Ad
Umum

Mesej Kepada Kementerian Kewangan: Perluaskan Pangkalan Cukai Anda!

Selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara pasca-Pilihan Raya Umum Ke-14, salah satu langkah yang diperkenalkan mereka ialah memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Alasan di sebalik tindakan itu ialah mahu meringankan beban rakyat yang terbeban dengan rejim cukai yang diperkenalkan pada tahun 2015.

Tetapi selepas 16 bulan memerintah, nyata tindakan Kementerian Kewangan diketuai Lim Guan Eng memansuhkan GST sudah mula memakan diri. Ini kerana berdasarkan anggaran Presiden Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA), Dr Veerinderjeet Singh, rejim cukai SST sekarang yang dilaksanakan hanya dapat mengutip cukai sebanyak RM22 bilion berbanding RM44 bilion yang diraih dari rejim cukai GST sebelumnya.

Walaupun Guan Eng sudah memberi jaminan tiada cukai baru akan diperkenalkan semasa pembentangan Belanjawan 2020, ini bermakna belanjawan yang dirangka kali ini harus bersifat realistik dan tidak seharusnya bergantung kepada rizab Petronas semata-mata. Pakar cukai menganggarkan dengan harga minyak berlegar antara US$55 (RM220) hingga US$65 (RM260) setong, belanjawan harusnya didraf mengikut anggaran harga minyak berkenaan. Sejak tahun lepas, harga minyak paling tinggi dicatatkan ialah US$84 setong sebelum jatuh kepada US$53 setong pada Januari lepas.

Ad

Melihat kepada ekonomi semasa, Dr Veerinderjeet mencadangkan kerajaan seharusnya meperluaskan asas kutipan cukai. Beliau berkata, “Ketika ini, hanya dua juta tenaga kerja yang menyumbang kepada cukai pendapatan. Selain tenaga kerja, ada pula individu yang mempunyai pendapatan tinggi tetapi tidak membayar cukai pendapatan. Ini berikutan tahap gaji semasa kita yang rendah ditambah dengan pelbagai insentif cukai yang mengakibatkan ramai memilih tidak membayar cukai.” Tambahnya lagi semasa ditemubual oleh Bernama, rejim cukai SST hanya meliputi 38% barangan berbanding 60% di bawah cukai GST.

Tambahnya lagi, dengan perkembangan teknologi semasa, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan bank-bank komersial seharusnya mengadakan perbincangan untuk mewujudkan satu sistem yang saling berkait untuk mengenalpasti individu yang mengelak membayar cukai. Dr Veerinderjeet menambah, “Dengan teknologi, sukar bagi mana-mana pengelak cukai untuk lari dari membayar cukai dan memastikan pembayar cukai melaksanakan tanggungjawab mereka.” Kerajaan juga disaran melihat ekonomi bawah tanah di mana ekonomi ini menyumbang kepada 30% hasil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Melihat kepada kesesuaiannya dari perspektif ekonomi dan cukai, sudah ramai yang mahukan rejim cukai ini diperkenalkan semula kerana ia bersifat telus dan sumbangannya kepada kantung ekonomi negara amat ketara. Bagi Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, GST menyumbang kira-kira RM44 bilion kepada pendapatan negara pada 2017, sementara SST pula menyumbang RM22 bilion, yang menyaksikan kerajaan berdepan kekurangan pendapatan sebanyak RM22 bilion berikutan peralihan kepada SST.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan janji menghapuskan GST merupakan sebahagian daripada manifesto PH semasa PRU Ke-14. Tambah Prof Razman lagi dalam Forum Bicara Belanjawan 2020: Apa Tuntutan Ekonomi, Apa Kehendak Rakyat anjuran Berita Harian, “Sebenarnya GST ini digunakan kebanyakan negara di dunia kerana ia cukai yang cekap. Jika ada bertanya kenapa tidak kembali semula kepada GST dengan peratusan lebih rendah, mungkin dapat mengembalikan semula pendapatan? Itu terpulang kepada kerajaan untuk tidak memenuhi janji manifesto mereka. Namun bagi saya, kalau perbelanjaan dapat dikawal, mungkin kita tidak perlu kenakan cukai.”

Menurut Dr Veerinderjeet, antara sebab GST menjadi pilihan kebanyakan negara dunia ialah rejim cukainya yang telus dan sukar dimanipulasi mana-mana pihak. Sementara Ketua Bahagian Pemimpin Industri dan Klien Cukai Tak Langsung Global Deloitte, Senthuran Elalingam, pula berpandangan menerusi pengenalan semula GST, ia akan menyediakan pangkalan cukai yang lebih luas dan kutipan yang lebih efisien.

Beliau berkata, “Kerajaan hari ini (PH) mengakui rejim cukai GST lebih efisien berbanding cukai SST. Namun, masalahnya di sini ialah waktu yang sesuai untuk diperkenalkan semula. Jika Malaysia mahu memperkenalkan semula GST, kerajaan perlu belajar dari apa yang berlaku semasa ia dilaksanakan buat kali pertama dan meletakkan pelbagai cara untuk memastikan rejim cukai GST 2.0 ini berjaya.” Satu daripada isu yang dihadapi kerajaan berkaitan GST yang perlu diselesaikan ialah kelewatan mereka membayar semula pembayaran semula GST.

Satu cukai yang disahkan pada tahun hadapan ialah cukai digital sebanyak 6% ke atas perkhidmatan digital berkuatkuasa pada 1 Januari 2020. Bagaimanapun, sehingga artikel ini ditulis, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) masih belum mengumumkan garis panduan berkenaan rejim cukai baru ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Back to top button