Ad
Umum

Penswastaan Penjara Satu Kesilapan

Beberapa hari lepas, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman bersedia mempertimbang cadangan menswastakan penjara di Malaysia sebagai satu solusi kepada masalah penjara terlalu sesak. Menurut beliau, idea ini timbul selepas berpeluang melawat sebuah penjara swasta di United Kingdom dalam satu lawatannya baru-baru ini. Sebelum kita melatah seperti Hantu Kak Limah dan menyeranah timbalan menteri yang ‘bijaksana’ ini, kita perlu tahu apa itu penjara swasta.

Perbandingan penjara awam dan penjara berbeza

Sebelum itu, ayuh ketahui perbezaan penjara awam dengan penjara swasta. Penjara awam ialah penjara yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan. Ini termasuklah menyediakan bangunan penjara, menggaji staf dan pengawal penjara serta memantau apa yang berlaku di dalamnya 24 jam tujuh hari seminggu. Walaupun diuruskan oleh jabatan kerajaan (Jabatan Penjara), ada juga sesetengah kerja diberi kepada pihak swasta seperti penghantaran makanan, pembersihan dan penyelenggaraan penjara. Sementara penjara swasta pula mengambil alih kebanyakan beban kerajaan dengan kerajaan hanya menyediakan banduan dan pemantauan termasuk tahap kebajikan banduan.

Penjara awam bersifat bukan berorientasikan keuntungan. Matlamat akhirnya ialah memulihkan kembali banduan agar kembali ke pangkuan masyarakat sebagai individu yang lebih baik atau memastikan mereka tidak menjadi ancaman kepada masyarakat. Tetapi penjara swasta pula berorientasikan keuntungan dengan matlamat utama operator penjara ialah mendapat apa saja laba dari perjanjian-perjanjian yang dimeterai dengan pihak kerajaan. Sekiranya penjara swasta hendak menjana pendapatan, mereka menerima bayaran dari pihak kerajaan dan ia dipengaruhi pelbagai faktor seperti saiz penjara, amaun bersifat bulanan atau tahunan atau bilangan banduan yang ditahan mereka.

Ad

Contohnya, kos menempatkan seorang banduan US$100 sehari (anggapan berdasarkan penjara mencapai kapasiti penuh termasuk kos pentadbiran) dan penjara boleh menempatkan 1,000 orang banduan. Operator penjara swasta boleh menawarkan khidmat mereka kepada pihak kerajaan dengan mengenakan caj US$150 sehari untuk seorang banduan. Pihak kerajaan akan bersetuju sekiranya ia dapat mengurangkan belanja US$150 dari kos yang ditanggung jabatan penjara yang menguruskan penjara awam. Ini cara bagaimana operator penjara swasta menjana pendapatan mereka. Dan seperti mana-mana perniagaan, penjimatan boleh saja membantu menambah keuntungan. Jika operator penjara mahu mengembangkan operasi, ia boleh dibuat untuk meningkatkan margin keuntungan tetapi perlu mengeluarkan sejumlah wang untuk menjayakannya.

Apabila operasi penjara swasta semakin berkembang, maka ia mempunyai pilihan untuk saham dibuka kepada pihak awam. Tetapi tidak seperti bisnes-bisnes yang lain, ada beberapa perkara tidak boleh dibuat sebagai operator swasta. Mereka memerlukan suntikan modal tambahan atas dua sebab. Pertama, dengan menambah banduan dengan kos US$50 sehari, ini bermakna penjara boleh meraih US$50,000 sehari untuk penjara yang boleh menempatkan seribu orang. Dengan pilihan pengapungan ini, ini memberi modal kepada operator membina penjara kedua untuk memenuhi permintaan pihak kerajaan.

Kedua, bagi memastikan penjara swasta terus beroperasi, mereka memerlukan lebih ramai banduan masuk menggantikan banduan-banduan yang telah tamat menjalani hukuman. Ini bermakna kontrak akan terus diperbaharui dan undang-undang dikuatkuasakan, kadangkala sehingga ke tahap melampaui batas. Untuk menjayakan semua ini, mereka harus ‘membeli’ ahli politik yang sealiran dengan mereka. Perkara inilah yang dipanggil sebagai lobi dan ia membawa kepada isu-isu lain seperti rasuah dan salahguna kuasa.

Pada dasarnya, idea ini nampak hebat. Ia dilihat dapat membantu mengurangkan beban kewangan kerajaan dan membenarkan pihak swasta meraih keuntungan dari usaha ini. Tetapi masalahnya, kita perlu melihat aspek ekonomi di sebalik kewujudan penjara. Matlamat utama sistem penjara ialah memulihkan kembali individu yang tersasar kembali ke jalan yang benar. Memandangkan penjara mempunyai kadar penerimaan semula sebanyak 75%, matlamat tersebut sudah pasti akan diragui. Dan jika benar sistem ini berhasil, maka operator penjara swasta akan muflis. Jadi ini menimbulkan persoalan: apakah sistem penjara itu memang sebagai satu bentuk pemulihan atau satu cara mencari keuntungan? Jika tujuannya ialah menjana keuntungan, maka penjara yang dipenuhi populasi tinggi seharusnya menjadi matlamat akhir.

Satu lagi masalah ialah penjara swasta seperti mana-mana perniagaan lain ialah berorientasikan keuntungan. Maka, operator penjara sentiasa mencari helah bagaimana memaksimumkan keuntungan penjara yang dikendalikan termasuk melaksanakan kempen penjimatan. Contohnya, jika operator penjara memilih menghentikan perkhidmatan pembersihan, ia akan mengurangkan kos dari US$100 kepada US$90 seorang banduan sehari dan angka tersebut boleh bertambah jika populasi penjara sebanyak seribu orang. Pemotongan kos sesetengah operasi seperti pembersihan memang membantu menambah keuntungan tetapi mewujudkan suasana kotor dan jijik untuk banduan. Akibatnya, ia akan memberi kesan negatif kepada kualiti kehidupan banduan.

Akhir sekali, undang-undang harus distruktur semula bagi membolehkan lebih ramai banduan memenuhi permintaan penjara swasta. Dan ini berkait semula dengan isu melobi yang dinyatakan sebelum ini: undang-undang lebih tegas bermaksud lebih ramai orang akan dipenjarakan. Lebih ramai orang dalam sistem, lebih banyak wang yang akan diterima operator penjara. Atas sebab itulah, ramai percaya sesetengah perang ke atas jenayah tertentu seperti perang dadah bertujuan memenjarakan ribuan orang saban tahun.

Jika ada yang masih berkeras idea penjara swasta ini harus didengar terlebih dahulu, maka penyokong idea ini harus mendengar dua faktor. Pertama, mengekalkan struktur kepimpinan penjara. Pengekalan pihak pengurusan bukan saja menjamin kestabilan pengurusan penjara tetapi juga mengurangkan isu pengambilan pekerja. Ini membolehkan moral staf dan pengawal penjara sentiasa dalam keadaan mantap. Ini dibuktikan menerusi pengurusan penjara HMP Altcourse di Liverpool yang diuruskan oleh firma keselamatan G4S.

Kedua, penjara swasta harus diberi kebebasan untuk berinovasi dan mengaplikasikan idea baru dalam menguruskan banduan mereka. Menurut Rupert Soames, ketua firma keselamatan Serco yang mengendalikan lima penjara swasta di Britain, operator penjara swasta diberi lebih banyak kebebasan dalam berinovasi berbanding di penjara-penjara awam. Altcourse misalnya merupakan antara penjara pertama yang memasang alat pengesan seluruh badan untuk mengesan dadah dan senjata tersembunyi. Sementara Serco pula memasang komputer dalam sel-sel banduan sebelum dibuat oleh perkhidmatan penjara UK. Selain membantu banduan sibuk sama ada mencari maklumat atau mengatur temu janji untuk lawatan keluarga, ia juga mengurangkan tugas remeh yang dihadapi pengawal penjara.

Penolakan penswastaan penjara

Namun, semua itu masih tidak boleh menghalang pandangan serong orang ramai terhadap penjara swasta. Keadaan ini tidak dibantu oleh statistik-statistik yang dikeluarkan Kementerian Kehakiman Britain (MOJ) pada Mei 2019. Dalam satu laporan yang dibentangkan, terdapat 156 kes serangan banduan dalam seribu banduan direkodkan di penjara-penjara swasta England dan Wales dari Oktober 2017 hingga September 2018. Dalam 96 penjara awam orang dewasa dengan purata populasi 64,905 orang, terdapat 21,420 serangan atau 330 kes per seribu banduan. Tetapi di 14 penjara swasta dengan purata populasi 15,930 orang, terdapat 7,737 kes serangan atau 486 kes per seribu banduan.

Dan pada tahun ini, kontrak pengurusan penjara HMP Birmingham yang sebelum ini dikendalikan G4S kini diserahkan semula kepada MOJ selepas laporan-laporan kurang menyenangkan timbul pada pertengahan 2018. Dalam tempoh 18 bulan selepas diambil alih oleh G4S pada tahun 2017, keadaan penjara dianggap sebagai tidak menyenangkan dan berada pada tahap krisis. Tahap kebersihan penjara dianggap menyedihkan dengan masalah seperti sampah dilonggokkan di kawasan perkumpulan banduan dan masalah binatang perosak. 70% banduan di situ mengadu merasa tidak selamat. Staf dan pengawal penjara pula tidak mempunyai keyakinan dan keupayaan dalam kemahiran-kemahiran utama. Ada yang memilih mengunci diri untuk mengelak diancam banduan. Ada pula yang terlelap semasa tempoh berkurung dilaksanakan.

Akibatnya, kerajaan pimpinan Theresa May ketika itu terpaksa membayar sejumlah pampasan kepada G4S dengan firma keselamatan itu membayar 9.9 juta paun sterling kepada pihak kerajaan untuk kos tambahan yang timbul semasa tempoh peralihan berlaku. Staf-staf G4S di Birmingham akan mendapat kontrak dengan jabatan penjara dengan penguasa Birmingham, Paul Newton yang mengambil alih penjara pada Ogos 2018 dikekalkan.

Insiden ini bukan insiden pertama yang dihadapi G4S. Pada tahun 2016, Britain dikejutkan dengan skandal staf-staf G4S memukul dan membuli banduan di Pusat Latihan Keselamatan Medway di Rochester, Kent. Hasil pemeriksaan mengejut yang dijalankan jabatan penjara mendapati pihak pengurusan gagal melindungi banduan-banduan muda dari kecelakaan. Selain masalah buli, Medway turut berhadapan isu pengambilan pekerja yang tinggi. Akibatnya, empat ketua pasukan di Medway dipecat. Selain itu, rancangan terbitan BBC, Panorama turut mendedahkan masalah salah laku di Pusat Pemindahan Imigran Brook House berhampiran Lapangan Terbang Gatwick pada tahun 2017. Pada tahun 2015 pula, akhbar Daily Record mendedahkan pengawal-pengawal G4S terlelap semasa bekerja selepas mengambil syif selama 22 jam.

Melihat kepada statistik sebegini, tidak hairanlah ramai pihak mula menentang idea penjara swasta habis-habisan. Di Ireland, Tabung Amanah Reformasi Penjara Ireland (IPRT) menolak sekeras-kerasnya idea penjara swasta yang dicadangkan oleh Inspektor Penjara-Penjara, Tuan Hakim Dermot Kinlen yang mencadangkan ujian percubaan penjara swasta untuk satu penjara. Sekiranya berhasil, Jabatan Penjara Ireland perlu bersaing dengan firma-firma swasta untuk mendapatkan pembaharuan kontrak penjara setiap lima tahun.

IPRT menolak antara sebab yang dibangkitkan Hakim Kinlen termasuk kelebihan penjimatan dana kerajaan. Ini kerana, tiada data bebas yang menyokong sebab berkenaan ditambah kerajaan Britain mengakui kos penjimatan pengurusan penjara swasta di England dan Wales hanya berjumlah 1%. Ya, 1%! Peratusan sama turut muncul di Amerika Syarikat dengan Perkhidmatan Jabatan Penjara Australia mengakui kos menempatkan banduan di satu-satunya penjara swasta di New South Wales jauh lebih tinggi berbanding di penjara-penjara kerajaan.

IPRT turut memetik kenyataan Menteri Kehakiman UK pada tahun 2004, Paul Goggins yang berkata, “Tiada cara mudah dalam mengesan amalan kerja inovatif antara sektor awam dengan sektor swasta.” Tabung tersebut turut memetik kenyataan bekas anggota kabinet Perdana Menteri Australia, John Howard (1996-2007), Chris Ellison pada Oktober 2003, “Sudah jelas sekali aktiviti penswastaan penjara tidak memberi sebarang manfaat kepada komuniti.” Berikutan itu, IPRT mendesak Menteri Kehakiman Ireland ketika itu, Michael McDowell menyatakan komitmen menolak sebarang usaha penswastaan penjara di Ireland.

Di Britain pula, selepas timbul statistik peningkatan laporan serangan ke atas banduan pada Mei 2019, Menteri Kehakiman Bayang-Bayang dari Parti Buruh, Richard Burgon menyifatkan perkara ini berlaku akibat kegelojohan operator penjara swasta mengejar keuntungan tanpa mengambil kira kebajikan banduan. Isu ini bukan perkara baru bagi Burgon selepas dilantik sebagai Menteri Kehakiman Bayang-Bayang oleh Jeremy Corbyn pada tahun 2016. Beliau menyifatkan selepas apa yang berlaku di HMP Birmingham, ia seharusnya menjadi permulaan inkuiri bebas terhadap bahaya yang dibawa pihak swasta kepada penjara-penjara di Britain. Dan sebagai sebahagian daripada manifesto Parti Buruh sempena Pilihan Raya Umum 2019, Parti Buruh berjanji untuk menamatkan amalan penswastaan penjara. Penolakan amalan penswastaan penjara ini turut mendapat sokongan bekas anggota kabinet Margaret Thatcher, Malcolm Rifkind menerusi satu artikel Financial Times pada April 2019.

Dan ironinya, negara haram Israel turut menolak sama sekali aktiviti penswastaan penjara. Pada tahun 2004, Knesset (Parlimen) Israel meluluskan undang-undang membenarkan operator penjara swasta beroperasi atas alasan dapat menjimatkan perbelanjaan dengan memindahkan banduan ke kemudahan yang diuruskan pihak swasta. Tetapi undang-undang tersebut ditolak rakyat Israel di mana setahun kemudian, Jabatan Hak Asasi Manusia, Kolej Akademik Undang-Undang di Ramat Gan memfailkan petisyen di Mahkamah Agung Israel. Dalam petisyen tersebut, pempetisyen berhujah pemindahan kuasa penjara dari pihak kerajaan kepada pihak swasta dianggap melanggar hak asasi manusia terutama dari segi maruah dan kebebasan banduan. Kedua, pempetisyen turut berhujah kecenderungan pihak swasta mengambil jalan mudah dalam menguruskan penjara akan memberi kesan negatif kepada banduan. Hasilnya pada tahun 2009, Mahkamah Agung Israel memutuskan undang-undang penswastaan penjara Israel sebagai menyalahi perlembagaan negara itu.

Jadi, soalan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) terutama Datuk Mohd Azis, masih lagi nak pertimbangkan idea penswastaan penjara selepas ini? Tolonglah, idea penswastaan penjara merupakan idea paling bodoh pernah dikeluarkan kerajaan dalam usaha menangani isu kesesakan banduan. Usah kerana terlalu pentingkan penjimatan wang, akibatnya keselamatan negara terutama rakyat terancam. Atau ini merupakan satu lagi skim terdesak pihak kerajaan dalam meraih pendapatan segera untuk mengisi kantung kewangan negara?!

Source
Bernama. (2019). Home Ministry to look into establishing privatised prisons. New Straits TimesGrierson, Jamie dan Duncan, Pamela. (2019). Private jails more violent than public ones, data analysis shows. The GuardianGrierson, Jamie. (2019). G4S stripped of contract to run Birmingham prison. The GuardianMoore, James. (2018). G4S Birmingham prison scandal once again exposes the flaws in outsourcing. The IndependentHolland, Kitty. (2005). Report rejects call for private prisons. The Irish TimesRifkind, Malcolm. (2019). Why prisons should never be privatised. Financial TimesBryant, Sean. (2019). The Business Model Of Private Prisons. Investopedia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Back to top button