Kewangan

Perbezaan Permodalan Nasional Berhad & Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB)

Terdapat beberapa kekeliruan dalam masyarakat Malaysia mengenai perbezaan antara Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Permodalan Nasional Berhad ialah sebuah ‘proprietary fund’ dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) ialah sebuah ‘unit trust fund’.

Permodalan Nasional Berhad telah ditubuhkan pada 17 Mac 1978 dengan modal pelaburan sebanyak RM 200 juta yang diterima daripada Kerajaan Malaysia. PNB merupakan sebuah ‘Government Linked Investment Company’ (GLIC) dan dimiliki penuh oleh Kerajaan Malaysia. Syarikat ini menjalankan aktiviti pelaburan dalam pasaran ekuiti, bond, hartanah dan lain-lain.

PNB melakukan aktiviti perniagaan mereka menggunakan modal awal yang diterima daripada kerajaan. Seterusnya, keuntungan yang diterima daripada pelaburan yang dibuat akan dikitar semula untuk menambah jumlah pelaburan. PNB sangat tertib dalam memilih aktiviti pelaburan yang mereka ingin lakukan supaya keuntungan dapat dijana secara berterusan.

 Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) pula sebuah syarikat unit amanah atau ‘unit trust’. ASNB merupakan sebuah syarikat yang dimiliki penuh oleh PNB. Namun, modal pelaburan ASNB diperoleh rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia akan melabur dalam 10 jenis unit amanah yang ditawarkan oleh ASNB.

 Antara kekeliruan sebilangan rakyat Malaysia adalah ASNB ini hanya ditawarkan kepada golongan Bumiputera sahaja. Akan tetapi, terdapat beberapa skim yang ditawarkan juga dibuka kepada golongan bukan Bumiputera seperti Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW), Amanah Saham Nasional 2 (ASN2), Amanah Saham Nasional 3 (ASN3), Amanah Saham Gemilang (ASG) dan Amanah Saham 1 Malaysia (AS1M).

 Kebanyakan pelaburan yang dibuat oleh rakyat Malaysia dalam ASNB akan dilabur semula dalam pasaran ekuiti dan bon di Malaysia. Sebagai rekod, Permodalan Nasional Berhad dan Amanah Saham Nasional Berhad mempunyai 10.4% ‘market capitalisation’ dalam Bursa Malaysia setakat 29 December 2017.

Berikut adalah skim-skim yang ditawarkan di bawah Amanah Saham Nasional Berhad:

  1. Skim Amanah Saham Nasional (ASN)
  2. Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB)
  3. Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW)
  4. Amanah Saham Nasional 2 (ASN2)
  5. Amanah Saham Malaysia (ASM)
  6. Amanah Saham Didik (ASD)
  7. Amanah Saham Nasional 3 (ASN3)
  8. Amanah Saham Gemilang (ASG)
  9. Amanah Saham 1 Malaysia (AS1M)
  10. Amanah Saham Bumiputera (ASB2)

Analogi mudah yang kita boleh faham antara dua syarikat ini ialah PNB merupakan ‘parent company’ kepada ASNB. Namun, modal pelaburan yang diguna oleh kedua-dua syarikat ini berbeza. PNB menggunakan modal yang kerajaan Malaysia peruntukkan. Manakala, modal ASNB diperolehi daripada rakyat Malaysia yang melabur dalam skim-skim yang ditulis sebelum ini.

Gambar rajah di bawah menunjukkan pegangan PNB terhadap ASNB dan beberapa syarikat yang lain. Kedua-dua syarikat mempunyai aktiviti pelaburan yang serupa. Adakalanya, ASNB dan PNB boleh memegang ekuiti dalam sebuah syarikat dalam masa yang sama. Contoh yang boleh kita gunakan ialah Gamuda Berhad. PNB memegang sebanyak 1.57 dalam Gamuda Berhad. Manakala, ASNB pula memegang sebanyak 15.1% dalam Gamuda Berhad.

Justeru, rakyat Malaysia perlu faham bahawa kedua-dua syarikat ini mempunyai perbezaan walaupun merupakan sebuah kumpulan perniagaan yang sama. Pokoknya, modal yang diperolehi oleh kedua-dua buah syarikat ini berbeza. Permodalan Nasional Berhad mendapatkan modal permulaan daripada Kerajaan Malaysia sewaktu penubuhannya. Manakala, Amanah Saham Nasional Berhad mendapatkan modalnya daripada rakyat Malaysia yang melabur dalam skim-skim yang ditawarkan dalam ASNB.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Lain

Close
Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker