Ad
Ekonomi

Pengurusan Hutang Negara Malaysia

Hampir semua negara di dunia ini memerlukan hutang untuk memastikan perkembangan ekonomi mereka. Cara negara berhutang tidak seperti individu atau syarikat. Ini kerana, negara berhutang menggunakan bon. Bon adalah salah satu instrumen kewangan yang terdapat di dunia untuk mendapatkan modal. Tetapi, cara negara memastikan perkembangan ekonomi juga sama seperti syarikat yang ingin mengembangkan syarikat mereka dengan mengunakan hutang.

Bon konvensional digunakan oleh kerajaan untuk membuat hutang. Secara kasarnya, bon mempunyai nilai pokok dan bunga atau dalam Bahasa Inggerisnya dikenali sebagai ‘principal’ dan ‘coupon rate’. Selain itu, bon juga mempunyai tarikh matang atau ‘maturity date’ yang mana kerajaan perlu membayar hutang pokok pada tarikh matang.

Sebagai contoh, negara Malaysia mahu berhutang sebanyak RM 10,000 dengan nilai bunga sebanyak 3.25% dan tarikh matang selama 10 tahun. Pada awalnya, negara akan menerima sebanyak RM 10,000. Malaysia pula perlu membayar 3.25% atau RM 325 nilai bunga daripada RM 10 000 setiap tahun selama 10 tahun. Dan pada tahun terakhir Malaysia perlu membayar hutang pokok sebanyak RM 10,000 pada tempoh matang iaitu selepas 10 tahun dari tarikh pinjaman dibuat.

Ad

 Kebiasaannya, kerajaan akan menerbitkan bon sekali lagi untuk membayar hutang pokok yang sebelumnya pada tarikh matang. Dengan menggunakan contoh dalam perenggan sebelumnya, kerajaan akan membuat pinjaman hutang atau menerbitkan bon yang baru untuk membayar hutang pokok bon yang sebelumnya sebanyak RM 10,000. Sebagai contoh, kerajaan akan menerbitkan bon baru sebanyak RM 12,500 selepas 10 tahun dan mempunyai lebihan sebanyak RM 2,500. Lebihan akan dibelanjakan untuk memastikan perkembangan ekonomi terus berkembang. Untuk kadar kupon iaitu kadar bunga pula boleh berubah-ubah mengikut persekitaran ekonomi negara dan dunia. Perkara ini dikenali sebagai kitaran hutang atau ‘debt cycle’ dalam Bahasa Inggeris.

 Bagaimana pula kita sebagai rakyat Malaysia ingin mengetahui adakah kerajaan akan bankrap dengan hutang yang sedia ada? Bagaimana pula kerajaan membayar nilai bunga setiap tahun pula? Untuk menjawab soalan ini, sila lihat graf yang disediakan dalam gambar di bawah.

Kita dapat mengetahui nilai pokok dan bunga yang perlu dibayar oleh kerajaan daripada sumber yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia. Terdapat dua elemen yang ingin disentuh iaitu Hutang Kerajaan Malaysia (nilai pokok) dan Bayaran Khidmat Hutang (nilai bunga). Kebiasaanya, kedua-dua nilai ini masing-masing dinisbahkan dengan KDNK dan bajet negara.

Related Articles

Sebagai contoh mudah pada tahun 2017, kerajaan Malaysia mempunyai jumlah hutang dan KDNK masing-masing sebanyak RM 686.837  billion dan RM 1,353 billion. Makanya, (RM 686.837 billion/RM 1,353 billion) x 100% = 50.3%. Pengiraan yang sama juga digunakan untuk menentukan peratusan bayaran khidmat hutang negara. Menggunakan contoh tahun yang sama, jumlah bajet dan bayaran khidmat hutang adalah RM 280.25 billion dan RM 30.882 billion. Nilai akhir pula sebanyak 11%.

Tambahan lagi, bon-bon milik kerajaan dipegang oleh pelabur-pelabur bon dalam negara Malaysia yang terdiri daripada Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWSP), Kumpulan Wang Awam Persaraan (KWAP), syarikat insuran, Bank Negara Malaysia, institusi perbankan, dan pelabur-pelabur yang lain. Kebanyakan hutang yang diterbitkan oleh kerajaan hari ini dalam Ringgit Malaysia. Hampir 90% hutang Malaysia dalam Ringgit Malaysia dan hal ini mengurangkan risiko perubahan matawang asing. Contoh mudah, sekiranya matawang Yen menguat berbanding Ringgit Malaysia. Bayaran khidmat hutang akan bertambah kerana susut nilai Ringgit Malaysia berbanding Yen.

Sehingga hari ini, Malaysia tidak pernah gagal membayar hutang kerajaan mahupun untuk nilai pokok atau nilai bunga. Pembayaran pula sudah diatur oleh Kementerian Kewangan Malaysia untuk mengelakkan kegagalan membayar hutang atau dalam Bahasa Inggeris dikenali sebagai ‘default’. Peratusan bayaran khidmat hutang negara pula dalam kadar 6% hingga 11% daripada bajet negara yang diumumkan. Ini bermaksud, lebihan daripada hasil yang kerajaan dapat dibelanjakan dalam perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan.

Kerajaan Malaysia menggunakan Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 [Akta 637] untuk mengehadkan hutang negara pada paras 55%. Sehingga hari ini, kerajaan Malaysia masih belum mencecah paras 55%.Selain daripada itu, defisit fiskal, pertumbuhan KDNK dan nilai KDNK juga antara elemen yang penting untuk mengetahui pengurusan hutang negara pada keadaan yang baik.

Berdasarkan isu semasa, pelabur-pelabur bon masih yakin dengan pasaran bon yang ada di Malaysia. Keyakinan pelabur-pelabur bon ini disandarkan pada penarafan kredit atau ‘credit rating’ yang ditentukan oleh agensi-agensi penarafan seperti Moody’s, Standard & Poor’s dan Fitch. Sekiranya, ketiga-ketiga agensi ini memberikan penarafan yang baik kepada Malaysia. Justeru, tiada masalah untuk Malaysia terus berhutang.

Justeru, kerajaan Malaysia pada hari ini masih berada dalam keadaan terkawal dalam menguruskan hutang negara yang sedia ada.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Back to top button