Umum

Perancangan Menuju Wawasan 2020

Tinggal beberapa bulan sahaja lagi untuk kita masuk ke tahun 2020. Visi Wawasan 2020 yang ditanam dulu, kelihatan layu. Ditambah lagi dengan pemerintahan kerajaan hari ini, makin merisaukan lagi.

Walaubagaimanapun, kita boleh rencanakan perubahan diperingkat individu terlebih dahulu. Jika ditanya bila nak mula, inilah masanya. Kerana apa? Masa yang tinggal untuk masuk ke tahun 2020 adalah 3 bulan, cukup-cukup lebih kurang 90 hari.

Pernah dengar peraturan 21/90 ?

Peraturan ini bermaksud untuk mengubah tabiat kita, ia mengambil masa selama 21 hari, manakala untuk menjadikan ia gaya hidup kita pula memakan masa 90 hari.

Peraturan ini ditemukan oleh Dr. Maxwell Maltz, seorang pakar bedah (plastic surgeon) pada tahun sekitar 1950. Beliau telah kenal pasti satu pattern yang pelik dikalangan pesakitnya.

Setiap kali selepas pembedahan seperti bedah hidung, pemotongan kaki , Dr Maltz perasan bahawa pesakitnya itu ambil masa untuk biasakan dengan wajah yang berbeza atau ketika ketiadaan kaki. Kebanyakan mereka mengambil masa minima 21 hari untuk terima kenayataan dan adaptasi dengan perubahan fizikal mereka.

Pada tahun 1960, Dr Maltz menukilkan pemerhatian beliau dalam sebuah buku yang berjudul Psycho-Cybernetics. Tak disangka, buku tersebut menjadi hit sehingga lebih 30 juta cetakan telah dijual.

Ketika ini masalah lain pula timbul. Dengan tersebarnya buku ini secara meluas, pembaca telah mengambil jalan pintas untuk menggarap buah pendapat yang ingin disampaikan.

Dr Maltz mengatakan untuk mengubah sesuatu tabiat, ia mengambil masa minima 21 hari, tetapi orang ramai salah faham bahawa untuk ubah tabiat perlukan 21 hari sahaja. Hal ini sangat jauh daripada realiti kerana untuk ubah sikap yang sudah sebati dalam diri kita bukan sesuatu yang mudah.

Seorang pengkaji psikologi daripada University College London, Philippa Lally telah menerbitkan kajiannya di European Journal of Social Psychology . Lally dan kumpulan kajiannya telah membuat kajian berkenaan berapa lama sebenarnya masa yang diambil untuk ubah tabiat .

Kajiannya itu melibat seramai 96 orang subjek dalam tempoh 12 minggu. Setiap subjek dikehendaki memilih satu tabiat yang ingin diubah. Ada yang pilih untuk minum sebotol air sebelum makan tengahari, ada yang pilih untuk lari 15 minit sebelum makan malam dan sebagainya.

Pada penghujung tempoh kajian, subjek didapati telah menerapkan tabiat baru masing-masing secara automatik. Hasil kajian pula mendapati, tempoh yang diambil untuk ubah tabiat atau terapkan sikap yang baru adalah secara purata lebih 2 bulan. Lebih tepat lagi 66 hari.

Apa yang boleh disimpulkan daripada dua dapatan ini ialah untuk ubah tabiat kepada tabiat yang baru, kita kena lalui fasa terima hakikat dahulu atau mungkin boleh disamakan dengan denial stage. Fasa ini ambil masa minima 21 hari.

Kemudian, barulah kita selesa dengan adaptasi yang baru kita terapkan. Untuk menjadikan sebagai tabiat secara automatik, kita kena terus perubahan itu lebih 66 hari dan kita akan rasai perubahan itu sudah sebati dalam diri kita.

Apa benda yang nak kita ubah ? Kita jangan kecilkan skop perubahan hidup kita hanya pada kekayaan atau jawatan semata. Ini yang selalu orang silap, bila cakap pasal kejayaan mesti dilihat pada status kemewahan dan pangkat.

Orang yang berjaya adalah mereka yang seimbang dari pelbagai aspek. Dalam hal ini, kita boleh kembangkan kepada 8 elemen iaitu tahap spiritual, hubungan sesama manusia, tahap kewangan, kerjaya, kesihatan, persekitaran, perkembangan diri dan rekreasi.

wawasan2020

Anda boleh tetapkan matlamat untuk setiap elemen ini. Anda bayangkan sekarang juga bagaimana keadaan anda bila sudah capai semua matlamat anda ini.

Bila anda sudah imaginasikan, anda tahu apa langkah-langkah dan tabiat yang anda perlu ubah. Mulakan perubahan sekarang, jangan tunggu nak masuk tahun 2020 baru nak buat.

Semoga tahun 2020 adalah tahun paling terbaik yang pernah kita alami walaupun masa itu belum ada lagi kereta terbang.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker