Ad
Umum

Penolakan GST Satu Kesilapan Besar

Petikan kenyataan Lim Guan Eng berkenaan GST semasa pembentangan Belanjawan 2020: https://www.youtube.com/watch?v=edIQeMMtRV8

Baca bibir saya. Itulah kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng apabila dengan tegas menolak perlaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) semasa sesi pembentangan Belanjawan 2020 baru-baru ini. Ketegasan Menteri Kewangan itu mengulangi kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut menolak perlaksanaan GST semasa sesi soal jawab di Parlimen Isnin lepas. Persoalannya, apakah ini satu keputusan yang tepat atau satu lagi kesilapan dalam siri kesilapan yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan selepas mengambil alih kerajaan pasca-Pilihan Raya Umum Ke-14?

Semasa sesi pembentangan belanjawan, Guan Eng menyifatkan dengan pemansuhan GST, ia dilihat mengurangkan inflasi negara ke tahap paling rendah sejak tahun 2007. Justeru logiknya, ia seharusnya membawa kepada penurunan harga barang dan peningkatan kuasa perbelanjaan rakyat. Malangnya sejak Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan semula pada 1 September 2018, ia dilihat langsung tidak memberi kesan kepada penurunan harga seperti diharapkan.

Ad

Bacaan berkaitan: SST Dan GST Adalah Cukai Penggunaan, Apa Bezanya?

Menurut pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bandai, walaupun isu kenaikan harga barang dirasai pengguna semasa perlaksaanaan GST, kenaikan tersebut tidak dirasai sangat berikutan pertambahan pendapatan kerajaan sebanyak RM20 bilion. Dengan pertambahan pendapatan ini, ini membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai program untuk membantu meringankan beban rakyat. Sebaliknya sejak SST dilaksanakan, isu kenaikan harga barang terus membebankan pengguna di mana kesan penurunan harga tidak kelihatan dan turut memberi kesan kepada kemasukan wang ke dalam kantung kewangan negara. Dari situ, ia turut menyaksikan penurunan nilai bantuan yang dihulur kepada rakyat dalam meringankan beban kewangan mereka.

Walaupun Guan Eng menegaskan berulang kali bahawasanya pemansuhan GST dibuat kerana mengikut mandat rakyat, apalah gunanya mandat sekiranya kerajaan terus kehilangan pendapatan akibat pengelak cukai dan liputan cukai SST yang tidak seberapa berbanding GST. Bagi CEO Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman, kerajaan seharusnya bersikap berani kerana benar jika GST merupakan penyelesaian terbaik dalam menambah kekuatan kantung kewangan negara dan memberi lebih banyak ruang kepada kerajaan dalam menyediakan program-program yang bermanfaat kepada rakyat. Sementara Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Kamal Salih menyifatkan GST satu cukai yang progresif dan adil kepada semua.

Berdasarkan data, jelas sistem GST menjadi pilihan banyak negara di dunia kerana lebih mudah dan membantu kerajaan mempunyai pendapatan mencukupi untuk berbelanja. Dan melihat kepada kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah, fakta ini harus dipertimbangkan semula walaupun bermakna berhadapan prospek digelar kerajaan tiada pendirian. Baru-baru ini, beliau mengesahkan kutipan cukai SST hanya berjumlah RM22 bilion, separuh daripada kutipan cukai GST berjumlah RM44 bilion. Walaupun pengenalan cukai-cukai baru seperti levi perlepasan dan cukai digital boleh memberi kutipan anggaran sebanyak RM400 juta dan RM2.4 bilion setahun, ia masih lagi tidak mencukupi untuk menampung kekurangan yang timbul akibat perlaksanaan SST.

Jika kerajaan tetap berdegil untuk meneruskan SST, maka satu-satunya jalan untuk menutup kelompangan SST ialah memperluaskan liputan cukai berkenaan. Tidak seperti GST, sistem cukai SST terdedah kepada isu penipuan dan pengelakan cukai. Suka atau tidak, ia perlu ditangani dengan mengukuhkan lagi aspek kawalan dan penguatkuasaan. Dan kerajaan juga menumpukan kepada kumpulan pembayar cukai yang berpendapatan tinggi seperti dicadangkan Prof Jomo Kwame Sundaram jika mahu menjadikan cukai SST lebih progresif. SST boleh dikenakan ke atas item seperti barangan mewah, penginapan hotel lima bintang dan penerbangan kelas pertama sementara pengguna berpendapatan rendah tidak dikenakan sebarang cukai.

Tetapi persoalannya apakah kerajaan mampu berbuat demikian? Hatta cadangan pengenalan cukai keuntungan modal (CGT) dan cukai warisan yang dikatakan akan diperkenalkan semasa Belanjawan 2019 sudah menimbulkan kebimbangan kepada para pelabur. Walaupun pada akhirnya ia tidak dilaksanakan, ini jelas menunjukkan kerajaan harus sensitif dengan sentimen rakyat dan pelabur dalam memastikan soal kemakmuran negara tidak terjejas.

Prospek kemakmuran negara dilihat sukar dicapai sekiranya pengenalan levi perlepasan dan cukai digital diteruskan. Menerusi pengenalan levi perlepasan, kerajaan dijangka akan mengalami kerugian sebanyak RM1.8 bilion berikutan penurunan bilangan pelancong yang berbelanja semasa berada di negara ini. Dengan kerugian sebegitu, sudah pasti usaha menambah wang ke dalam kantung kewangan negara bertambah sukar dan prospek kegagalan matlamat yang digariskan untuk Tahun Melawat Malaysia 2020 pada tahun hadapan dilihat semakin bertambah.

Sementara cukai digital pula dilihat akan menakutkan para pelabur terutama dari sektor digital dan menambah lagi kos yang perlu ditanggung pengguna sekiranya mereka hendak melanggan perkhidmatan atau membeli barang secara digital. Walaupun kutipan cukai dijangka akan bertambah seiring dengan pertumbuhan pasaran digital dan membantu pemain-pemain media tempatan bersaing dengan pemain-pemain luar, apakah ia dapat membantu mengisi kelompangan yang ditinggalkan menerusi perlaksanaan SST? Dan apakah ia juga akan memberi kesan kepada harga perkhidmatan digital yang dinikmati pengguna sekarang apabila dilaksanakan pada tahun hadapan?

Melihat kepada pelbagai komplikasi ini, nampaknya keputusan memperkenalkan GST oleh kerajaan Barisan Nasional pada 1 April 2015 merupakan satu keputusan yang bijak dan memberi kesan baik kepada negara untuk jangka masa panjang termasuk membina penghadang fiskal diperlukan dalam menghadapi krisis ekonomi. Jika pihak kerajaan benar-benar mengambil kira kesejahteraan negara untuk jangka masa panjang, maka GST perlu diperkenalkan semula walaupun ini bermakna ia perlu dijenamakan semula agar sedap di telinga dan dikecam ramai kerana tiada pendirian tetap. Ini bukan soal mencari populariti singkat tetapi soal menjaga kemaslahatan rakyat. Apalah guna melaksanakan sistem cukai yang tidak telus seperti SST jika yang merana ialah rakyat dan negara?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Back to top button