Komentar

Penurunan Had Usia Mengundi Kepada 18 Tahun: Adakah Kita Menyelesaikan Masalah Yang Tertangguh?

  1. Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan akan membawa usul pindaan untuk menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun yang mana ia diharapkan bersifat bipartisan dan ia telah pun mendapat kelulusan Kabinet pada tahun lalu.

  2. Cadangan usul yang mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai masyarakat menunjukkan bahawa usul ini bakal menjadi satu titik perubahan yang besar kepada landskap politik tanah air. Penambahan lebih kurang 3.7 juta bakal pengundi baru akan menjadikan pergerakan parti-parti politik lebih agresif dalam mendapatkan sokongan pengundi kepada parti politik mereka.

  3. Saya secara peribadi menyokong penuh cadangan usul ini biarpun terdapat pelbagai perdebatan mengenainya. Ada yang mengatakan bahawa anak muda berumur 18 tahun masih belum matang di dalam membuat penilaian politik serta polisi dan seharusnya menumpukan perhatian kepada pelajaran. Ada yang mengatakan mereka ini akan dimanipulasi oleh parti-parti politik kerana tidak mempunyai ilmu yang cukup berkaitan asas demokrasi.

  4. Pandangan-pandangan ini mungkin merupakan persepsi peribadi bagi mereka-mereka dan adalah perlu bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memastikan persepsi-persepsi ini dapat dijawab bagi memastikan dasar ini mendapat persetujuan majoriti rakyat.

  5. Laporan sesi libat urus juga perlu dibentang bagi memberi sedikit keyakinan kepada pihak-pihak berkepentingan sekiranya ada. Saya juga tertanya-tanya, adakah terdapat kajian menyeluruh sebelum cadangan pindaan ini dibuat? Suruhanjaya Pilihanraya juga dilihat senyap di dalam membincangkan isu ini dan yang paling penting mengapa Menteri KBS iaitu Saudara Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula yang membawa cadangan pindaan ini dan bukan YB Datuk KV Liew sebagai Menteri Undang-undang?

  6. Perlu juga kita fahami bahawa sesuatu polisi itu tidak boleh ditentukan berdasarkan persepsi semata-mata tetapi perlulah berdasarkan fakta. Maka KBS juga perlu membuktikan bahawa anak muda berumur 18 tahun ini tidak akan menjadi mangsa manipulasi politik dan bersifat matang di dalam membuat keputusan terutamanya sebagai seorang pengundi. Ini termasuklah langkah-langkah mengatasi risiko yang mungkin dihadapi di dalam proses mengimplementasikan dasar berkenaan.

  7. KBS juga perlu menguruskan persepsi masyarakat yang tidak bersetuju dengan cadangan pindaan rang undang-undang ini dengan membentangkan keseluruhan pelan yang turut melibatkan aspek-aspek pendidikan dan penglibatan anak muda di dalam politik. Ini turut melibatkan peranan SPR melalui Akedemi SPR serta peranan semua parti-parti politik di dalam memastikan kejayaan dasar ini.

  8. Ketua pembangkang iaitu YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob ada menyatakan bahawa blok pembangkang secara dasarnya menyokong cadangan pindaan undang-undang ini tetapi dengan dua syarat iaitu:
    i) Pendaftaran golongan berkenaan secara automatik; dan
    ii) Had usia menjadi calon pilihanraya turut diturunkan kepada 18 tahun.

  9. Kerajaan sepatutnya memberi keutamaan kepada isu yang masih belum selesai iaitu isu rakyat Malaysia yang layak tetapi belum mendaftar menjadi pengundi. Persoalan yang sering bermain difikiran saya adalah; Mengapa sebagai warganegara Malaysia yang sah, kita tidak secara automatik menjadi pengundi? Adakah kerajaan Pakatan Harapan tidak percaya terhadap sistem pendaftaran di bawah Jabatan Pendaftaran Negara? Jika YB Syed Saddiq menggunakan contoh United Kingdom yang telah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, negara ini juga telah melaksanakan sistem pendaftaran pengundi secara automatik. Janganlah kita mengambil sikap memilih-milih dasar yang hendak dilaksanakan.

  10. Barisan Nasional juga perlu menjawab persoalan ini kerana ia tidak pernah menjadi agenda utama di dalam menyuburkan sistem demokrasi negara. Saya beranggapan bahawa, sekiranya seseorang itu lahir di Malaysia serta merupakan warganegara Malaysia dan bukannya sekadar penduduk tetap, maka dia layak untuk mengundi. Saya antara yang paling tidak bersetuju bila mana warganegara Malaysia perlu mendaftar menjadi pengundi. Ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

  11. Sekiranya cadangan pindaan undang-undang untuk menurunkan had usia mengundi kepada 18 tahun ini diluluskan, kita akan melihat pertambahan 3.7 juta anak muda yang akan menjadi pengundi. Namun begitu, berapa ramaikah daripada jumlah ini yang akan mendaftar sebagai pengundi?

  12. Pada masa kini kita mempunyai lebih kurang 3 juta anak muda yang belum mendaftar sebagai pengundi dan sekiranya cadangan pertama ketua pembangkang ini tidak dipandang serius maka tidak mustahil jumlah anak muda yang belum mendaftar ini akan bertambah. Jadi antara isu lain yang perlu diperjuangkan adalah mengurangkan kekangan untuk mengundi dengan menjadikan hak mengundi itu secara automatik bagi warganegara Malaysia.

  13. Saya berharap KBS mengambil langkah yang lebih proaktif di dalam memastikan cadangan pindaan rang undang-undang untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun ini berjaya dengan turut mengambil kira cadangan daripada Ketua Pembangkang. Kita tidak mahu dasar kerajaan yang tidak efektif yang akhirnya tidak menyelesaikan isu pokok berkaitan pengundi. Jangan gelojoh di dalam memperkenalkan undang-undang baru. Ambil masa dan buatlah sesi konsultasi yang menyeluruh barulah bawa cadangan pindaan ini.

Artikel ini ditulis oleh Wan Agyl Wan Hassan dan merupakan pandangan peribadi penulis.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Lain

Close
Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker