Kewangan

Perkahwinan Percuma, Ini Cara Saya

Nukilan ini di coretkan pada status FB saya pada tanggal 10 Oktober 2013 sempena Ulang Tahun Perkahwinan saya yang ke 3. Tujuan saya menulis nukilan ini adalah untuk memberikan alternatif pembiayaan perkahwinan kepada pasangan yang bakal berkahwin supaya melihat dari sudut lain bukan hanya sekadar Majlis pernikahan dan perkahwinan sahaja.

Fokus utama nukilan ini adalah dari sudut konteks kewangan. Saya amat jarang menulis tentang diri saya dan keluarga kerana ianya bersifat peribadi , namun ketika itu genap 3 tahun saya bergelar suami dan ketua keluarga. Masih banyak yang perlu saya pelajari dan masih banyak yang perlu dilakukan untuk diri dan keluarga. Saya terpanggil untuk mencoretkan beberapa perkara.

Saya ingin mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah kerana menganugerahkan rezeki , kesihatan yang baik dan seorang isteri yang sesesungguhnya menjadi tulang rusuk saya selama ini dan melengkapkan saya seadanya.

Bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk tetapi sebagai satu inspirasi kepada bakal pasangan yang akan melangsungkan perkahwinan kelak. Mengikut statistik lebih 70% pasangan bercerai di sebabkan oleh faktor kewangan. Sebagai Pelabur dan Forensik Kewangan , ingin saya kongsikan beberapa cara , kaedah dan tips kewangan kepada bakal pengantin ini supaya kelak tidak mengalami tekanan kewangan setelah berumah-tangga.   

Jujur Status Kewangan Masing-masing
Setelah serius & bakal bertunang , bincang secara jujur status kewangan masing-masing , jangan sorokkan apa-apa dari pasangan anda. Hadapinya bersama. Dapatkan khidmat perancang kewangan jika perlu.

Rancang Kewangan Awal
Buat perancangan kewangan awal untuk berkahwin , seawal sebelum bertunang , jangan tunggu setahun atau beberapa bulan nak kahwin baru kelam kabut nak kumpul duit. Jika boleh kumpul dan buat simpanan dan perancangan semasa masih bujang. 

Tetapkan Prioriti Dalam Pengurusan Perkahwinan
Utamakan keperluan selepas berkahwin , bukan kehendak majlis kahwin kerana cabaran anda sebagai pasangan bermula selepas anda di ijab-kabulkan. Antaranya ialah tempat tinggal , pengangkutan , keperluan barangan rumah , keperluan anak (jika ada) dan sebagainya , ianya memerlukan kos yang tinggi. Buatlah majlis yang sederhana (200 – 300 jemputan) tetapi meriah , kini adalah zaman facebook , posting anda boleh dilihat oleh beratus dan beribu orang maka tiada keperluan untuk menjemput ribuan orang ke sesuatu majlis perkahwinan bagi mengelakkan fitnah.

Saya hanya menyediakan 5 jenis hantaran kepada isteri kerana saya tahu ianya di perlukan untuk masa depan sebagai jaminan buat isteri dan keluarga jika berlaku sesuatu musibah.Hantaran saya kepada isteri ialah :-

  1. Rumah sewa (ketika itu , rumah sewa tersebut memberikan pendapatan sewa sebanyak RM500 sebulan).
  2. Sebuah kereta sebagai hadiah pertunangan dan hantaran perkahwinan 
  3. Insuran kemalangan bernilai RM100K 
  4. Simpanan ASB bermilai RM110K 
  5. Mas kahwin sebanyak 10 dinar emas.
Sijil ASB bernilai RM100,000
Mas Kahwin 10 Dinar Emas
Hadiah kereta bernilai RM28,000

Hanya itulah yang mampu saya sediakan ketika itu , selebihnya adalah hadiah (sponsor) dari adik beradik , keluarga dan rakan perniagaan saya. Jangan salah faham , kesemua diatas tiada satupun yang saya keluarkan modal (Duit dari poket sendiri). Saya juga tidak memberikan wang tunai sebagai hantaran. Kesemuanya hasil dari perancangan kewangan yang dilakukan.

  1. Rumah sewa di beli dibawah harga pasaran (tiada modal)
  2. Kereta dibeli tunai dari hasil pembelian rumah (tanpa modal)
  3. Insuran kemalangan (PA) hanya dengan kos sebanyak RM350
  4. Saya hanya mengempilkan sijil ASB sahaja
  5. Dinar disimpan oleh isteri dan boleh di cairkan bila-bila masa (simboliknya ialah , isteri umpama emas yang sentiasa bernilai biarpun ditelan usia bukan seperti wang kertas yang susut nilai di mamah inflasi .. chewahhhh!!!).
  6. Majlis perkahwinan di sebelah saya (lelaki) di buat di Restoran kepunyaan saya , ianya di sponsor oleh Restoran saya. Manakala majlis perkahwinan di sebelah pengantin perempuan di biayai oleh keluarga di pihak pengantin perempuan.

Bacaan berkaitan: 12 Kesilapan Umum Kewangan Yang Sering Berlaku

Tujuannya adalah seperti berikut.

  1. Kesemuanya adalah untuk saya dan isteri , bakal di gunakan oleh kami berdua.
  2. Pelindung kewangan
  3. Keperluan selepas berkahwin
  4. Wang belanja / bekerja untuk isteri (rumah sewa dan dividen ASB)
  5. Kasi gempak supaya boleh nego dengan keluarga mertua untuk tidak perlu hantaran wang tunai (hangus)
  6. Mengelakkannya menjadi hangus (wang tunai) jika di gunakan untuk kenduri kendara yang membazir.

Apa yang lebih penting ialah duit simpanan tidak hangus dan masih didalam pegangan pasangan. Itulah tujuan utama saya lakukan semua ini. Apa yang di senaraikan di atas hanyalah alat , yang penting pasangan nak guna duit lepas kahwin, nak masuk rumah, perbelanjaan buat anak jika ada , barangan rumah dan lain-lain.

Alat kewangan bukanlah menjadi fokus utama saya , kalau tidak suka dengan ASB , rumah , dinar dan sebagainya , boleh sahaja digantikan dengan alat lain. Tiada salahnya selagi alat yang halal dan dapat digunakan untuk  mencapai objektif kewangan yang dirancangkan.

Ini adalah antara kaedah kahwin percuma (tanpa modal) supaya duit yang penat di kumpul bersama pasangan untuk berkahwin boleh digunakan untuk masa depan (selepas majlis dan semasa berkahwin).Semoga perkongsian ini memberikan inspirasi buat pasangan muda supaya meletakkan keutamaan kepada keperluan masa depan dari kehendak majlis perkahwinan.

Dalam hidup seseorang individu hanya ada beberapa waktu dan ketika (timing) seseorang individu mempunyai motivasi kuat untuk menyimpan wang antaranya ialah ketika dia hendak berkahwin.

Tak perlu paksa , tak perlu suruh, pasangan tersebut akan berusaha menyimpan untuk berkahwin. Malah ada yang sanggup ambil pinjaman peribadi untuk berkahwin. Jika pasangan tersebut “miss” (terlepas) peluang mengumpul modal ini dengan membazirkannya dengan set pengantin dan kenduri kendara, mereka membuang peluang membina harta semasa berkahwin kelak. 

Hantaran perkahwinan hanyalah satu ilusi dan pesepsi , ianya boleh dibincangkan antara pasangan dan keluarga mereka. Yang lebih penting adalah selepas berkahwin. Kita nak bertambah kaya lepas kahwin dengan menggunakan formula “power of two” bukan menjadi semakin terhimpit.

Ingat !!!! Realitinya, walau macam mana perabih pun anda untuk “wedding of the year” yang anda impikan , kenyataannya ialah selepas berkahwin berapa kerat jer yang akan ingat majlis anda dan berapa kerat jer yang anda akan berjumpa selepas berkahwin. Dan yang paling haru dan ironinya, berapa kerat jer dari ribuan yang di jemput akan datang membantu anda ketika anda susah kelak ? Fikir-fikirkan.  

Berikut adalah contoh kiraan dan proses seperti yang di bincangkan di atas. Katakan senarionya begini.

Pasangan yang berpendapatan RM1500 sebulan seorang.

Jumlah simpanan sendiri terkumpul bersama pasangan = RM20K

  1. Beli rumah sewa dalam lingkungan RM100K 20% dibawah harga pasaran – letak atas nama bakal isteri , keuntungan dari pembelian rumah katakan RM15K selepas tolak semua kos. Rumah ini dijadikan hantaran.  
  2. Beli kereta (jika belum ada) atas nama isteri. Kalau dah ada kereta , jual kereta kepada bakal isteri (gunakan wang RM15K tadi) secara tunai. Kereta tersebut dijadikan hantaran.  
  3. Wang simpanan di simpan di tempat selamat (katakan ASB) , sijil photocopy color ASB di jadikan hantaran.
  4. Gunakan hanya sebahagian kecil simpanan (katakan RM5K dari RM20K) untuk majlis dan lain-lain. Bakinya digunakan untuk kegunaan selepas berkahwin.
  5. Gunakan kaedah sponsoring , marketing dan produk positioning untuk membiayai majlis perkahwinan.

Cara ini saya gunakan pada tahun 2010. Mungkin tidak praktikal pada zaman sekarang. Paling tidak, boleh menjadi pencetus untuk anda supaya lebih bijak dalam berfikir merancang perkahwinan anda.

Semoga anda menggunakan ‘the power of two’ dengan sebaiknya dan bukan sebaliknya iaitu terus terhimpit.

Selanjutnya...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker