EkonomiGlobal

Pertumbuhan Perlahan Ekonomi China – Sebuah Realiti

Tahun Baru Cina bakal menjelang tidak lama lagi dan bagi yang suka melihat zodiak binatang kalendar Cina, tahun 2019 merupakan Tahun Khinzir, zodiak yang dianggap memberi tuah kepada ekonomi terutama sektor perniagaan. Tetapi bagi China, ia merupakan satu tempoh yang dianggap mencabar kerana situasi ekonomi yang tidak menentu yang menyelubungi negara berkenaan.

Jika mahu menyalahkan 100% situasi ini kepada situasi perang dagang antara Amerika dengan China ialah satu tanggapan yang tidak adil. Menurut Fredrik Neumann, salah seorang daripada ketua bahagian penyelidikan HSBC Holdings, faktor domestik seperti pengurangan perbelanjaan infrastruktur dan pengurangan jualan kereta memainkan peranan di sebalik pertumbuhan perlahan ekonomi berkenaan. Berdasarkan data rasmi keluaran dalam kasar (KDNK) China, ekonomi China semakin perlahan untuk suku kedua berturut-turut dari 6.7% kepada 6.5%, menjadikan ia pertumbuhan paling perlahan dialami mereka sejak krisis ekonomi 2007-2008.

Ada yang beranggapan sasaran pertumbuhan sebanyak 6.5% itu hampir mustahil. Ini disebabkan pengurangan dalam banyak segi seperti pengurangan perbelanjaan industri, pelaburan tetap, jualan runcit, indeks perdagangan dan pembuatan rasmi. Selain itu, kuasa membeli dan menjual dalam kalangan pengguna dan penjual juga berkurangan. Satu industri yang dilihat tidak terjejas ialah industri pembinaan yang menjadi kegemaran penggubal-penggubal dasar kerana memberi respon positif kepada pertambahan kredit. Dari segi pelaburan saham, China sudah kehilangan sekitar 22% sejak tahun lepas dengan mata wang yuan jatuh hampir enam peratus.

Capital Economics menjangkakan kadar KDNK akan berkurangan dari 6.9% (2017) kepada 6.6% (2018). Tetapi ada juga pakar-pakar kewangan yang menjangkakan kadar KDNK China berkisar antara 5.5% (2018) kepada empat peratus sahaja pada tahun hadapan. Sementara Tabung Kewangan Dunia (IMF) pula menjangkakan pertumbuhan ekonomi China antara 6.2% hingga 6.6%, sekaligus meletakkan ia di belakang India yang dijangka akan mencatat pertumbuhan sebanyak 7.4%. Antara punca yang menyumbang kepada anggaran kadar sedemikian ialah pertindihan strategi yang berbeza, campur tangan kerajaan dalam ekonomi dan had bagi rejim pelaburan dan perdagangan.

ekonomi china
Simbol Zodiak

Bagi pakar-pakar ekonomi dan kewangan, gencatan perang dagang selama 90 hari antara Beijing dan Washington dilihat mampu membuka ruang kepada penyelesaian yang bersifat menang-menang kepada kedua-dua belah pihak. Mana tidaknya, perang dagang kedua-dua negara ini bukan saja memberi kesan serius kepada Beijing dan Washington tetapi juga kepada ekonomi dunia. Jika kedua-dua pihak berterusan berkelakuan seperti anak kecil dalam soal ini, ia boleh mengurangkan kadar KDNK China sebanyak 0.5%. Ini boleh berlaku sekiranya Washington terus mengenakan tarif ke atas produk-produk China sebanyak $517 bilion.

Antara punca perang dagang ini ialah pertikaian membabitkan perpindahan teknologi secara haram, pengintipan dalam talian dan pembabitan pelaburan syarikat berkaitan negara. Dan melihat kepada insiden penahanan ketua pegawai kewangan (CFO) Huawei Meng Wangzhou pada Disember tahun lepas, penelitian terhadap semua projek yang digerakkan Huawei dan respon keras China terhadap semua ini, sebarang usaha untuk menamatkan ketegangan ekonomi antara dua kuasa ekonomi dunia itu bakal berdepan jalan sukar. Dan ini diakui sendiri oleh penasihat presiden Donald Trump, Peter Navarro yang menyifatkan tempoh 90 hari moratorium tersebut sebagai mustahil untuk sebarang perjanjian dicapai. Navarro yang dikenali dengan sikap kerasnya terhadap China turut menolak apa-apa cadangan yang bersifat jangka pendek dan sebaliknya mahukan langkah yang dilihat menjamin masa depan Amerika Syarikat, negara-negara Eropah dan Jepun.

Bagi China pula, walaupun jangkaan ekonomi tahun ini dianggap mencabar, itu tidak menghalang mereka berusaha memperkenalkan pelbagai langkah untuk mengubah trend yang berlaku ketika ini. Pada 21 Disember lepas, China meluluskan rancangan rangsangan ekonomi mereka yang membawa kepada langkah-langkah seperti pemotongan cukai dan melonggarkan dasar mata wang negara. Penggubal-penggubal undang-undang melihat polisi fiskal bersifat proaktif ini dilihat dapat membantu mengukuhkan semula pertumbuhan ekonomi negara. Polisi yang digerakkan sejak tahun lepas termasuk potongan cukai berjumlah 1.3 trilion yuan atau $188 bilion.

Mereka juga mendesak dasar monetari negara bersifat sederhana iaitu tidak menjejaskan kedudukan kewangan negara tetapi pada masa sama, terus menarik pelabur datang ke negara berkenaan. China juga terpaksa mengurangkan usaha mengawal hutang negara dengan penggubal undang-undang bersedia memberi tambahan kenaikan untuk bon keajaan tempatan. China juga dilihat meneruskan agenda ‘Made in China 2025’ yang memberi peluang kepada negara berkenaan sebagai pemimpin dalam beberapa industri teknologi tinggi utama, satu perkara yang membuatkan negara Uncle Sam dan sekutunya terus berbulu.

Sumber
Fensom, Anthony. (2018). NationalInterest.org. China's Economic Slowdown Is Inevitable.
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Lain

Close
Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker