Global

Penutupan Lapangan Terbang Hong Kong – Kesan Terhadap Bisnes Dan Ekonomi Wilayah Berkenaan

Semalam, penunjuk perasaan Hong Kong menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong sebagai sasaran terbaru protes dengan duduk beramai-ramai di lapangan terbang berkenaan. Akibatnya, lebih 200 penerbangan masuk dan keluar dari Hong Kong terpaksa dibatalkan di lapangan terbang ketiga paling sibuk di rantau berkenaan selepas Beijing dan Tokyo. Menjelang malam, penunjuk perasaan bersurai dan operasi penerbangan dijangka kembali pada pukul 6.00 pagi hari ini.

Yang pasti, tindakan terbaru protes anti-kerajaan ini sudah menimbulkan kegelisahan kepada sektor ekonomi Hong Kong. KDNK Hong Kong pada suku kedua tahun ini mencatat pertumbuhan sebanyak 0.6%, angka paling rendah dalam tempoh sedekad dan lari dari jangkaan pertumbuhan 1.5% oleh penganalisis ekonomi. KDNK Hong Kong juga merosot sebanyak 0.3% untuk suku kedua berbanding suku pertama tahun ini berikutan kemerosotan eksport barangan dan pelaburan masuk ke Hong Kong. Dan sekiranya perkara ini berterusan, suku ketiga dijangka akan menunjukkan pertumbuhan yang lebih lemah berikutan kemelut politik yang terus membelenggu sentimen pengguna dan peniaga.

Kerajaan Hong Kong sudah pasti mempunyai sebab untuk naik minyak dengan protes terbaru ini. Ini kerana lapangan terbang ini menyaksikan 74 juta penumpang keluar masuk Hong Kong pada tahun lepas, mengendalikan 1,100 penerbangan penumpang dan kargo serta menyediakan penerbangan ke 200 destinasi seluruh dunia. Menurut Setiausaha Pengangkutan Hong Kong, Frank Chan, lapangan terbang ini juga bertanggungjawab menyumbang 5% secara langsung dan tidak langsung kepada KDNK wilayah berkenaan. Bagi pengarah urusan AirlineRatings.com, Geoffrey Thomas, kesan ekonomi yang dirasai bukan sekadar pada pembatalan penerbangan tetapi juga dari segi pembatalan tempahan hotel dan tempahan destinasi lain selain Hong Kong.

Selain itu, jangan terkejut jika syarikat-syarikat Fortune 500 memilih memindahkan lokasi markas rantau mereka dari Hong Kong ke tempat lain. Hong Kong menjadi pilihan kerana berhampiran dengan China dan sistem perundangannya yang bersifat semi-autonomi. Terima kasih kepada protes melampau yang dibuat penunjuk perasaan, satu laporan yang dikeluarkan Dewan Perniagaan Amerika di Hong Kong menyatakan syarikat-syarikat ini mengalami kehilangan pendapatan, terpaksa menangguhkan pendapatan baru dan mengganggu rangkaian bekalan.

Status Hong Kong sebagai hub pelancongan perniagaan sudah lama terancam sebelum protes bermula. Ini dapat dilihat menerusi lebih banyak penerbangan diambil oleh ahli-ahli perniagaan terus ke tanah besar China berbanding singgah sebentar di Hong Kong. Ini berdasarkan satu laporan yang difailkan oleh Lembaga Pelancongan Hong Kong pada Februari lepas. Walaupun impak penutupan lapangan terbang ini masih terlalu awal untuk melihat kesannya, yang pasti ia akan memberi impak psikologi negatif kepada beberapa negara yang mengeluarkan amaran perjalanan kepada mana-mana pelancong yang merancang ke Hong Kong. Antara negara yang mengeluarkan amaran perjalanan terhadap Hong Kong ialah Amerika Syarikat, Great Britain, Ireland, Jepun dan Singapura.

Di samping itu, protes anti-kerajaan ini juga merosakkan imej Hong Kong sebagai sebuah tempat yang mesra perniagaan dan selamat untuk berurusan. Walaupun jurucakap kerajaan memberi jaminan status Hong Kong sebagai hub pelaburan dan pelancongan masih selamat, menurut Thomas, ia mungkin akan mengambil masa lebih lama bagi wilayah berkenaan untuk pulih. Dan terima kasih kepada protes yang tidak henti-henti ini, pesaing-pesaing Hong Kong seperti Singapura, Shanghai dan Shenzhen akan cuba menonjolkan diri sebagai pengganti Hong Kong dan secara tidak langsung akan memberi kesan positif kepada rantau lain di Asia.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker