan dengan kos kutipan $15 juta. Tidak hairanlah pada tahun 1984, Pejabat Ketua Akauntan menggelar cukai ini cukai paling besar dan paling rumit pernah dikenakan ke atas mana-mana industri di Amerika Syarikat.

Selain itu, jangkaan harga minyak naik selepas kawalan minyak ditarik balik turut meleset. Antara 1980 hingga 1986, harga minyak jatuh dari $30 setong kepada $10 setong. Sementara harga asas pula terus naik seperti yang dinyatakan oleh undang-undang. Dengan dua tekanan ini, ia menjadikan cukai tersebut semakin tidak relevan. Ini ditambah kutipan cukai sebanyak $200 bilion dalam tempoh 10 tahun hanyalah angan-angan Mat Jenin kerana dalam tempoh perlaksanaannya, cukai untung luar jangka ini mendapat $79 bilion. Tetapi memandangkan syarikat-syarikat yang terkesan menerima beban rendah berikutan perlaksanaan cukai pendapatan korporat biasa, kutipan jatuh kepada $40 bilion sahaja. Di samping itu, kejatuhan penghasilan minyak domestik pada tahun 1980-an terutama dalam mencari rizab minyak baru memaksa Amerika bergantung kepada bekalan minyak dari luar negara. Ini didedahkan oleh Institut Petroleum Amerika di mana pergantungan negara Uncle Sam pada bekalan minyak luar hanya 32% (1983) tetapi meningkat kepada 38% (1986).

Walaupun kemerosotan ini tiada kaitan dengan perlaksanaan cukai untung luar jangka ini, itu sudah cukup mendorong pemain-pemain industri dan penggubal undang-undang dari negeri-negeri yang terlibat yang mahukan cukai ini dimansuhkan dengan segera. Cukai ini juga menjadi mainan kempen Ronald Reagan semasa pemilihannya sebagai presiden pada tahun 1980 dan sentiasa menyokong usaha pemansuhan cukai ini. Tetapi entah bagaimana, ia terus bertahan walaupun selepas penggubalan Akta Reformasi Cukai 1986 yang mendapat sokongan Jabatan Perbendaharaan.

Penyokong cukai kini ditenggelami oleh penentang cukai untung luar jangka yang menganggap cukai itu sebagai menyusahkan dan tidak produktif. Menurut bekas senator Oklahoma dari Parti Demokrat David Boren, selagi mana cukai ini tidak dikutip, maka tiada keperluan perakaunan untuk cukai itu. Malah, beliau menyifatkan cukai tersebut membebankan pemain industri dan pembayar-pembayar cukai. Hujah ini mendapat sokongan ramai dan pada Ogos 1988, ia akhirnya dimansuhkan oleh Kongres.

Ah, Nobita…

Justeru, saya tertanya-tanya apakah penyokong cukai ini tidak serik dengan kesannya terhadap industri. Terima kasih kepada kenyataan ‘genius’ pak menteri ini, Indeks Komposit Kuala Lumpur jatuh sebanyak 20.5 mata dan semua saham bank utama negara turut mencatatkan kemerosotan. Malah, idea ini turut ditentang Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) melalui CEO mereka Ali Salman. Ali menyifatkan pengenalan cukai ini boleh menjejaskan kestabilan suasana perniagaan di negara ini dan boleh menyebabkan ia diperkenalkan kepada sektor-sektor lain.

Jika kerajaan mahukan lebih banyak pinjaman diambil terutama oleh pemain industri, maka mereka harus mempertimbang persekitaran perniagaan secara keseluruhan dan meminimumkan kos pematuhan peraturan. Jika bank-bank diminta mempelbagaikan pinjaman mereka, rasanya pak menteri perlu menukar cermin mata. Ini kerana menurut Ali, industri kecil dan sederhana (IKS) di Malaysia menerima pembiayaan komersial lebih banyak berbanding syarikat-syarikat besar dengan penambahan dari 38% (2010) kepada 49% (2017). Nakkan lebih banyak pinjaman? Kerajaan harus memberi lebih banyak kebebasan kepada bank-bank menentukan kadar faedah dan persaingan bagi menentukan masa depan pembiayaan komersial berbanding diarah oleh bank pusat.

Jika ‘Nobita’ masih tetap berkeras mahukan syarat-syarat pinjaman dilonggarkan, beliau harus melihat pelbagai faktor yang mempengaruhi pinjaman yang diluluskan pihak bank. Pertama, tekanan ekonomi tidak menentu dari luar seperti isu kadar faedah Rizab Persekutuan, isu Brexit dan perang dagang AS-China serta AS-EU. Kedua, tiga daripada empat bank utama negara dikuasai entiti berkaitan kerajaan (GLC) iaitu Maybank (PNB), CIMB (Khazanah Nasional) dan RHB Bank (KWSP). Nakkan mereka lebih agresif dalam soal pinjaman boleh tetapi ia juga menambah risiko pinjaman buruk yang perlu diuruskan. Ini boleh memberi kesan kepada kadar keuntungan dan keupayaan membayar dividen pada masa akan datang. Ketiga, kenyataan pak menteri ini seolah-olah tidak yakin kepada kemampuan Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyelia bank-bank terutama semasa krisis. Pelbagai bukti menunjukkan keupayaan BNM mengatasi pelbagai krisis kewangan dunia dan BNM seharusnya dibiarkan meneruskan tugas cemerlangnya itu.

Maka, di sini pak menteri suka atau tidak perlu kawal lidah terutama berkenaan soal kewangan dan prospek pelaburan di negara ini. Bukan sekali dua sejarah menunjukkan kelancangan menteri atau figura kewangan mencetuskan keributan dalam kalangan pelabur. Contoh pada tahun 1993, Tun Daim Zainuddin yang menjawat jawatan Menteri Kewangan ketika itu mematikan euforia para pelabur yang mahu meneruskan rentak pelaburan cemerlang dengan menyuruh mereka menarik keluar pelaburan dalam satu temubual khas beberapa hari sebelum urusan pelaburan bermula. Dan siapa tidak kenal Alan Greenspan yang dianggap arkitek krisis ekonomi 2008 menceritakan ‘keghairahan tidak rasional’ sebagai penerangan buih pelaburan syarikat dot com pada tahun 2000. Tak lama selepas itu, buih berkenaan musnah dan mencetuskan satu lagi krisis kemelesetan di EU (2000 dan 2001) dan Amerika Syarikat (2002 dan 2003). Jangan main sedap cakap, yang rugi negara untuk jangka masa panjang.

Sumber
Adilla, Farah dan Rosli, Lidiana. (2019). Finance Minister hints at windfall tax unless banks start being flexible with lending. New Straits Times. Thorndike, Joseph J. (2005). Historical Perspective: The Windfall Profit Tax – Career of a Concept. TaxHistory.org. Kagan, Julia. (2018). Windfall tax. Investopedia. Beng Hoe, Kang. (2008). New era of windfall profits tax. Shanmugam, M. (2019). Let Bank Negara handle the banks. The Star.
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker