Komentar

Pembinaan Ecrl: Saranan Santai Anak Negeri Sembilan

Pengumuman penyambungan semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi fasa 1 dan fasa 2 yang dikatakan menelan belanja RM65.5 billion bagi kos asal diturunkan menjadi RM44 billion dengan jaluran pembinaan baru sepanjang 640km telah diumumkan oleh pihak kerajaan baru-baru ini.

Bagi maksud tersebut, Negeri Sembilan tidak terkecuali daripada dipilih sebagai lokasi jaluran pembinaan ECRL dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026. Dalam hal ini, terdapat tiga lokasi dalam Negeri Sembilan yang telah dipilih dalam inisiatif pembangunan ini iaitu laluan Jelebu, Kuala Klawang dan Bangi.

Menariknya, penulis sebagai anak jati Jelebu sendiri berasa teruja dengan inisiatif pembangunan ini kerana kawasan tersebut sememangnya sejak sekian lamanya menantikan impak ekonomi berskala besar namun apa yang penduduk Negeri Sembilan mahu dan akan dinikmati itu perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan.

Malah, daripada hasil pembacaan penulis juga berpendapat idea pembangunan sistem rel pengangkutan ini sebenarnya bukanlah idea yang baru bagi kerajaan sedia ada di Negeri Sembilan kerana semasa pentadbiran “team Tok Mat”, (Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan) telah memasukkan cadangan ini dalam dasar Pelan Pembangunan 30 tahun Negeri Sembilan.

Jadi, inisiatif ini bukanlah suatu idea baru namun yang paling penting yang perlu diperhalusi sejauh mana ianya mampu memberi manfaat kepada penduduk Negeri Sembilan khususnya perlu ditekankan. Hentikan soal politik dan menuding jari siapa salah atau betul kerana benda ini benda yang baik untuk rakyat. Oleh itu, artikel ini hanya nukilan peribadi penulis dengan menggunakan analisis semasa dan perkaitannya dengan harapan penduduk Negeri Sembilan sendiri dalam pelaksanaan projek ECRL ini.

Projek ECRL: Apa Orang Negeri Sembilan Mahu?

Dalam hemat penulis, pengumuman pihak kerajaan memilih lokasi ECRL seperti di laluan Jelebu dan Kuala Klawang boleh dikatakan satu tindakan yang berani dan istimewa. Jelebu merupakan salah satu daripada 9 buah daerah di Negeri Sembilan yang berkeluasan 137,751.49 hektar dan merupakan daerah kedua terbesar di dalam Negeri Sembilan. Namun, jumlah penduduk Jelebu hanya seramai 40,000 orang sahaja dan dan masih berstatus luar bandar.

Basic Economy Culture pula masih berteraskan sumber ekonomi berasaskan pertanian, industri hiliran dan usahawan desa. Pengumuman yang dibuat oleh pihak kerajaan ini, bagi pandangan penulis adalah baik kerana impak pembangunannya bukan sahaja akan berlaku di Negeri Sembilan tetapi di seluruh jaluran pantai timur secara keseluruhannya. Bagi maksud tersebut, terdapat beberapa pandangan yang perlu dikemukakan agar pihak kerajaan tahu bahawa penduduk Negeri Sembilan menyahut baik usaha ini dan tidaklah pula menentang usaha ini.

Perkara utama yang perlu dilakukan oleh pihak kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri ialah perlu memastikan proses urbanisasi yang dilakukan tidaklah pula meminggirkan masyarakat tempatan. Hal ini kerana pihak kerajaan perlu faham, penduduk tempatan terutamanya yang berada di Jelebu dan Kuala Klawang yang sejak azali mode ekonominya hanya berasaskan pertanian dan industri hiliran perlulah didedahkan dengan transisi ekonomi yang baru.

Dalam hal ini, konteks ekonomi berasaskan keusahawanan desa dan pelancongan seperti Inap Desa dilihat boleh diperbanyakkan lagi dalam merancakkan pembangunan sosio ekonomi masyarakat setempat hasil daripada limpahan pembangunan projek ECRL. Hal ini kerana pihak kerajaan perlu sedar apabila terbinanya ECRL dikawasan Jelebu dan Kuala Klawang masyarakat akan didedahkan dengan limpahan insfrastruktur dan fasiliti yang baharu walhal mereka masih belum bersedia untuk menerimanya.

Hal ini berbeza berbanding di kawasan Bangi yang rata-rata masyarakat sekitarnya sudah terbiasa dengan gesaan pembangunan. Malah kawasan seperti di Jelebu misalnya boleh dikatakan populasi penduduknya adalah dalam kalangan warga berpencen yang memerlukan inisiatif tambahan bagi menampung kos hidup seharian mereka. Perkara ini jika tidak dilakukan dengan bijak penulis khuatir harapan kerajaan untuk melihat kawasan sekitar merasai impak pembangunan akhirnya sekali hanya mampu menjadi ibarat seperti “Pekan Koboi”, semata-mata.

            Projek ini juga diharapkan dapat mengurangkan kos hidup penduduk yang tinggal di kawasan Negeri Sembilan. Hal ini boleh dilihat bagaimana kemudahan akses jaluran perhubungan yang akan dibina berupaya mengurangkan kos barangan di kawasan luar bandar seperti Jelebu dan Kuala Klawang.

Buktinya, pada hari ini peniaga di Jelebu terpaksa menaikkan harga barangan terutamanya seperti barangan basah seperti hasil perikanan kerana terpaksa menampung kos pengangkutan untuk membawa barangan ke kawasan-kawasan luar bandar yang sukar untuk diakses dan jarak perjalanan yang jauh. Dengan adanya jaringan ECRL ianya diharapkan dapat menjadi alternatif pengangkutan barangan ke kawasan luar bandar seperti Jelebu dan bukan sahaja fungsinya hanya dijadikan sebagai tren pengangkut penumpang semata-mata.

Dengan kepelbagaian pilihan yang ada ini ianya mampu mengurangkan kos barangan yang terpaksa ditampung oleh orang Negeri Sembilan. Cadangan yang lain, pihak kerajaan Negeri juga boleh mengusulkan cadangan untuk menjadikan perhentian Jelebu sebagai hub transit pengumpulan barangan daripada Pantai Barat Semenanjung dan Pantai Timur Semenanjung kerana daripada hemat penulis lokasinya agak strategik kerana berada di tengah-tengah pertemuan jaluran pertembungan ECRL. Hal ini bukan sahaja dapat mengurangkan kos barangan malah ianya dapat mempelbagaikan lagi industri ekonomi di kawasan yang terlibat.

Selanjutnya, perkara yang paling penting yang diharapkan oleh anak Negeri Sembilan ialah projek ini dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak Negeri Sembilan terutamanya dalam kalangan golongan belia. Melalui data yang dikeluarkan oleh AmBank Research pada tahun 2017 menyatakan walaupun kadar pengangguran negara berada pada kadar 3.4% namun kadar pengangguran golongan belia negara berada pada kadar yang paling membimbangkan iaitu 10.8% berbanding negara ASEAN yang lain.

Oleh itu, diharapkan dasar mesra terhadap pendidikan di Malaysia yang diterapkan sejak dari dahulu lagi perlulah selari dengan peluang pekerjaan dan kesepadanan latar belakang pendidikan yang ditawarkan untuk bekerja. Contohnya, kerajaan pada hari fokusnya adalah dalam memartabatkan industri TVET negara. Maka dengan itu diharapkan kelompok pelajar ini diberi peluang untuk bekerja di sektor-sektor pembangunan ECRL berbanding kebergantungan terhadap tenaga pekerja asing.

Jadikan mereka pasukan rintis untuk mengukur tahap kebolehpasaran pelajar TVET negara dalam sektor pembinaan, pengangkutan dan pembangunan negara supaya barulah kita boleh berbangga soal keberkesanan pelajar TVET negara. Tuntasnya, pihak kerajaan tidak perlu lagi memainkan stigma bahawa rakyat Malaysia ini adalah pemalas dan tidak mahu bekerja dalam sektor kritikal seperti sektor pekerjaan 3 D lagi. Jadikan projek ECRL ini sebagai medan eksperimen kemajuan tenaga buruh negara.

Selain itu, mengikut dapatan kajian proses pemodenan, pembandaran dan perindustrian merupakan antara faktor utama berlakunya corak penghijrahan masyarakat di mana-mana negara di dunia. Dalam aspek pembangunan ECRL di kawasan Jelebu dan Kuala Klawang daripada pandangan peribadi penulis kedua-dua kawasan itu selain Bangi merupakan kawasan yang sejak azali telah mengalami senario penghijrahan penduduk desa ke bandar malah mengikut dapatan kajian juga menunjukkan kira-kira 70% penduduk Malaysia memilih untuk tinggal di kawasan bandar berbanding luar bandar.

Dalam erti kata yang mudah pemilihan lokasi Jelebu dan Kuala Klawang sekiranya pembangunan ECRL ini menjadi kenyataan kedua-dua kawasan tersebut tarafnya mampu dijadikan sebagai “desa kota”. Hal ini kerana pembangunan ECRL bukan sahaja berupaya mewujudkan jaluran pembangunan baru malah ianya mampu membangunkan demografi dikawasan tersebut terutamanya dalam membentuk kembali komuniti di kawasan tersebut.

Hal ini boleh dilihat dalam menarik minat kelompok masyarakat seperti golongan profesional, pekerja mahir dan berpindidikan tinggi untuk berhijrah ke kawasan tersebut. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu membentuk kembali jurang sosial dan ekonomi dii kawasan tersebut kemudiannya menyumbang kembali kepakaran dan kemahiran terhadap pembangunan komuniti setempat.

Penutup

            Kesimpulannya, pembinaan ECRL bukan sahaja memberi impak kepada pembangunan sosioekonomi penduduk di kawasan Negeri Sembilan semata-mata namun sekiranya dilihat dalam skop yang lebih luas ianya juga boleh membantu mengubah status bandar pertengahan seperti yang sedang dinikmati di Kuantan, Pahang dan Kota Bharu, Kelantan beralih transisi menjadi status sebagai sebuah ‘bandar raya”, yang maju. Perkara ini tidak mustahil kerana kemudahan sistem pengangkutan mampu mempercepatkan tranformasi pembandaran dan kemajuan sosial masyarakat. Ringkasnya, bagi rakyat Negeri Sembilan idea ini dilihat adalah baik kerana Negeri Sembilan sehingga hari ini masih mendahagakan impak projek-projek mega seperti ini. Soal unsur politik atau siapa betul atau salah penulis tidak bercadang untuk memberi ulasan. Namun, pada pandangan peribadi penulis projek ECRL ini adalah bagus kepada pembangunan sosioekonomi Negeri Sembilan secara amnya dan perlu diperluaskan lagi di Negeri-Negeri lain.

Sekian Wallahu’Alam Bissawab.

Ditulis oleh: Hafiz Ruslan, The Epistemic Official-

Rujukan

Abdul Rahman Embong. 2011. Pembandaran dan Kehidupan Bandar di Semenanjung Malaysia. Akademika. Vol. 81. No. 2. Hlm 23-39.

Berita Harian. 18 September 2018. Pengangguran Belia Tinggi Kekal Cabaran Utama. Diakses daripada: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2018/09/475197/pengangguran-belia-tinggi-kekal-cabaran-utama.

Berita Harian. 15 April 2019. Banyak Manfaat Projek ECRL Diteruskan. Diakses daripada: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/04/553072/banyak-manfaat-projek-ecrl-diteruskan

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close