Berita
Trending

Minyak Sawit: Malaysia tinjau peluang tembusi pasaran benua Afrika

Potensi minyak sawit Malaysia di negara tersebut (di benua Afrika) adalah luas

PUTRAJAYA, 8 Nov — Kementerian Industri Utama sedang meninjau peluang untuk minyak sawit Malaysia menembusi pasaran di benua Afrika yang dihuni 1.2 bilion penduduk malah usaha tersebut didorong pertumbuhan ekonomi rancak yang dicatatkan beberapa negara di rantau itu, kata Menteri Teresa Kok Suh Sim.

Beliau berkata minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit berpotensi menjadi pilihan sesuai untuk kegunaan penduduk di Afrika memandangkan komoditi itu merupakan antara minyak masak yang ditawarkan pada harga berpatutan berbanding minyak kacang soya, minyak bunga matahari dan minyak zaitun.

“Potensi minyak sawit Malaysia di negara tersebut (di benua Afrika) adalah luas, disokong oleh pertumbuhan ekonominya yang rancak, yang secara langsung mampu meningkatkan permintaan terhadap minyak masak,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Beliau berkata semasa melawat Ethiopia bulan lepas, beliau telah dimaklumkan bahawa kadar pertumbuhan ekonomi negara tersebut adalah antara 9.0 dan 11 peratus, dengan jumlah penduduk sebanyak 100 juta.

“Jadi ia mempunyai potensi yang sangat besar bagi minyak sawit negara kita,” katanya.

Kok berkata pihaknya akan terus menggiatkan usaha mencari pasaran baharu untuk minyak sawit walaupun Malaysia menghadapi cabaran kempen anti-minyak sawit.

Pada 2018, Ethiopia mengimport sejumlah 149,435 tan minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit dari Malaysia bernilai RM457.17 juta.

Beliau berkata kerajaan juga serius untuk menangani kempen anti-minyak sawit dan menghapuskan halangan perdagangan sekali gus meningkatkan akses pasaran dengan sejumlah RM27 juta diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 bagi tujuan tersebut.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata Jepun dan Korea Selatan turut menunjukkan minat untuk mengimport minyak sawit Malaysia yang dihasilkan secara secara mampan melalui pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Kok berkata justeru, kerajaan terus berusaha untuk mencapai sasaran 100 peratus pensijilan MSPO di ladang sawit di seluruh Malaysia pada akhir 2020 menerusi inisiatif memberi penerangan kepada pemilik ladang mengenai kepentingan pensijilan MSPO secara lebih meluas.

“Setakat kita sudah ada 55 peratus jumlah kawasan penanaman sawit yang diiktiraf mengikut MSPO dan saya jangka sehingga akhir bulan ini, angka itu akan mencapai 60 peratus,” katanya.

MSPO merupakan skim pensijilan yang diperkenalkan kerajaan sejak 2015 bagi memastikan industri dan pekebun kecil sawit mematuhi keperluan yang digariskan untuk menghasilkan minyak sawit mampan sejajar kesedaran mengenai perlindungan alam sekitar.

Beliau berkata ketika giat meninjau peluang untuk memperluaskan pasaran minyak sawit, Malaysia tidak mengenepikan Eropah memandangkan pasaran itu amat penting bagi sektor minyak sawit negara.

“Eropah merupakan pasaran kedua terbesar minyak sawit negara, dan mereka selalu menetapkan piawaian, khususnya berkaitan alam sekitar, yang akan diikuti negara-negara lain. Piawaian itu biasanya akan dijadikan standard seluruh dunia,” katanya.

Mengenai trend harga minyak sawit mentah (MSM), Kok berkata harga komoditi itu telah mencecah lebih RM2,500 satu tan dan menjangkakan harga MSM akan terus berada dalam aliran meningkat sehingga awal tahun hadapan dengan mencapai RM2,600 satu tan.

Tags
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker