Global

Pergolakan Di Catalonia

Pergolakan minggu lepas di Catalonia, Sepanyol adalah lanjutan daripada krisis Oktober 2017 di mana kerajaan wilayah di bawah kepimpinan Carles Puigdemont telah mengadakan referendum kemerdekaan Catalonia dan mengisytiharkan kemerdekaan Catalonia pada 27 Oktober 2017.

Susulan daripada itu, kerajaan Sepanyol di Madrid menggantung parlimen wilayah Catalonia dan menangkap pemimpin-pemimpin pro-kemerdekaan. Pada 14 Oktober yang lepas, 9 daripada mereka dijatuhkan hukuman penjara dari 9-13 tahun atas kesalahan “hasutan”. Waran tangkap juga dikeluarkan ke atas Puigdemont yang sedang mencari suaka di Belgium.

Keputusan mahkamah itu justeru mencetuskan kemarahan orang Catalonia (Catalan) yang pro-merdeka. Mereka buat demo di Barcelona, ibu kota wilayah Catalonia dan juga bandar ke-2 besar Sepanyol, menyebabkan ratusan penerbangan terpaksa dibatalkan. Dan sekarang mereka mahu mengadakan referendum ke-2 pulak.

Isu separatisme Catalonia ni isu yang berkurun lama dah. Catalonia pada asalnya merupakan sebahagian daripada kawasan Kerajaan Aragon (tak ada kaitan dengan Aragorn dalam LOTR). Selepas Raja Aragon, Ferdinand berkahwin dengan Ratu Kerajaan Castile, Isabella (lambang cinta yang lara) pada tahun 1469, Catalonia turut bergabung dengan kawasan-kawasan Castile yang lain menjadi negara baharu yang kemudian dikenali sebagai “Sepanyol” (nama Sepanyol hanya muncul sekitar abad ke-18. Sebab tu dalam kitab-kitab lama orang Melayu, Sepanyol dipanggil “Kastila”).

Catalan tak berapa gembira dengan penggabungan Castile-Aragon. Disebabkan Catalan ada bahasa sendiri (Català) yang berbeza dengan Bahasa Sepanyol standard (yang sebenarnya ialah bahasa orang Castile). “Nama saya” dalam Bahasa Sepanyol ialah “mi nombre es”, tapi dalam Bahasa Catalonia jadi “em dic”. “Don’t be a fool!” dalam Bahasa Sepanyol ialah “¡No seas tonto!”, tapi dalam Bahasa Catalonia jadi “no siguis ximple!”.

Jadi tak hairanlah kenapa Sepanyol susah nak capai identiti kebangsaan macam Jerman atau Itali. Catalan masih panggil Bahasa Sepanyol sebagai “Castellà”, tak iktiraf ia sebagai “bahasa kebangsaan”. Selain Catalonia, kawasan Basque pun ada bahasa tersendiri dan Basque pun ada gerakan separatis yang aktif.

Banyak kali Catalan cuba nak memerdekakan diri daripada Sepanyol yang mereka anggap tidak lain “hegemoni Castile”, tapi semua gagal. Catalonia pun dicop oleh Madrid (pusat pemerintahan Sepanyol/Castile) sebagai budak rebel dan ditekan habis-habisan, termasuk larangan untuk guna Català. (nak baca cerita yang lebih panjang, boleh klik di sini: https://www.facebook.com/ayman.rashdan.wong/posts/10207686795607534)

Perlawanan bola sepak antara Real Madrid dan FC Barcelona juga merupakan lanjutan daripada perseteruan Castile-Catalonia. Sebab tu setiap kali Barcelona lawan Real Madrid dia punya semangat akan jadi lain macam. Tak dapat kalahkan Castile dalam medan peperangan dan politik, dalam padang bola pun jadi lah.

Selepas kematian diktator Sepanyol terakhir, Francisco Franco (antara yang paling kuat menekan Catalonia) pada tahun 1975, kerajaan Sepanyol mula melepaskan kuasa (“devolution of power”) kepada wilayah-wilayah termasuk Catalonia. Catalonia diberi hak autonomi seperti parlimen sendiri, kerajaan sendiri (Generalitat de Catalunya), kira “rare” sebab Sepanyol bukan negara persekutuan macam kita.

Tapi Catalan rasa masih tak cukup. Antara benda yang mereka nak ialah “tax autonomy”, iaitu kuasa untuk mengutip dan membelanjakan cukai sendiri sebab mereka perasan diri wilayah yang paling kaya, menyumbang kepada 20% GDP negara, 25% eksport negara. Jadi mereka rasa diri tak mau diperas lagi, tak mau duit mereka diguna untuk “subsidi” wilayah-wilayah miskin yang lain. Bila tak dapat, maka mereka mengamuk nak keluar dari Sepanyol.

Dalam sains politik fenomena ni dipanggil persepsi “relative deprivation”. Benda ni pun berlaku kat negara Eropah lain seperti Itali, di mana wilayah-wilayah di utara yang lebih maju lebih kaya rasa tak puas hati dengan wilayah-wilayah yang miskin di selatan, maka muncul gerakan “Padania” yang memperjuangkan autonomi/kemerdekaan utara. Lega Nord yang dipimpin oleh Matteo Salvini ialah parti yang memperjuangkan benda itu. Dan kita pun boleh kata Brexit pun berpunca daripada persepsi konon UK dieksploitasi oleh EU.

Isu identiti dan persepsi dieksploitasi kena diurus dengan baik. Kalau tidak, dalam masa jangka panjang ia akan “destabilize” sesebuah negara dan membawa kepada konflik yang tiada kesudahan. Dalam kes Catalonia ini, yang kesian ialah rakyat Catalan yang tersepit antara pemimpin separatis dan kerajaan pusat.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker