Umum

Pelancongan Bola Sepak Bukan Sekadar Pelancongan Biasa

Bagi mana-mana peminat bola sepak, sudah menjadi kebiasaan untuk mereka bertandang ke stadium terutama di tempat lawan untuk menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada pasukan masing-masing. Dan bila sudah berada di luar kawasan, lumrah bagi penyokong untuk berbelanja sama ada untuk membeli cenderamata, makanan dan minuman atau soal penginapan sekaligus merancakkan lagi ekonomi tempatan. Dan ini membawa kepada satu terma yang menjadi industri terhangat dalam pelancongan: pelancongan bola sepak.

Sebut saja pelancongan bola sepak, tidak sah jika tidak menyebut Liga Perdana Inggeris (PL). Satu kajian terkini yang dijalankan terhadap isu ini semasa musim 2016-2017 mendedahkan 686,000 orang datang ke Britain dengan tujuan melawat kelab pujaan masing-masing. Dan pada sama, mereka turut membelanjakan 555 juta paun sterling (RM2.84 bilion) dan bilangan tersebut dijangka bertambah berikutan pencapaian cemerlang kelab-kelab PL di peringkat Eropah. VisitBritain sedar PL merupakan faktor pendorong kehadiran pelancong ke Britain. Justeru tidak hairanlah di laman sesawangnya, ia menawarkan peluang kepada penyokong merancang lawatan bola sepak mereka.

Bagi kebanyakan penyokong, ini merupakan manifestasi minat mereka terhadap kelab yang disokong. Setiap minggu, ratusan ahli kumpulan penyokong rasmi mengadakan lawatan ke England. Setengah daripada mereka merupakan penyokong kerap sementara sesetengah lagi merebut peluang keemasan untuk melihat pasukan kesayangan mereka dengan lebih dekat. Kebanyakan kumpulan sudah mengatur urusan dengan kelab PL masing-masing dengan sejumlah tiket tertentu untuk sepanjang musim diagihkan sesama ahli dengan sesetengah kumpulan besar mempunyai ahli yang memegang pas bermusim kelab.

Penyokong-penyokong sebegini merupakan penyokong tegar yang sudah masak dengan budaya dan sejarah sesebuah kelab sama seperti rakan-rakan penyokong Inggeris mereka. Dan mereka juga kelihatan menonjol berbanding kelompok penonton yang memakai skaf separuh pada leher dan tiada kecenderungan pada sesebuah kelab.

Salah seorang daripada mereka ialah Ryan Hayman, pengerusi kelab penyokong Boston Spurs dengan ahli seramai 1,500 orang. Kelab ini banyak membantu penyokong Spurs sekitar New England dan Hayman sendiri membuat perjalanan sebanyak lima kali ke England termasuk menewaskan Leicester 5-4 di Wembley dan pembukaan stadium baru Spurs, New White Hart Lane.

Perlawanan pertama dihadiri Hayman di New White Hart Lane ialah perlawanan Spurs menentang Crystal Palace yang menyaksikan kelab itu mengatasi Palace 2-0.

Sementara kelab penyokong Chelsea di New York, New York Blues sentiasa menghadiri perlawanan Chelsea sejak tahun 1990 termasuk di Stamford Bridge di mana satu daripada 250 ahlinya berada di situ musim lepas. Selain Chelsea, kelab-kelab penyokong kelab-kelab PL ini dibezakan menerusi nama-nama yang unik seperti Arsenal America (Arsenal) dan Zhengzhou Cityzens (Manchester City). Bagi kelab penyokong Manchester United di Afrika Selatan, kelab penyokong itu mempunyai empat pas bermusim tetapi telah diatur bagi membolehkan kelompok besar penyokong dapat menghadiri perlawanan terakhir musim sejak tahun 1998.

Ada sebab mengapa ramai penyokong meminati PL seperti atmosfera dan keseronokan permainan atau perlawanan diibaratkan seperti acara hiburan hebat bak konsert dan persembahan teater. Ada pula didorong oleh minat terhadap pemain spesifik seperti dialami oleh Barcelona, Real Madrid, Juventus, Chelsea, Manchester United atau Arsenal. Bagi dua peminat Belgium bernama Edgar dan Thomas, kehadiran mereka di Goodison Park untuk menonton Everton lawan Manchester City disebabkan seorang individu: Kevin de Bruyne.

Jelas Thomas, “Kami berdua mengikuti City disebabkan oleh Kevin dan sebelumnya Vincent Kompany. Ramai orang di Belgium merasa bangga dengan pencapaian mereka berdua. Negara kami merupakan negara kecil dan kami mempunyai beberapa pemain yang menyerlah dalam liga.” Sementara Edgar pula berkata, “Saya merupakan penyokong tegar City sejak kedatangan Kompany. Kami tidak mempunyai pasukan kelab Belgium yang disokong kerana ia tidaklah menghiburkan berbanding PL. Atmosferanya di sini sangat bagus.”

Kelab-kelab PL sedar tarikan yang ditawarkan mereka dan liga kepada penonton di seluruh dunia. Perlawanan-perlawanan PL disiarkan di 212 wilayah dan ditonton seramai satu bilion orang. Justeru, wujud usaha untuk mengukuhkan pengaruh masing-masing terutama membabitkan kelab-kelab bertaraf ‘Top Six’. Jika anda perasan semasa ujian pra-musim, kelab-kelab ini berebut pengaruh di tempat-tempat yang dituju: Manchester United (Australia, Singapura dan China), Tottenham (Singapura dan China), Chelsea (Jepun), Manchester City (China dan Jepun), Arsenal dan Liverpool (Amerika Syarikat).

Ada yang mengambil kesempatan daripada populariti pemain mereka untuk memantapkan lagi jenama masing-masing seperti yang dilakukan Red Devils menerusi Park Ji-sung, David Beckham dan Cristiano Ronaldo serta Spurs (Son Heung-min). Tetapi bagi City yang dimiliki oleh syarikat induk City Football Group, mereka mensasarkan dominasi di peringkat dunia. Dan kunci untuk memastikan jenama Citizens dikenali ialah keaslian pengalaman yang ditawarkan. Mereka mempunyai sembilan laman sesawang antarabangsa dan 13 akaun media sosialnya dalam pelbagai bahasa dari Bahasa Indonesia hingga Bahasa Sepanyol dan Bahasa Portugis.

Dan seperti kelab-kelab PL lain, mereka juga mengadakan sesi beramah mesra dengan peminat di seluruh dunia dan melibatkan diri dalam pelbagai projek komuniti. Ketika ini, City sedang melalui fasa pertengahan jelajah global mereka dengan melawat 12 negara bersama enam pingat kejuaraan yang dimenangi musim lepas. Selain itu, mereka juga menjadi tuan rumah kepada acara peminat membabitkan bekas pemain City iaitu Paul Dickov, Micah Richards dan Shaun Wright-Phillips.

Bagi komuniti perniagaan tempatan, kehadiran pelancong-pelancong ini dilihat merancakkan lagi ekonomi setempat walaupun ada masanya ia menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong tempatan. Bagi penyokong-penyokong ini, mereka bimbang tidak akan berpeluang menikmati pengalaman di stadium hanya kerana pelancong bola sepak mempunyai wang lebih dan menganggap perlawanan sebegini sebagai sesuatu yang harus dilakukan sekali seumur hidup.

Bagi sesetengah penyokong, kuncinya di sini ialah keseimbangan. Mereka faham bahawa menerusi pelancong-pelancong ini, ia bukan saja merangsang ekonomi setempat tetapi turut mengukuhkan kekuatan kewangan kelab masing-masing. Namun pada masa sama, mereka berharap sentimen penyokong tempatan juga dihormati dan dilayan dengan baik.

Bagi penerbit podcast Anfield Wrap, Lizzi Doyle, dia merasa bangga melihat suasana stadium semasa ujian pra-musim walau di mana saja Liverpool bukan saja penuh tetapi meniru pengalaman Anfield di tempat mereka. Namun pada masa sama, Doyle mengingatkan kelab-kelab PL agar tidak mementingkan wang semata-mata dan berusaha membina dan menghargai kesetiaan penyokong bersama kelab tanpa mengira masa senang atau masa susah. Tambahnya lagi, tanpa peminat setia, maka sukar untuk meniru suasana Anfield di tempat lain dan menyukarkan usaha Liverpool menjadi kelab ternama dunia.

SUMBER

Bevan, Chris, Rose, Gary dan Dawkes, Phil. (2019). Football tourism – why it’s not just half and half scarves. BBC. https://www.bbc.com/sport/football/49920019

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker