Berita

Pembangunan Industri Halal Bakal Dikendalikan Kementerian Pembangunan Usahawan?

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata perkara itu kini dalam peringkat perbincangan

KOTA BHARU, 17 Ogos — Kementerian Pembangunan Usahawan mencadangkan pembangunan industri halal diletakkan di bawah kementerian itu untuk menyelaraskan usaha dalam membangunkan industri tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata perkara itu kini dalam peringkat perbincangan yang diadakan dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya urusan pensijilan halal terletak di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan piawaian standard Malaysia oleh MITI.

“Apa sahaja bentuk keputusan selepas perbincangan itu, kementerian akan terus fokus mengenal pasti usahawan dari sudut membangunkan mereka dalam industri halal,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak cadangan Hab Pemborongan Tekun Nasional di Platinum Mall, Jalan Jambatan Sultan Yahya Petra di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata beliau telah mengarahkan pegawai di kementeriannya membuat senarai menggunakan data daripada TEKUN, SME Bank dan Bank Rakyat untuk melihat sama ada usahawan luar bandar telah memperoleh sijil halal.

Katanya beliau akan membawa perkara itu dalam mesyuarat dengan Majlis Halal Malaysia untuk mencari kaedah terbaik bagi memastikan usahawan luar bandar diberikan kemudahan untuk mendapat sijil halal. 

Beliau juga berkata TEKUN Nasional sedang berbincang dengan JAKIM untuk memudahkan pengeluar makanan di negara ini mendapat sijil halal.

Katanya langkah itu akan dapat membantu menambah pengeluaran produk halal tempatan.

Tags
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker