Ekonomi
Trending

Penjualan Aset dan Hasil Pelaburan Negara

Penjualan aset korporat negara telah mencatatkan jumlah keseluruhan lebih kurang RM 34 billion. Government Linked Investment Company (GLIC) telah banyak melakukan beberapa siri penjualan aset komersil.

Aset terbaru ialah Andaz Singapore sebuah hotel mewah 5 bintang dengan harga jualan sebanyak RM 1.44 billion.

Baca : Khazanah Jual Hotel 5 Bintang Di Singapura Berjumlah RM 1.44 Billion

Khazanah telah memulakan penjualan asetnya semenjak menjual pegangan saham sebanyak 16% kepada Mitsui sebuah syarikat daripada Jepun.

Sebelum menjual Andaz Singapore, Khazanah juga ada menjual sebuah hospital mewah iaitu Prince Court Medical Center (PCMC) kepada IHH Berhad yang kini pemegang sahamnya ialah syarikat Jepun.

Jumlah pembelian yang dibuat oleh Khazanah untuk membeli PCMC daripada PETRONAS adalah sebanyak RM 1.086 billion.

Akhirnya, Khazanah telah menjual PCMC kepada IHH dengan harga sebanyak RM 1.02 billion.

Berikut adalah aset-aset negara yang telah dijual:

  • Andaz Singapore (RM 1.44 billion)
  • Lebuhraya Tol Jakarta (RM 2.10 billion)
  • Prince Court Medical Center (RM 1.02 billion)
  • Desaru Investment (RM 0.289 billion)
  • DRB Hicom (RM 0.175 billion)
  • Projek Bandar Malaysia (RM 7.41 billion)
  • Bangunan Konsulat di Hong Kong (RM 1.60 billion)
  • Hotel Royale Chulan (RM 0.197 billion)
  • CIMB Berhad (RM 2.364 billion)
  • BDO Unibank (RM 0.415 billion)
  • Axiata Digital (RM 0.579 billion)
  • Boustead Plantations (RM 1.20 billion)
  • Saham TNB (RM 1.05 billion)
  • Telco M1 (RM 1.65 billion)
  • Acibadem Sigort (RM 1.25 billion)
  • Sapura Upstream (RM 3.70 billion)
  • IHH Berhad (RM 8.42 billion)

Jumlah keseluruhan aset yang telah dijual lebih kurang RM 34 billion. Satu nilai yang sangat besar. Apa yang tidak masuk akal adalah Khazanah ‘dipaksa’ untuk membayar dividen sebanyak RM 1.5 billion kepada Kerajaan Malaysia walaupun pendapatan bersih Khazanah mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM 6.52 billion.

Dalam Belanjawan 2020, Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng telah mengumumkan untuk melupuskan aset melalui tender terbuka. Beliau memberitahu bahawa, kerajaan akan menjana pendapatan sebanyak RM 3.0 billion pada tahun 2020.

Baru-baru ini, kerajaan telah menerima beberapa bidaan untuk membeli PLUS Malaysia Berhad. Secara strukturnya, Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masing-masing mempunyai pegangan saham sebanyak 51% dan 49% dalam PLUS. Bidaan yang diterima adalah seperti berikut;

  • RRJ Capital menawarkan harga sebanyak RM 3.5 billion
  • Widad Group Berhad menawarkan harga sebanyak RM 3 billion
  • Tan Sri Halim Saad dan Wong Gian Kui menawarkan harga sebanyak RM 5.2 billion

PLUS diklasifikasikan sebagai aset strategik oleh Khazanah. Aset strategik adalah aset yang dipegang dalam masa yang panjang untuk menjamin manfaat ekonomi pada rakyat. Sekiranya, PLUS diambil alih oleh pihak swasta. Berkemungkinan mereka akan sesuka hati menaikkan kadar tol dan akan meningkat beban sara hidup kepada rakyat Malaysia.

Hasil Pelaburan Negara

Kerajaan telah menurunkan hasil pelaburan dalam Belanjawan 2020 sebanyak RM 28.56 billion berbanding Belanjawan 2019 sebanyak RM 59.50 billion. Pada belanjawan sebelumnya, kerajaan telah meminta PETRONAS untuk memberi dividen khas sebanyak RM 30 billion.

Justifikasi untuk meminta PETRONAS memberi dividen khas adalah untuk membayar bayaran balik GST kepada peniaga. Sebanyak RM 19.4 billion wang bayaran balik tidak diagihkan semula kepada peniaga kerana kerajaan telah memansuhkan GST. Maka, kerajaan telah menggunakan dividen khas PETRONAS untuk membayar bayaran balik GST.

Hasil berkaitan Petroleum telah meningkat kepada 30.9% daripada hasil Kerajaan Persekutuan. Kerajaan terpaksa bergantung kepada hasil petroleum kerana hasil kerajaan telah berkurang akibat memansuhkan GST. Berikut adalah hasil pelaburan Kerajaan Persekutuan untuk 5 tahun sebelum ini dan jangkaan tahun 2020;

  • 2020 (RM 28.58 billion)
  • 2019 (RM59.50 billion)
  • 2018 (RM 31.89 billion)
  • 2017 (RM 22.66 billion)
  • 2016 (RM 23.30 billion)
  • 2015 (RM 32.84 billion)

Jumlah hasil pelaburan dalam Belanjawan 2019 adalah sebanyak RM 59.50 billion yang terdiri daripada dividen PETRONAS, Khazanah Nasional Berhad, Bank Negara Malaysia (BNM) dan lain-lain. Pecahannya adalah seperti berikut:

  • Dividen PETRONAS (RM 54.00 billion)
  • Bank Negara Malaysia (RM 2.50 billion)
  • Khazanah Nasional Berhad (RM 1.00 billion)
  • Lain-lain (RM 2.00 billion)

Dalam Belanjawan 2020, kerajaan telah mengurangkan hasil pelaburan kerajaan kerana kerajaan sudah tidak lagi meminta PETRONAS untuk memberi dividen khas. Jumlah hasil pelaburan dalam Belanjawan 2020 adalah sebanyak RM 28.58 billion. Pecahan jumlah hasil ini adalah seperti berikut:

  • Dividen PETRONAS (RM 24.00 billion)
  • Khazanah Nasional Berhad (RM 1.00 billion)
  • Bank Negara Malaysia (RM 2.00 billion)
  • Lain-lain (RM 1.579 billion)

Hasil pelaburan kerajaan amat berkait rapat dengan penjualan aset GLIC kerana syarikat-syarikat ini mempunyai ‘tanggungjawab’ untuk mengagihkan pendapatan mereka kepada Kerajaan Persekutuan. Namun, sampai bila Kerajaan Persekutuan ingin terus menjual aset-aset GLIC daripada membeli dan menyimpan?

penjualan-aset-dan-hasil-pelaburan-negara

Rujukan :

  1. Kementerian Kewangan Malaysia. (2019). Ucapan Belanjawan 2020.
  2. Kementerian Kewangan Malaysia. (2018). Ucapan Belanjawan 2019.
  3. Kementerian Kewangan Malaysia. (2019). Tinjuan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2020.
  4. Khaled Nordin. (2019). Reviu Belanjawan 2019: Kedudukan Fiskal. My Two Cents Asia. Retrieved from https://mytwocents.asia/reviu-belanjawan-2019-kedudukan-fiskal/.
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker