Berita

MREPC peruntuk RM20 juta bantu PKS dalam automasi, teknologi hijau

daripada 19 permohonan yang diterima, lima syarikat telah diluluskan dan diberikan sijil untuk menerima dana itu hari ini.

PETALING JAYA, 13 Ogos (Bernama) — Kerajaan menerusi Majlis Penggalakan Eksport Getah Malaysia (MREPC) memperuntukkan sebanyak RM20 juta di bawah Dana MREPC baharu bagi Automasi dan Teknologi Hijau untuk membantu peserta industri terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MREPC Chik Chan Chee berkata dana awal itu adalah dalam bentuk geran padanan sehingga 50 peratus daripada kos projek tertakluk kepada maksimum RM1 juta bagi setiap syarikat.

“Kami berharap dana ini boleh membantu PKS melabur dalam teknologi hijau dan automasi bagi menangani peningkatan kos buruh dan kos pengeluaran lain,” katanya dalam ucapan pembukaan beliau pada majlis pelancaran dana itu yang dirasmikan oleh Menteri Industri Utama Teresa Kok, di sini, hari ini. 

Chik berkata daripada 19 permohonan yang diterima, lima syarikat telah diluluskan dan diberikan sijil untuk menerima dana itu hari ini. 

Kumpulan kedua syarikat yang diluluskan akan diumumkan tidak lama lagi, katanya. 

Sementara itu, Kok berkata, dana tersebut juga bertujuan bagi menampung keperluan untuk menggunakan tenaga boleh diperbaharui sebagai komponen kos tenaga proses pembuatan yang dijangka sehingga setinggi 10-20 peratus.

“Saya menggesa industri untuk menerajui penggunaan sumber tenaga alternatif yang juga perlu disertakan dengan pelan mitigasi pencemaran dan pembuangan sisa yang diluluskan oleh pihak berkuasa,” katanya. 

Industri getah, yang ketika ini terdiri daripada lebih 300 pengeluar produk getah, pada 2018, mengeksport produk getah bernilai RM23.7 bilion yang menyumbang 2.4 peratus daripada jumlah eksport negara. 

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker