Ekonomi

Pelaksanaan Semula Bandar Malaysia, Projek 1MDB

Tidak lama dahulu, sebut saja nama 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), tak sah jika bekas anak syarikat Ministry of Finance (Incorporated) itu dikaitkan dengan kontroversi sama ada membabitkan syarikat atau bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Habis semua perkara dijadikan isu politik termasuk isu nilai aset yang dimiliki syarikat berkenaan. Tetapi anehnya selepas hampir 18 bulan pentadbiran kerajaan yang diketuai Pakatan Harapan (PH) pasca-PRU Ke-14, aset-aset entiti ini dijulang bak permata selepas dilempar dengan lumpur sejak beberapa tahun lepas.

Salah satu aset 1MDB yang diaktifkan semula ialah projek Bandar Malaysia seperti yang didedahkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada pembentangan Belanjawan 2020 Oktober lepas. Dan pada 17 Disember 2019, projek tersebut dipulihkan secara rasmi menerusi majlis menandatangani perjanjian penjualan saham dan persetujuan pemegang saham membabitkan TRX City Sdn Bhd (TRXC) dengan konsortium kerjasama Iskandar Waterfront Holdings Sdn BHd (IWH) dan China Railway Engineering Corp (M) Sdn Bhd (CREC) (IWH-CREC).

Sebagai tukaran kepada saham Bandar Malaysia Sdn Bhd sebanyak 60% dan menjadi pembangun utama Bandar Malaysia, IWH-CREC akan membayar TRXC sebanyak RM7.41 bilion, jumlah sama yang dibayar konsortium itu kepada TRXC empat tahun lepas selepas memenangi tender kontrak pembangunan Bandar Malaysia sebelum ia ditarik balik oleh TRXC atas alasan gagal memenuhi terma kontrak yang dimeterai. Ini termasuklah komitmen mengambil pegangan sukuk sebanyak 60% berjumlah RM1.6 bilion yang ditawarkan Bandar Malaysia. Nilai pembangunan projek dijangka mencecah RM140 bilion. Majlis itu disaksikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohd Azmin Ali, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Guan Eng. Turut sama hadir Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian.

Bila diminta pengulas perlaksanaan semula projek berkenaan, Tun Dr Mahathir berpandangan projek Bandar Malaysia bakal memberi impak positif kepada kedudukan ekonomi negara dan berkemampuan menarik entiti pelbagai negara global membuat pelaburan di sini. Tambah beliau lagi, projek yang mengambil masa 20 tahun untuk siap itu akan membentuk hala tuju pembangunan Kuala Lumpur untuk beberapa dekad berikutnya. Tun Dr Mahathir turut menyifatkan projek ini sebagai testimoni keupayaan negara dan China bekerjasama untuk kepentingan rakyat.

Menurut Guan Eng, perjanjian baru yang dimeterai ini dilihat ‘jauh lebih baik’ berbanding perjanjian sama yang dimeterai pada Disember 2015. Ini termasuklah bayaran pendahuluan yang jauh lebih besar berjumlah RM1.24 bilion yang perlu dibayar IWH-CREC berikutan tambahan sebanyak RM500 juta sebagai pendahuluan kepada deposit original berjumlah RM741 juta. Sementara tempoh pembayaran berperingkat dipendekkan dari tujuh tahun kepada tiga tahun.

Menerusi persetujuan baru ini, Bandar Malaysia akan mempunyai taman dan kawasan rekreasi sebanyak 85 ekar berbanding 10% kawasan seluas 48.6 ekar. Kawasan taman itu akan dikenali sebagai Taman Rakyat di mana ia akan dihubungkan dengan taman-taman satelit. Guan Eng turut mendedahkan bilangan rumah mampu milik di Bandar Malaysia juga akan ditambah sebanyak 10,000 unit. Projek dijangka menarik lebih banyak penyertaan entiti Bumiputra dengan bahan binaan, teknologi dan bakat tempatan akan diberi keutamaan. Dari segi dividen jualan tanah pula, dividen akan dibahagikan secara saksama antara IWH-CREC dengan TRXC berbanding perjanjian sebelum ini yang menyaksikan 60% diberi kepada IWH-CREC dengan 40& lagi diterima TRXC.

Namun, tatkala PH merayakan ‘kejayaan’ mereka ini, ramai sudah lupa pemimpin-pemimpin hari ini jugalah yang sibuk mengejek setiap aset dan projek yang dahulunya direncanakan 1MDB atas pelbagai sebab dari membayar hutang yang banyak hinggalah menguntungkan kroni saja. Justeru tidak hairanlah semasa sesi perbahasan Belanjawan 2020 di Parlimen Oktober lepas, Datuk Seri Najib menyindir Guan Eng dengan berkata, “(Bagan) mengesahkan Bandar Malaysia, sebuah projek yang dahulunya milik 1MDB kini diteruskan tetapi nilai pendapatan projek hanya akan diumumkan kemudian. Kenapa kerajaan PH tidak menyatakan sebahagian projek berkenaan telah dijual pada harga RM7.41 bilion pada April lepas? Guan Eng hanya tahu bercakap pasal hutang tetapi senyap tentang bab pulangan. Faktanya ialah Bandar Malaysia bernilai RM140 bilion dengan projek Tun Razak Exchange pula bernilai RM40 bilion. Beliau pernah menggelarnya sebagai aset terbaik negara ini. Tetapi beliau terlalu malu untuk mengatakannya sekarang.”

Dan PH juga sudah terlupa pembatalan perjanjian antara TRXC dengan IWH-CREC pada tahun 2017 dibuat atas dasar komersial. Ini ditambah kegagalan konsortium itu membayar amaun sebanyak RM7.41 bilion kepada TRXC walaupun telah diberi penangguhan beberapa kali. Menerusi perjanjian baru ini, apakah pihak konsortium akan menepati janji mereka seperti yang diharapkan? Atau ia akan membawa ulangan kekecewaan yang membawa kepada penghentian projek Bandar Malaysia buat kali kedua?

Dan tidak ramai tahu, ramai pakar menyifatkan pembatalan perjanjian yang dibuat oleh TRXC sebelum ini tidak memberi sebarang kesan kepada ekonomi negara ketika itu. Menurut Ketua Pakar Ekonomi dan Strategi Pelaburan IQI Holdings, Shan Saeed, keputusan yang dibuat merupakan satu keputusan baik oleh pihak kerajaan Barisan Nasional ketika itu dan berupaya mengurangkan risiko serta melihat pelbagai peluang yang akan diperoleh daripada tindakan itu. IQI Group Holdings merupakan sebuah syarikat hartanah dan pelaburan yang mengendali dan memberi khidmat nasihat pelanggan di Kuala Lumpur, Singapura, Hong Kong, London, Melbourne dan Dubai.

Tambah Shan lagi, pelabur tidak melihat faktor mikro tetapi faktor makro seperti keyakinan kerajaan, keyakinan ekonomi, kunci kira-kira kerajaan dan permintaan agregat. Mereka juga akan melihat infrastruktur moden dimiliki sesebuah negara kerana bagi pelabur global perkara ini sangat penting. Beliau berpandangan, kerajaan ketika itu dilihat mahu mencari entiti yang lebih baik dalam menguruskan Bandar Malaysia. Antara nama yang dicanang mengendalikan pembinaan Bandar Malaysia semasa lawatan Datuk Seri Najib ke China pada tahun 2017 ialah Wang Jianlin yang mengetuai Kumpulan Dalian Wanda sebelum ia terpaksa dibatalkan berikutan arahan pengawalan pengeluaran modal keluar dari China pada tahun berkenaan.

Tambahnya lagi, pembatalan projek tersebut tidak akan menjejaskan semua bentuk pelaburan China di Malaysia ketika itu. Beliau berkata, “Anda perlu memahami dan melihat ekonomi daripada perspektif makro. Malaysia mempunyai kepentingan geografi yang kuat disebabkan Selat Melaka. China tidak akan meninggalkan Malaysia bagi tempoh 100 tahun akan datang. Sesetengah orang berkata ia bukanlah perjanjian antara kerajaan dengan kerajaan, ia adalah perjanjian komersil. Anda tidak perlu membabitkan kerajaan dalam perjanjian itu kerana ia semata-mata perjanjian komersil.”

Dan ini seharusnya difikirkan kerajaan sedalam-dalamnya apabila retorik murahan yang dilempar semasa bergelar pembangkang terdahulu kini menghantui mereka selepas bergelar kerajaan pasca-PRU Ke-14. Retorik murahan memang mudah dimainkan tetapi bila sudah bergelar kerajaan, baru tahu bahana menanti. Dengan perlaksanaan projek Bandar Malaysia, ini menunjukkan kerajaan PH bukan saja ketandusan idea dalam membawa pelaburan luar masuk ke dalam negara tetapi juga mematikan terus propaganda projek sebegini bukanlah satu pembaziran seperti yang didakwa sebelum ini.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Lain
Close
Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker