Teknologi

Menyelesaikan Masalah Kemalangan Dengan Alat Bantuan Kelajuan Pintar (Isa)

Isu kemalangan jalan raya merupakan satu isu yang terus menghantui negara terutama Kementerian Pengangkutan dan Polis Diraja Malaysia. Bukan sekali pelbagai langkah dan operasi keselamatan jalan raya diperkenalkan untuk cuba mengurangkan statistik mangsa kemalangan tetapi semuanya tidak berhasil. Terbaru, statistik laporan kemalangan setengah tahun yang dibentangkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mendedahkan tiga negeri mencatat statistik kemalangan tertinggi iaitu Selangor (17.2%/527 kematian), Johor (16.4%/505 kes) dan Perak (10.6%/324 kes).

Jadi, apa yang perlu dilakukan untuk mengurangkan kadar kemalangan ini? Nak saman, ada sampai tak bayar sehingga 20 tahun. Letakkan kamera di kawasan kemalangan, lagi dipecutnya kenderaan mengalahkan Lewis Hamilton atau Valentino Rossi. Adakan kempen kesedaran, masih lagi di takuk lama atau anggap ia sekadar angin bertiup saja. Senang cerita, ia merupakan satu lagi kisah basi yang tiada kesudahannya. Tetapi ada satu teknologi yang mungkin mengurangkan kadar kemalangan iaitu alat mengehad had laju kenderaan atau lebih tepat, alat bantuan kelajuan pintar (ISA).

Jika anda memandu kereta dan melalui kawasan yang ada had laju, usah terkejut apabila sistem menunjukkan lampu isyarat kelajuan dan mengurangkan kelajuan kenderaan bagi memenuhi had laju sesebuah kawasan. Ianya dibuat bukan dengan mengaplikasikan brek tetapi dengan mengurangkan kuasa enjin. Jika anda masih tetap cuba memandu laju untuk sebab-sebab tertentu, maka bersedialah diganggu dengan penggera kelajuan sehingga anda bersedia memandu mengikut had laju sesebuah kawasan. Ini merupakan langkah yang dicadang oleh Kesatuan Eropah (EU) dan ia diwajibkan dalam kereta-kereta baru pada tahun 2022. Britain juga dijangka akan mengikut langkah sama pada tahun 2022 walaupun dibelenggu isu Brexit.

ISA sudah lama dicanang oleh Majlis Keselamatan Pengangkutan Eropah (ETSC) untuk dimasukkan dalam kereta-kereta baru kerana menganggap ia satu sistem bantuan keselamatan penyelamat nyawa pemandu yang paling berkesan. Selain ISA, EU juga turut menimbang memperkenalkan sistem-sistem lain dalam kenderaan-kenderaan baru seperti brek kecemasan automatik, bantuan jagaan lorong dan sistem-sistem yang menghalang pemandu daripada terganggu, mengantuk atau mabuk. Walaupun ada yang menganggap ISA ialah versi Big Brother George Orwell yang diperkenalkan untuk memantau mereka, hakikatnya ia merupakan satu bentuk bantuan kepada pemandu semasa memandu. Menurut ETSC, jika ISA diperkenalkan, ia boleh mengurangkan potensi berlanggar sebanyak 30% dan kematian di jalan raya sebanyak 20%.

ISA berlaku melalui dua cara iaitu teknologi pemanduan arah satelit GPS atau kamera/perisian yang membaca papan tanda had laju. Menerusi cara pertama, pangkalan data peta akan digunakan dan membandingkan data dengan destinasi yang dituju bagi mendapatkan had laju yang berbeza-beza yang direkodkan. Satu kelebihan menerusi cara ini ialah pemandu bukan saja tahu had laju laluan yang digunakan tetapi juga amaran had laju di hadapan. Tetapi bila ia tiada dalam data atau tidak lengkap seperti kerja pembaikan jalan raya, ia tidak dapat memberitahu pemandu tentang apa yang berlaku. Sementara menerusi kamera atau perisian, ia dapat membaca had laju dan memberitahu komputer kereta untuk memperlahankan kenderaan atau tidak. Tetapi cara kedua ini ialah mekanisme bertindak balas dan tidak boleh memberi amaran kepada pemandu tentang had laju di hadapan. Justeru, cara terbaik ISA ialah menggabungkan kedua-dua cara untuk menjadikan ia satu mekanisme yang bagus.

Image result for isa car

Mendengar semua ini, sudah pasti ada yang hidung berdarah kerana memikirkan kosnya sudah pasti mahal. Tetapi menurut pakar keselamatan Ford, Roland Schaefer, kos tersebut sebenarnya lebih berpatutan berikutan komponen yang diperlukan sudah ada dalam kereta seperti GPS dan kamera. Apa yang diperlukan ialah sebuah perisian yang rumit untuk melengkapi semua komponen ini. Tetapi di sebalik kosnya yang berpatutan, ia masih lagi belum dianggap sempurna dan masih banyak perkara yang perlu ditangani seperti penerimaan terlalu banyak maklumat dan standard yang harus dipakai oleh pengeluar. Masalah sebegini bukan sekadar memerlukan inovasi tetapi juga kesanggupan semua pemegang taruh termasuk kerajaan dan penggubal undang-undang untuk merealisasikannya.

Tetapi satu perkara paling penting yang ditekankan ialah keupayaan pemandu mengambil alih sistem sepanjang masa. Selain membantu meraih sokongan orang awam terhadap ISA, ia juga membantu menambahbaik keupayaan sistem lebih-lebih lagi jika sistem bermasalah atau ada situasi di jalan raya seperti terlalu perlahan di jalan yang sibuk dan laju. Schaefer menambah, “Kami memperkenalkan teknologi baru jika kami fikir dapat membantu pelanggan-pelanggan kami. Kami tidak mahu mengatasi pemandu dalam soal pemanduan. Hanya pemandu yang seharusnya mempunyai kata putus dalam soal pemanduan dan bukan sistem.”

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker