Trivia

Perang Tarif Amerika Jepun Mempopularkan Jenama Kenderaan Jepun

First gear, it’s all right (Honda, Honda, go faster, faster)
Second gear, I’ll lean right (Honda, Honda, go faster, faster)
Third gear, hang on tight (Honda, Honda, go faster, faster)
Faster, it’s all right.

Bagi yang pernah menonton siri televisyen permotoran Top Gear atau lebih tepat edisi istimewa Vietnam, pasti anda ingat satu adegan di mana hos Jeremy Clarkson menyeranah rakan hos, James May yang menyanyi lagu Little Honda semasa mereka menunggang motosikal dalam keadaan hujan semasa menuju ke Nha Trang. Ketepikan seketika unsur ejekan dalam nyanyian lelaki bergelar Captain Slow itu. Lagu Little Honda bukan sekadar menceritakan populariti Honda dalam budaya pop tetapi bagaimana ia mengatasi perang dagang dan menjadi kegilaan rakyat Amerika.

Hari ini, Honda bersama firma automotif Jepun lain iaitu Nissan, Toyota dan Subaru menguruskan operasi kilang-kilang pemasangan kenderaan di Amerika Syarikat. Dan sudah wujud perancangan membabitkan Toyota dan Mazda untuk membuka sebuah lagi kilang pemasangan kenderaan bernilai $1.6 bilion yang dijangka dibuka pada tahun 2021 di Alabama dan berpotensi menawarkan 4,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Dan berdasarkan data Persatuan Pengilang Automotif Jepun (JAMA), firma-firma pengeluar kenderaan Jepun mewujudkan 1.6 juta peluang pekerjaan di negara Uncle Sam itu.

Tetapi dari sudut lain, kebanyakan kenderaan yang dihasilkan firma-firma ini menggunakan banyak alat ganti yang diimport dari Jepun. Buktinya, alat ganti yang diimport Amerika Syarikat dari Jepun untuk tujuan pemasangan kenderaan sahaja bernilai $16 bilion pada tahun lepas. Namun, usah pula memandang enteng satu pertiga kenderaan yang dihasilkan di Amerika Syarikat merupakan hasil kerja firma-firma automotif Jepun dan bertanggungjawab membeli alat ganti yang dibuat di Amerika yang bernilai $61.2 bilion pada tahun 2018.

Namun bagi Presiden Donald Trump, ia dianggap satu masalah. Maka tidak hairanlah pada Mei tahun ini, beliau mengancam akan mengenakan tarif 25% ke atas semua import alat ganti dan kenderaan Jepun atas alasan keselamatan negara. Ancaman sebegini menyebabkan masa hadapan industri automobil Jepun menjadi tidak menentu. Justeru tidak hairanlah pada sidang G20 di Osaka minggu ini, agenda tarif dan perang dagang sudah pasti akan menjadi topik diskusi para pemimpin dunia. Tetapi bagi Honda, ancaman perang dagang bukanlah sesuatu yang baru kerana mereka sudah menghadapinya pada tahun 80-an semasa era presiden pujaan Trump, Ronald Reagan. Namun, apa yang sepatutnya menjadi langkah mengembalikan kegemilangan industri automotif Amerika sebenarnya bertanggungjawab menjadikan jenama kenderaan Jepun seperti Honda berkembang.

Bila Honda tiba di Amerika Syarikat dengan label ‘Buatan Jepun’/Made in Japan, anggapan orang ramai ialah mutu produk yang dibawa mereka memang teruk dan kenangan pahit semasa Perang Dunia Kedua (WWII). Anggapan ini timbul berikutan tahap rendah pembangunan ekonomi Jepun pada tahun-tahun pasca-WWII. Menurut penulis Driving from Japan: Japanese cars in America, Wanda James, firma-firma Jepun berdepan pelbagai halangan untuk memenangi hati rakyat Amerika termasuk ejekan dan sindiran. Tetapi pengenalan produk-produk berkualiti Jepun seperti kamera Minolta dan Pentax di pasaran negara Uncle Sam itu mengubah segala-galanya. Ia mengubah tanggapan orang ramai bahawa produk Jepun juga bermutu sama seperti produk negara berkenaan.

Pada tahun 1959, American Honda Motor Company ditubuhkan di Los Angeles dan bekerjasama dengan beberapa pengedar tempatan. Melalui kerjasama ini, Honda mula mengimport motosikal kecil seperti Honda 50 ke Amerika Syarikat. Pada dekad 60-an, jualan Honda di negara berkenaan mencanak dari $500,000 (1960) kepada $77 juta (1965). Peningkatan jualan ini tercapai menerusi kempen iklan Honda 1963 yang menggunakan slogan ‘Anda bertemu dengan orang yang baik-baik yang menunggang Honda’. Slogan ini juga memberi inspirasi kepada Beach Boys menghasilkan lagu Little Honda. Dengan memisahkan motosikal dengan imej budaya berlawanan yang sentiasa dikaitkan dengan jenama motosikal seperti Harley-Davidson, ia turut menghasilkan pasaran baru iaitu pasaran motosikal ringan dan murah bagi yang tidak pernah terfikir membeli motosikal.

Pada dekad 70-an atau lebih tepat 1973, dunia menyaksikan negara-negara Arab mengenakan sekatan minyak berikutan konflik yang tercetus antara Washington dengan negara-negara berkenaan. Ini mengakibatkan harga minyak melambung tinggi dan mencetuskan krisis tenaga global. Walaupun sekatan tersebut ditarik balik setahun selepas itu, harga minyak masih lagi tinggi dan ini mencetuskan bebanan kepada pengguna. Dan ini memberi kelebihan kepada firma-firma automotif Jepun kerana kenderaan yang dihasilkan mereka menawarkan penjimatan minyak berbanding kereta-kereta buatan negara Uncle Sam itu.

Selain menawarkan penjimatan minyak, jualan kenderaan buatan Jepun turut dibantu dengan pengenalan Akta Udara Bersih 1970. Akta ini memperkenalkan had amaun plumbum dalam minyak kenderaan. Pada tahun 1974, jurutera-jurutera Honda berjaya menghasilkan enjin CVCC sekaligus menjadikan Honda Civic kenderaan pertama yang memenuhi standard perlepasan ketat yang ditetapkan oleh akta berkenaan. Selain memenuhi standard perlepasan udara yang ketat, kereta itu juga boleh berjalan menggunakan minyak dengan plumbum atau minyak tanpa plumbum.

Dan kejayaan Honda tidak berhenti di situ saja. Pada tahun 1975, Honda beraspirasi untuk mengembangkan syarikat mereka dan melihat Amerika Syarikat sebagai pasaran baru yang berpotensi. Untuk mencapai matlamat tersebut, syarikat menghantar Naib Presiden American Honda ketika itu, Shige Yoshida untuk meninjau lokasi kilang kenderaan mereka yang pertama. Tidak seperti sesetengah firma yang memilih Detroit memandangkan statusnya sebagai pusat automotif Amerika Syarikat, Marysville, Ohio menjadi pilihan Yoshida atas beberapa sebab. Marysville menjadi pilihan kerana keramahan populasinya, kedudukannya hampir dengan litar ujian kenderaan di East Liberty, Ohio dan insentif pelaburan tempatan. Pada tahun 80-an, Marysville turut menjadi tumpuan firma-firma automotif Amerika dan bagi Yoshida, beliau melihatnya sebagai satu peluang bagi firma kedua-dua negara berkolaborasi yang memberi kebaikan bukan saja kepada sektor automobil tetapi juga kepada sektor ekonomi tempatan.

Apabila Amerika Syarikat berhadapan isu kemelesetan ekonomi pada tahun 80-an, Jepun merupakan ekonomi kedua terbesar di dunia. Dan seperti biasa, ramai warga Amerika bimbang status ekonomi mereka akan dipotong oleh Harimau Asia itu. Justeru, tidak hairanlah selepas mengambil alih Oval Office pada tahun 1981, Reagan melancarkan perang dagang ke atas Tokyo untuk memaksa mereka membuka pasaran kepada firma-firma Amerika dan mengurangkan ketidakseimbangan perdagangan kedua-dua negara. Ironinya, itulah alasan sama yang digunakan Trump semasa melancarkan perang dagangnya bukan saja terhadap China tetapi juga negara-negara sekutu lain dari Kanada hingga Jepun.

Bagi menekan Jepun memenuhi tuntutan mereka, Washington memperkenalkan Had Eksport Sukarela (VER) yang mengehadkan eksport kenderaan Jepun ke Amerika Syarikat. Sebelum VER diperkenalkan pada tahun 1981, JAMA menganggarkan 1.82 juta kenderaan Jepun dieksport ke Amerika dan selepas ia diperkenalkan, firma-firma hanya dibenarkan mengeksport 1.68 juta kenderaan sahaja. Dan seperti hari ini, pengguna yang terpaksa menanggung akibat dari permainan ini dengan membayar harga lebih mahal untuk mendapatkan kenderaan Jepun.

Justeru mengelak halangan kuota VER, pengeluar-pengeluar kenderaan Jepun memindahkan operasi pemasangan kenderaan mereka ke Amerika Syarikat. Nissan membuka loji pemasangan mereka yang pertama pada tahun 1983 di Tennessee disusuli oleh Toyota di Fremont, California melalui perkongsian kerjasama dengan General Motors dua tahun kemudian. Had import ini juga mendorong firma-firma kenderaan menjual kenderaan yang lebih mewah dan berpotensi lumayan seperti Honda Acura dan Toyota Lexus sekaligus membolehkan mereka bersaing dengan kereta-kereta bersaiz sederhana yang dijual firma-firma Amerika. Adaptasi ini membolehkan mereka mengatasi firma-firma Amerika dengan Toyota mengatasi General Motors sebagai pendahulu pembuat kenderaan dunia pada tahun 2007.

12 tahun kemudian, industri automotif Jepun berhadapan dengan situasi tidak menentu termasuk ancaman tarif Trump. Walaupun beliau menegaskan tarif dikenakan bagi mengembalikan keseimbangan perdagangan kedua-dua negara, tarif dilihat boleh memberi kesan buruk kepada pengguna dan firma-firma Amerika untuk jangka panjang. Menurut Profesor Thomas J Prusa dari Universiti Rutgers, kebanyakan pekerjaan warga Amerika berkait rapat dengan rangkaian bekalan yang datang dari Jepun. Dan menurut ketua pengarah JAMA Amerika Syarikat, Manny Rodriguez, firma-firma ini juga bertanggungjawab menyediakan dana kajian dan penyelidikan (R&D) untuk teknologi pengilangan dan terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) di Silicon Valley. Jika pentadbiran Trump meneruskan langkah berkenaan, semua dana penyelidikan ini sudah pasti akan dihentikan, melemahkan industri automotif Amerika dan merugikan sektor ekonomi negara Uncle Sam untuk jangka masa panjang.

Bagi memenuhi ikrar ekonomi America Firstnya, Trump mengumumkan penarikan diri Washington dari Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) membabitkan 12 negara termasuk Malaysia atas alasan perjanjian tersebut tidak menguntungkan Amerika. Sejak itu, Jepun mengetuai usaha perjanjian baru yang disemak semula yang kini dikenali sebagai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Wilayah (RCEP) dan memeterai perjanjian perdagangan bebas dengan Kesatuan Eropah pada tahun ini. Kedua-dua perjanjian ini meletakkan Tokyo dalam kedudukan baik untuk mengadakan perjanjian dengan rakan-rakan kongsi di luar Amerika.

Dan bagi yang masih merasakan tarif hanya sekadar satu taktik rundingan, baca sajalah kenyataan Toyota berkenaan Trump dan perlaksanaan tarif. Dalam satu kenyataan, syarikat melihat keghairahan Presiden Amerika Syarikat itu mengenakan tarif sebagai satu mesej bahawa pelaburan syarikat itu tidak dialu-alukan dan sumbangan kakitangannya di setiap ceruk Amerika terhadap sektor ekonomi negara itu tidak dihargai. Ini sebagai respon terhadap ancaman tarif Amerika ke atas import kenderaan dan alat ganti Jepun sebulan sebelumnya. Oleh sebab itu, mereka berharap menerusi lawatan Trump ke Jepun dan sidang G20 di Osaka dapat menyedarkan Rumah Putih bahawa permainan tarif merupakan satu kesilapan besar. Tatkala semua ini berlaku, Honda terus memecah rekod termasuk menghasilkan kenderaan ke-25 juta pada tahun 2018 dan bertanggungjawab menggaji 31,000 pekerja untuk memasang kenderaan dari kereta hingga van dan robot.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Lain

Close
Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker