Global

Morales Letak Jawatan Sebagai Presiden Bolivia

Di Bolivia, Presiden Evo Morales meletak jawatan akibat protes besar-besaran terhadap pemilihan semulanya dalam PRU pada 20 Oktober yang lepas. Semalam Organization of American States (pertubuhan serantau negara Benua Amerika) mengeluarkan laporan yang kata PRU tersebut “tidak bersih”. Atas desakan tentera, akhirnya Morales melepaskan jawatan presiden yang dipegang sejak tahun 2006.

Pengunduran Morales ni agak simbolik disebabkan Morales ialah salah satu ikon “pemimpin berhaluan kiri” (La Izquierda) terkemuka di Amerika Selatan. Kiri dalam konteks politik Amerika Latin dan Amerika Selatan tidak semestinya merujuk kepada komunis/sosialis, tetapi juga kepada “social democrat” dan nasionalis. Kiri dalam konteks ini bertentangan dengan “kanan” (La Derencha) yang diwakili oleh golongan pro-kapitalisme neoliberal dan pro-US.

Spektrum kiri-kanan ni berbeza ikut konteks negara. Kalau di Perancis pula, “kanan” (La Droite) diwakili oleh golongan “Gaullist”, tak pro-neoliberal malah anti-US. Nak bagitau siap-siap sebab malas nak argue pasal definisi kiri-kanan.

Morales dulu ialah best buddy Hugo Chávez, bekas presiden Venezuela dari 1999 hingga 2013. Bersama-sama diorang berdua telah melancarkan gerakan yang dikenali sebagai “Revolusi Bolivarian” (La Revolución Bolívariana) di mana diorang kata nak meneruskan perjuangan Simón Bolívar, bapa kemerdekaan kedua-dua Venezuela dan Bolivia untuk membebaskan Amerika Selatan daripada “imperialis”. “Imperialis” di zaman Bolívar merujuk kepada Sepanyol, di zaman Chávez dan Morales pula, diorang melihat US sebagai imperialis yang mencengkam Amerika Selatan menerusi ekonomi neoliberalisme.

Chávez dan Morales menentang dasar neoliberal yang dipaksakan oleh US sejak 1970-an dan 1980-an dengan melaksanakan pemiliknegaraan industri (melawan liberalisasi ekonomi yang dipaksa oleh US), dan juga merapatkan hubungan dengan seteru US seperti Cuba, Russia dan China. Kelantangan Chávez dan Morales memberi dorongan kepada negara-negara Amerika Selatan yang lain untuk “bangkit” melawan US dengan memilih pemimpin-pemimpin yang berhaluan kiri, anti-neoliberalisme. Menjelang tahun 2009, 9 daripada 10 negara Amerika Selatan dipimpin oleh ketua negara yang berhaluan kiri, seperti Michelle Bachelet di Chile, Rafael Correa di Ecuador dan Lula da Silva di Brazil.

Saintis politik menamakan fenomena ini sebagai “Pink Tide” (Marea Rosada). “Pink” merujuk kepada ideologi kiri yang dipegang oleh pemimpin-pemimpin ini. Dalam simbolisme politik, merah selalu digunakan sebagai lambang komunis/sosialis totok. Tapi pemimpin Amerika Selatan yang rebel ni bukanlah komunis/sosialis tulen. Idola Chávez ialah Bolívar, bukan Karl Marx. Jadi saintis politik lebih prefer pakai istilah “Pink Tide” berbanding “Red Tide” yang memberi konotasi gelombang komunis/sosialis.

Hanya Colombia khadam setia US je yang tak terkesan dengan gelombang “Pink Tide” ini. Guyana, Suriname dan French Guiana bukan negara bekas jajahan Sepanyol/Portugis, jadi tak dilihat sebagai negara Amerika Latin dan dikecualikan daripada perbandingan dengan negara-negara Amerika Selatan yang lain.

Tapi dalam masa satu dekad, satu per satu pemimpin Pink Tide ni tumbang dalam pilihanraya. Ada juga yang dibuang atas tuduhan penyelewengan seperti Dilma Rousseff di Brazil. Digantikan dengan pemimpin haluan kanan seperti Lenín Moreno di Ecuador, Sebastián Piñera di Chile dan Jair Bolsonaro di Brazil. Saintis politik kena cipta istilah baru pulak, kali ni “Blue Tide” atau “gelombang konservatif” (Ola Conservadora), untuk merujuk kepada pertukaran haluan negara-negara Amerika Selatan ini.

Chavez menghadiahkan Morales sepucuk replika “Pedang Bolívar” masa Morales baru-baru jadi Presiden pada tahun 2006. Kat belakang tu potret Bolívar

Sekarang, hanya tinggal Venezuela, Bolivia, Uruguay dan Argentina yang masih membawa panji Pink Tide. Venezuela yang sepatutnya jadi abang long Pink Tide sekarang tengah huru-hara. Dengan pengunduran Morales, politik haluan kiri lagi menemui kebuntuan. Jadi tak hairan kenapa Presiden Venezuela, Nicolás Maduro menyifatkan pengunduran Morales sebagai “kudeta” yang dirancang oleh konco US dengan CIA.

Perubahan dari “Pink Tide” kepada “Blue Tide” menimbulkan spekulasi tentang peranan US dalam mencorak politik serantau. Amerika Latin ialah “halaman belakang” (backyard) US. Atas kedekatan geografi, US boleh tak campur tangan dalam Timur Tengah, tapi tak akan biarkan Amerika Latin hilang dari kawalannya.

Tapi kalau salahkan US semata-mata pun tak boleh juga. Ramai pemimpin kiri ni bermula sebagai idealis, tapi lama-kelamaan jadi corrupted by power. 2-3 tahun kebelakangan ni boleh nampak Morales ada kecenderungan tamak kuasa, cuba memansuhkan had penggal presiden menerusi referendum 2016 tapi gagal. Apabila Morales dilihat main tipu dalam PRU, maka rakyat letup dan minta dia letak jawatan.

Namun kalau lihat apa yang berlaku di Ecuador dan Chile, kedudukan pemimpin berhaluan kanan ni pun tak selesa mana. Usaha untuk membawa balik dasar neoliberal bukan sesuatu yang popular dan ditentang dengan sekeras-kerasnya. Mungkin Blue Tide pun tak akan kekal lama, dan akan muncul “Second Pink Tide” pulak.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker