Isu Semasa

PLUS: Apa Keutamaan Kerajaan?

KUALA LUMPUR 3 Julai – Antara menepati janji, monopoli dan mengurangkan kos sara hidup rakyat. Tiga perkara berkenaan dapat menggambarkan situasi kerajaan ketika ini apabila berhadapan dengan isu pengambilalihan lebuh raya.

Isu lebuh raya Malaysia masih hangat diperkatakan walaupun hampir dua minggu berlalu selepas kerajaan mengemukakan tawaran rasmi untuk mengambil alih empat lebuh raya bertol di Lembah Klang. Tidak lama selepas itu, kede­ngaran pula spekulasi Maju Holdings Sdn. Bhd. berminat untuk mengambil alih PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

Spekulasi itu kemudiannya disahkan benar oleh Perdana Menteri, Tun. Dr. Mahathir Mohamad, tetapi sehingga ke hari ini tiada kertas cadangan rasmi yang dihantar oleh pihak Maju Holdings. Tindakan syarikat itu menyebabkan ada pihak yang tidak senang duduk dengan mempertikaikan kemampuan syarikat untuk menguruskan lebuh raya.

Tawaran yang dibuat oleh Maju Holdings sangat menarik yang mana rakyat akan merasai kadar tol yang lebih rendah sehingga 33 peratus bergantung kepada tempoh pelanjutan konsesi. Bagi rakyat, kadar tol yang lebih rendah adalah pilihan terbaik sekiranya kerajaan tidak mampu menjadikannya percuma.

Sekurang-kurangnya lebihan itu akan meningkatkan kuasa beli pengguna. Dengan harga minyak yang kekal statik terutama RON 95 dan hanya turun sekali dua sejak kaedah apu­ngan terkawal diperkenalkan semula awal tahun ini dilihat tidak banyak membantu. Kos perjalanan tetap dirasai.

Daripada perspektif lain, gelagat pihak-pihak yang menolak mentah-mentah cada­ngan pengambilalihan itu tidak sepatutnya berlaku. Sikap yang ditunjukkan itu lantas memberikan persepsi bahawa adakah mereka mempunyai agenda tersendiri untuk menye­nangkan pihak ter­tentu selain mewujudkan monopoli konsesi lebuh raya.

Yang selama ini menjadi lawan politik dan tidak sebulu, secara tiba-tiba senada menolak hasrat Maju Holdings itu. Itu bukan pertama kali syarikat berkenaan menyatakan hasrat mengambil alih PLUS, tetapi sejak 2017 lagi.

Pengambilalihan PLUS oleh kerajaan akan melibatkan nilai yang besar kerana termasuk liabilitinya sekali. Jika ada pihak yang berminat, perkara itu sepatutnya diperhalusi dan dinilai serta diberi ruang untuk membentangkan kertas kerja mereka.

Penganalisis berpendapat Maju Holdings mempunyai kepakaran dan pengalaman untuk menguruskan lebuh raya kerana ketika ini mereka berjaya menguruskan Lebuhraya Maju Expressway (MEX) dan mencatatkan keuntungan. Setakat 31 Disember 2017, PLUS merekodkan kerugian terkumpul berjumlah RM3.98 bilion disebabkan oleh pembayaran dividen melebihi pendapatan terutamanya kepada Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bagaimanapun, aliran tunai PLUS masih kukuh dan mampu untuk menguruskan hutang­nya. Oleh itu, jika kertas cada­ng­an yang dihantar mampu menjadikan PLUS sebagai entiti yang lebih baik, lebih elok ia dinilai dengan sewajarnya.

Penghapusan tol berkait rapat dengan manifesto kerajaan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu. Kegagalan menghapuskannya mengakibatkan kerajaan dicop sebagai kaki pusingan U dan mungkir janji sekali gus menyebabkan popularitinya terus merudum.

Rakyat hanya menuntut janji. Penjualan PLUS kepada pihak lain mencerminkan kegagalan kerajaan dalam menunaikan janjinya kerana tol tidak dimansuhkan. Persoalannya, apakah keutamaan kerajaan ketika ini sama ada rakyat, kesenangan pihak lain atau menepati janji?

Sumber: Utusan

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker